Bersih 5: Kasihan kepada pejuang demokrasi
Demonstrasi besar-besaran Bersih 5 dijadual akan diadakan pada 19 November ini. Sejak sebulan lepas, pihak penganjur telah pun melakukan promosi dan bergerak ke seluruh negara untuk mengajak orang ramai menyertainya.
Promosi dilakukan sehingga ke Sabah yang menyaksikan pengerusi Bersih ditangkap di Kota Marudu beberapa hari lepas atas kesalahan mengedar risalah. Di beberapa tempat, promosi Bersih terpaksa berhadapan dengan pasukan Baju Merah yang telah berikrar sanggup bermandi darah untuk menghalang demonstrasi Bersih, satu tindakan yang nampaknya didiamkan sahaja oleh pasukan keselamatan!
Baik pasukan Baju Merah mahupun Baju Kuning, kedua-duanya bergerak dan bertembung sesama sendiri atas nama demokrasi! Satu pihak menyatakan bahawa merekalah pejuang demokrasi sebenar yang ingin membersihkan demokrasi yang telah dicemari oleh parti pemerintah, manakala pihak yang satu lagi pula ingin bermati-matian mempertahankan kerajaan yang sedia ada yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat. Kedua-dua hakikatnya “berperang” atas slogan yang satu – demokrasi!
Sejak perhimpunan pertama dilakukan pada 2007, ratusan ribu rakyat telah dikerahkan dan terlibat dengan demonstrasi anjuran Bersih dan sejak itu, hanya satu sahaja tuntutan mereka diterima oleh kerajaan yakni penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya. Itu pun mereka tetap “tertipu” dengan permainan kerajaan kerana ternyata dakwat kekal yang diperkenalkan, tidak kekal!
Sejak perjuangannya lebih kurang 10 tahun lepas, Bersih kemudian diboikot oleh sekutunya sendiri yang telah menukar pendirian untuk “berpaling tadah” tidak lagi menyokong Bersih dan bertindak seolah-olah cuba “mempertahankan” kerajaan yang telah menzalimi rakyat sejak sekian lama. Akhirnya perhimpunan Bersih 4 menyaksikan ia didominasi oleh kaum Cina. Hal inilah yang kini telah memunculkan kumpulan Baju Merah yang hakikatnya cuba menunjukkan ketuanan Melayu atas nama mempertahankan kerajaan yang sah.
Sayang seribu kali sayang, pihak-pihak yang memperjuangkan demokrasi, siapa pun ia, sampai sekarang masih tidak nampak bahawa sistem demokrasi itulah yang menjadi punca kepada segala kerosakan dan kezaliman. Atas nama demokrasilah, Muslim bergaduh sesama sendiri kerana berebutkan kerusi setiap kali pilihanraya. Atas nama demokrasilah, kaum kafir boleh menjadi pemerintah dan menguasai orang-orang Islam. Atas nama demokrasilah, cukai, tol, bayaran perkhidmatan yang tinggi dan segala wang dalam poket rakyat diragut dengan cara sah oleh pemerintah. Atas nama demokrasilah segala undang-undang kufur yang penuh kezaliman boleh diterapkan. Atas nama demokrasilah rakyat cuba bangkit memberontak dan kerajaan pula menangkap “pemberontak” juga atas nama demokrasi. Pendek kata, segala-galanya dilakukan atas nama demokrasi!
Itulah sistem demokrasi yang sangat disayangi oleh sesetengah pihak, sebuah sistem kufur yang datangnya dari Barat yang menjadikan kedaulatan di tangan manusia dengan membelakangkan hak Allah SWT. Sesungguhnya manusia, apatah lagi umat Islam, tidak akan pernah berhenti bergaduh dan bercakaran sesama sendiri di bawah sistem kufur ini. Fenomena Bersih hanyalah salah satu manifestasi yang dapat dilihat hasil daripada sistem demokrasi yang penuh kerosakan ini. Pendek kata, dalam sistem ini, sungguh kasihan kepada para pejuangnya kerana persengketaan sesama mereka tidak akan pernah padam dan hasilnya, yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.