Bernafas Dalam Jerebu – Sampai Bila?
Saban tahun, kita terpaksa berdepan dengan ancaman jerebu yang berulang tanpa kesudahan. Tahun ini, jerebu kembali tatkala negara sedang berhadapan dengan fenomena El-Nino, dengan kesan yang ketara di beberapa kawasan di Sarawak. Menurut data rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kualiti udara di beberapa kawasan utama di Sarawak seperti Serian, Kuching, Sri Aman, dan Miri kerap merosot ke tahap Tidak Sihat hingga Sangat Tidak Sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150.
Punca utama yang disahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) adalah kombinasi kebakaran hutan serta tanah gambut berskala besar di negara jiran yang dibawa oleh tiupan angin monsun barat daya, lalu diburukkan lagi oleh pembakaran terbuka tempatan semasa musim cuaca panas dan kering.
Krisis jerebu ini membawa kemudaratan kepada pelbagai aspek kehidupan. Dari sudut alam sekitar, pembakaran tanah gambut membebaskan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera, sekali gus menyumbang kepada kemusnahan ekosistem unik dan kepelbagaian biologi yang sukar dipulihkan.
Dari sudut kesihatan, pencemaran zarah halus PM2.5 ini meragut hak rakyat untuk bernafas dengan selamat, mencetuskan lonjakan kes jangkitan saluran pernafasan atas (upper respiratory tract infection), serangan asma, serta risiko penyakit kardiovaskular dan kanser paru-paru pada jangkamasa panjang. Impak ini seterusnya merebak ke sektor ekonomi, di mana negara menanggung kerugian akibat peningkatan kos perubatan, penurunan produktiviti tenaga kerja, pembatalan penerbangan, dan kelesuan sektor pelancongan tempatan.
Hakikatnya, krisis jerebu rentas sempadan ini bukannya sekadar bencana alam semula jadi mahupun takdir yang berlaku tanpa sebab, sebaliknya ia merupakan fenomena yang turut disumbangkan oleh perbuatan manusia.
Akar permasalahan sebenar berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan tadbir urus yang mendalam, apabila syarikat-syarikat konglomerat ladang kelapa sawit dan pembalakan memilih kaedah “tebang dan bakar” (slash-and-burn) sebagai jalan pintas paling murah untuk membersihkan tanah demi memaksimumkan keuntungan. Sempadan negara-bangsa (nation-state) juga menjadi penghalang utama kepada penyelesaian menyeluruh, di mana persetujuan serantau sering kali tumpul tanpa kuasa mengikat yang tegas.
Kerosakan sistemik ini berakar-tunjang daripada penerapan sistem ekonomi Kapitalisme Sekular yang mendewakan pertumbuhan ekonomi dan keuntungan material berbanding keselamatan nyawa serta kelestarian alam. Dalam acuan kapitalistik, alam sekitar tidak dilihat sebagai amanah penciptaan yang perlu dipelihara, melainkan hanya sebagai komoditi dan sumber mentah yang boleh dieksploitasi demi mengisi kantung para pemilik modal.
Dasar-dasar liberalisasi pasaran dan pembukaan tanah secara komersial tanpa kawalan ketat telah menyebabkan badan kawal selia kerajaan sering tunduk kepada tekanan oligarki perniagaan. Apabila motif utama sesebuah sistem adalah pemaksimuman keuntungan (profit maximization), kos pembersihan tanah secara mampan dianggap sebagai beban kewangan yang mesti dielakkan, walaupun harga yang perlu dibayar oleh rakyat ialah kerosakan kesihatan dan kemusnahan ekologi.
Selain itu, kerosakan sistemik ini turut diperparah oleh kegagalan sistem politik sekular yang berteraskan negara-bangsa. Dalam kerangka ini, setiap negara bertindak mengikut kepentingan nasionalistik dan pertimbangan politik dalaman masing-masing, sehingga menangani isu alam sekitar rentas sempadan sentiasa terperangkap dalam diplomasi retorik yang tidak berkesudahan.
Perjanjian serantau seperti Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan sering terbukti tidak berkesan kerana ketiadaan mekanisme hukuman yang mengikat ke atas syarikat transnasional mahupun kerajaan yang gagal mengawal pembakaran di wilayah mereka. Gejala ini membuktikan bahawa sistem politik dan ekonomi yang ada pada hari ini secara reka bentuknya (by design) gagal dan tidak berupaya melindungi kedaulatan alam serta kesejahteraan manusia daripada kerakusan pemilik modal.
Bagi menangani krisis ini secara jangka pendek dan teknikal, pelbagai langkah praktikal mesti digembleng dengan tegas. Ini termasuklah menguatkuasakan pemantauan satelit secara masa nyata (real-time) untuk mengesan titik panas (hotspot) dengan serta-merta, melaksanakan operasi pembenihan awan untuk mencetuskan hujan, serta membina sekatan air (canal blocking) bagi mengekalkan kelembapan tanah gambut supaya tidak mudah terbakar.
Pada masa yang sama, tindakan perundangan yang keras tanpa kompromi, seperti pembatalan lesen perniagaan dan penyitaan aset, mesti dikenakan ke atas mana-mana syarikat tempatan mahupun antarabangsa yang terbukti melakukan pembakaran terbuka.
Walau bagaimanapun, penyelesaian hakiki memerlukan pendekatan syarie yang merombak punca kerosakan dari akarnya. Islam menetapkan kaedah fiqh yang murni iaitu “la dharar wa la dhirar” (tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh menimbulkan kemudaratan), yang menuntut supaya sebarang aktiviti ekonomi yang merosakkan kehidupan awam dihentikan serta-merta.
Dalam Islam, negara bertindak sebagai “ra’in” (pengurus / pengawal / penjaga) yang bertanggungjawab menjaga harta, nyawa, dan alam sekitar demi kemaslahatan rakyat, bukannya berfungsi sebagai fasilitator kepentingan elit kapitalis. Malah, hutan dan sumber alam utama tergolong dalam pemilikan umum (al-milkiyyah al-ammah) yang tidak boleh dimiliki secara rakus atau dimonopoli oleh sesetengah korporat untuk dirosakkan.
Allah (swt) telah memperingatkan hamba-Nya tentang punca kerosakan alam menerusi firman-Nya:
ظَهَرَ ٱلْفَسَادُ فِى ٱلْبَرِّ وَٱلْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30): 41].
Bencana jerebu yang melanda secara keseluruhannya adalah cerminan nyata kepada kerosakan sistemik akibat perbuatan tangan manusia yang mengabaikan hukum Allah dan menundukkan diri kepada sistem sekular-kapitalis. Selagi mana kecekapan ekonomi diukur berasaskan angka keuntungan semata-mata dan hukum syariah dipinggirkan daripada pemerintahan negara, selagi itulah masyarakat akan terus menjadi mangsa ketamakan industri yang meragut udara bersih kita.
Sudah tiba masanya untuk umat manusia kembali kepada sistem Islam yang menyeluruh, sebuah sistem yang menempatkan ketakwaan, keadilan, dan pemeliharaan alam sebagai teras tertinggi dalam memelihara kesejahteraan.