Betapa khianatnya Sheikh Hasina!
Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dilaporkan telah meminta kerajaan Myanmar untuk mengambil kembali kesemua pelarian Rohingya yang memasuki negaranya secara haram. Hasina menyatakan hasratnya itu kepada delegasi khas Aung San Suu Kyi, U Kyaw Tin dalam satu pertemuan di Ganabhaban pada 11 Januari lalu [Channel News Asia, 12/1/17]. Sehingga kini, terdapat sejumlah 500,000 pelarian Rohingya yang berada dalam keadan daif di kem-kem pelarian di Bangladesh, berhampiran dengan sempadan Myanmar.
Pertemuan tersebut berlangsung di saat Myanmar berdepan dengan tekanan antarabangsa berhubung isu kebanjiran pelarian Rohingya menuju Bangladesh. Hasina turut memberikan jaminan bahawa pihaknya sanggup melakukan apa sahaja untuk mengukuhkan lagi hubungan antara Bangladesh dan Myanmar, dan bersungguh-sungguh untuk mengatasi isu-isu berkaitan hubungan kedua-dua buah negara termasuklah dalam menangani isu Rohingya.
Selain pembunuhan kejam dan penyeksaan yang tidak berperikemanusiaan, terdapat laporan yang menyatakan bahawa wanita-wanita muda etnik Rohingya telah dirogol secara sistematik oleh tentera rejim yang menyerang kampung-kampung penempatan Muslim Rohingya. Kisah-kisah ngeri itu turut tersebar daripada beberapa orang wanita yang berjaya menyelamatkan diri daripada insiden tersebut sejak beberapa bulan lepas.
Dalam laporan pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia, tentera kerajaan memasuki kampung-kampung di utara Rakhine dan melepaskan tembakan secara rawak, menembak pelancar roket dan memusnahkan kediaman sementara kanak-kanak dan wanita dirogol tanpa belas kasihan. Dari imej satelit yang didedahkan Human Right Watch (HRW), kira-kira 1,500 kediaman telah dimusnahkan oleh tentera rejim.
Hasina bukan sahaja enggan mendesak tentera Myanmar untuk menghentikan kezaliman yang dilakukan ke atas kaum Muslimin, bahkan tergamak menyerahkan semula Muslim Rohingya untuk disembelih oleh tentera dan ekstremis Buddha Myanmar. Betapa khianat dan jahatnya Perdana Menteri Bangladesh ini!
Hasina langsung tidak mempedulikan nasib yang menimpa umat Islam Rohingya, walaupun sesama akidah dan bersaudara. Bahkan demi mendapatkan manfaat daripada hubungan bilateral dengan Myanmar, Hasina sanggup menghulurkan tangan kotornya untuk menyambut mesra tangan rejim Myanmar yang berlumuran dengan darah umat Islam!
Negara bangsa yang direkayasa oleh penjajah kafir ini sungguh licik dan menjijikkan sehingga seorang Muslim tidak akan mempedulikan nasib saudaranya yang lain dan sanggup menyerahkannya kepada musuh. Negara bangsa inilah yang memisahkan umat Islam yang merupakan umat yang satu, kepada beberapa buah negara kecil dan lemah yang dipisahkan oleh sempadan-sempadan palsu dan diperintah pula oleh ejen-ejen kuffar Barat.
Sesungguhnya kita sudah tidak boleh mengharapkan kesemua pemerintah Muslim yang ada untuk untuk menyelamatkan Muslim Rohingya, kerana telah terbukti kesemua mereka adalah pengkhianat kepada umat. Satu-satunya harapan yang tinggal hanyalah kepada Negara Khilafah, yang sedang diusahakan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia yang Insya Allah apabila ia tegak sedikit masa lagi, rejim Myanmar akan mendapat pengajaran yang sewajarnya atas kezalimannya selama ini ke atas kaum Muslimin!