Perbelanjaan sekolah naik lagi: Sampai bila ibu bapa mahu mengeluh?

kami-makin-terbebanSetiap tahun kita mendengar keluhan ibu bapa dengan kenaikan perbelanjaan persekolahan anak-anak.  Saban tahun yuran, buku-buku, tambang bas dan kebanyakan peralatan sekolah semuanya naik harga. Sesi persekolahan tahun baru 2016 ini sekali lagi dimulai dengan perasaan sesak nafas ramai ibu bapa diakibatkan kenaikan perbelanjaan persekolahan anak-anak, apatah lagi bagi yang mempunyai anak ramai. GST turut menjadi penyebab kepada kenaikan ini.

Pendidikan merupakan hak asas setiap warganegara, malah di dalam Islam menuntut ilmu itu merupakan sebuah kewajipan. Manakala tanggungjawab negara pula dalam hal ini ialah menyediakan pendidikan, prasarana dan segala keperluan yang berkaitan dengannya kepada warganya sebaik mungkin di samping wajib bertepatan dengan kehendak syarak.

Salah satu kewajipan negara dalam konteks ini ialah menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat. Inilah hukum Islam. Rasulullah SAW memerintahkan para tawanan perang Badar agar mengajar anak-anak kaum Muslimin sebagai tebusan untuk mereka dan begitu juga para Khalifah setelah baginda yang memberikan pendidikan percuma kepada warganegara yang hal ini sudah maklum di sepanjang sejarah keemasan pendidikan Islam.

Pendidikan berbayar yang dikenakan ke atas rakyat menunjukkan betapa buruknya sistem pemerintahan kerajaan demokrasi-kapitalis hari ini yang sifatnya adalah mencari sebanyak mungkin keuntungan dalam apa jua bidang, termasuklah bidang pendidikan. Pemerintah kapitalis bukan menjadi penjaga, sebaliknya menjadi “peniaga” kepada rakyat. Walaupun pendidikan adalah hak rakyat yang wajib diberi secara percuma, namun hal ini tidak ada dalam kamus pemerintahan kapitalis, kerana dalam sebuah negara kapitalis, “keuntungan” adalah segala-galanya, walaupun dengan cara berniaga dengan rakyat dan menindas rakyatnya sendiri.

Jadi, jangan haraplah untuk mendapat pendidikan percuma di Malaysia kerana segalanya mesti berbayar. Inilah yang ada dalam kamus pemerintah kapitalis. Rakyat dipaksa bayar dengan harga yang tinggi untuk mendapat sebuah pelajaran. Tidak kira kaya atau miskin, mesti membayar harga yang sama. Tidak cukup dengan itu, malah tidak lama dahulu ada cubaan untuk “menjenayahkan” ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak ke sekolah, walaupun hakikatnya ibu bapa tersebut berbuat demikian kerana tidak mampu membayar perbelanjaan sekolah anak-anak.

Inilah realiti sebuah negara demokrasi-kapitalis, walaupun Malaysia sering mendakwa sebagai sebuah negara Islam yang menjaga kebajikan rakyat. Tahun demi tahun silih berganti, sudah tidak ada harapan untuk umat Islam melihat perubahan ke arah kebaikan di bidang apa pun, kecuali bertambahnya tahun menjadi penambah kepada kesengsaraan rakyat.

Persoalannya, sampai bilakah ibu bapa hanya ingin mengeluh dan terus pasrah dengan keadaan ini? Sudahlah segala barangan dan perkhidmatan naik harga, ditambah lagi dengan kenaikan perbelanjaan sekolah. Sampai bilakah kita ingin terus menaruh harapan kepada kerajaan yang sudah terbukti tidak boleh diharap ini? Selagi kerajaan ini tidak ditukar dengan sebuah pemerintahan Khilafah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, maka selagi itulah keadaan akan terus memburuk.

Janganlah kita menunggu dan mengharap bulan jatuh ke riba, kerana setiap perkara itu mesti diusahakan, barulah mendapat hasilnya. Dari segi hukum, negara Khilafah itu wajib didirikan oleh setiap Muslim dan berdosalah sesiapa yang berdiam diri dari mendirikannya. Manakala dari segi sababiyahnya, sesungguhnya negara Khilafah itu tidak akan berdiri kecuali dengan usaha daripada kita semua. Justeru, apa guna mengeluh dengan sebuah keburukan jika kita tidak mengusahakan sebuah kebaikan bagi menggantikannya?

Wallahu a’lam.