Beramal Mulia Tidak Hanya Bersedekah Wahai Pemimpin Sekular

Amalan mulia patut diteruskan – Muhyiddin
MUAR 12 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu keprihatinan umat Islam dalam membantu golongan kurang bernasib baik tidak terhad pada bulan Ramadan semata-mata tetapi dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi membantu masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan.  Menurut Timbalan Perdana Menteri, penyertaan pelbagai pihak termasuk sektor korporat untuk menyalurkan sumbangan kepada golongan berkenaan merupakan perkembangan baik dalam pembangunan sosio ekonomi masyarakat secara menyeluruh.  Katanya, amalan pemurah yang cukup terpuji dalam agama Islam itu juga dapat membantu kerajaan melaksanakan dasarnya untuk membasmi kemiskinan pada semua peringkat.  “Pada bulan Ramadan, kita dapat melihat sumbangan daripada umat Islam yang pemurah dan prihatin mencurah-curah sama ada di dalam bentuk barangan mahupun duit.   “Budaya pemurah ini amat dituntut oleh agama dan ia perlu dikekalkan sepanjang masa.” katanya ketika berucap pada majlis Tadarus dan Khatam Al-Quran serta sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh di sini hari ini.
Majlis anjuran UMNO Bahagian Pagoh dengan kerjasama Amanah Raya Berhad itu turut meraikan seramai 181 golongan kurang berkemampuan termasuk ibu tunggal dan anak yatim dari kawasan Pagoh.  Menurut Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan menjelang tahun 2010 supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.   “Agenda pembasmian kemiskinan masih kita teruskan dan ia dilakukan dengan membantu mereka menerusi beberapa program peningkatan pendapatan,” katanya.   Katanya, pihak kerajaan juga sedar pembangunan sosio ekonomi masyarakat tidak sepatutnya terkongkong di tahap pendapatan sederhana sahaja kerana ia dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi.   “Walaupun kita telah dapat melihat peningkatan, ia tidak terlalu ketara. Kita juga mahu melihat peningkatan daripada pendapatan sederhana kepada pendapatan tinggi.   “Sehubungan itu, kerajaan telah membentuk sebuah kumpulan pakar ekonomi bagi merangka pelan ekonomi yang komprehensif dalam melaksanakan matlamat ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 12/09/09

Seruan Untuk Melakukan Amalan Mulia. Apakah TPM Lupa Akan Dirinya?

Bagi seorang muslim setiap perbuatan yang dilakukannya mestilah terikat dengan hukum syara’ dari perkara yang kecil hinggalah kepada yang besar. Untuk menentukan sama ada sesuatu amalan itu mulia ataupun tidak ukurannya bukanlah berdasarkan kepada akal manusia tetapi disandarkan kepada Allah dan RasulNya. Dengan sandaran ini, setiap amalan manusia akan dihisab dan diperhitungkan oleh Allah SWT, walaupun ianya sebesar zarah sekalipun. Firman Allah SWT :

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!” [TMQ Al Zalzalah (99) : 7-8].

Kita tidak menafikan amalan bersedekah adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam terutamanya jika ianya dilakukan dalam bulan Ramadhan. Ya, bersedekah adalah merupakan amalan yang mulia tetapi bagaimana dengan amalan-amalan yang lain? Ketahuilah, tidak ada amalan yang lebih mulia di sisi Allah SWT dari melaksanakan segala bentuk perintahNya dan meninggalkan semua laranganNya yakni dengan melaksanakan semua perkara yang wajib dan meninggalkan segala perkara yang haram.

Sebagai salah seorang yang berkuasa di Malaysia saat ini, TPM juga sewajarnya menjadikan Ramadhan kali ini untuk menilai dirinya apakah beliau telah melakukan amalan yang mulia sesuai dengan kuasa yang ada pada dirinya. Renungilah firman Allah SWT:

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” [TMQ Al Baqarah (2) : 44].

Wahai TPM! Ketika kamu menyeru lapisan masyarakat umat Islam melakukan amalan-amalan yang mulia maka kamu juga wajib memperingatkan Najib akan kewajibannya menerapkan Islam dalam kehidupan bernegara. Rebutlah kemuliaan yang dinyatakan oleh Allah SWT ini. FirmanNya

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” [TMQ Fushshilat (41) : 33].

Wahai TPM! Kamu adalah sebahagian dari orang yang berkuasa di saat ini. Gunakanlah kuasa yang ada pada kamu itu untuk meraih pahala dan keredhaan di sisi Allah SWT. Itulah amalan mulia yang sewajarnya kamu lakukan untuk merebut keredhaanNya. Apakah kamu lupa akan perintah dan larangan Allah SWT?

“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka”. [TMQ Al Hasyr (59) ; 19].