Muslim Rohingya Berdepan Ancaman Berterusan, Umat Islam Malaysia Disibukkan Dengan Perjuangan Sempit Nasionalisme

Dilaporkan bahawa hampir 8000 orang penduduk Muslim Rohingya terpaksa melarikan diri sepanjang minggu lalu setelah pihak berkuasa Myanmar melancarkan operasi penangkapan besar-besaran, menurut Chris Lewa, wakil daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Arakan Project yang dipetik oleh Anadolu Agency.

Situasi panik mula tercetus dalam komuniti Rohingya setelah tersebarnya khabar tentang insiden penyeksaan beberapa orang tahanan oleh pihak berkuasa Myanmar sehingga menyebabkan kematian. Menurut Lewa lagi, jumlah pelarian sepanjang minggu lalu telah mencatatkan rekod tertinggi semenjak konflik antara kaum di negara tersebut tercetus kira-kira dua tahun yang lalu.[1]

Penduduk Muslim Rohingya seringkali menjadi mangsa keganasan terancang oleh rejim Myanmar semenjak berdekad lamanya. Mereka berdepan dengan pelbagai tekanan daripada kerajaan Myanmar dan dinafikan hak sebagai penduduk asal wilayah tersebut. Pihak berkuasa Myanmar turut berusaha memanipulasikan fakta sejarah wilayah Arakan dan mendakwa bahawa etnik Rohingya merupakan pendatang haram yang berasal daripada Bangladesh. Dalam bancian yang dijalankan oleh kerajaan Myanmar pada 30 Mac sehingga 10 April lalu, warga Rohingya telah dipaksa untuk mengaku sebagai etnik ‘Bengali’ atau berdepan dengan risiko penahanan sekiranya enggan berbuat demikian. Dalam pada itu, kerajaan Bangladesh pula enggan menerima kemasukan baru pelarian Rohingya ke negara tersebut. Bahkan kerajaan pimpinan Sheikh Hasina tergamak menghantar semula pelarian yang telah memasuki sempadannya, meskipun menyedari nasib yang bakal menimpa mereka sekiranya diserahkan kepada pihak berkuasa Myanmar. Inilah satu bentuk pengkhianatan terhadap umat Islam yang dilakukan oleh Sheikh Hasina atas dasar sempadan nasionalisme! [2]

Etnik Rohingya juga telah berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan hospital kerajaan Myanmar, manakala pertubuhan-pertubuhan kebajikan pula dilarang daripada menawarkan bantuan perubatan yang sangat diperlukan. Tindakan ini menjadikan situasi semakin meruncing bagi kaum Muslimin Rohingya yang telah sekian lama ditindas. Semenjak insiden ketegangan antara kaum yang tercetus pada tahun 2012, dilaporkan bahawa sejumlah 240 orang yang kebanyakannya terdiri daripada Muslim Rohingya telah terkorban manakala hampir 140 ribu orang telah kehilangan tempat tinggal. Kem-kem pelarian pula berada dalam keadaan yang serba daif dan serba kekurangan.

Rentetan daripada kesempitan hidup di tanah air sendiri, puluhan ribu orang Rohingya terpaksa melarikan diri ke pelbagai negara termasuklah Malaysia, Thailand dan Australia. Malangnya, sebahagian besar daripada mereka telah ditipu dan terjebak ke dalam kancah sindiket pemerdagangan manusia (human traffficking) yang mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan daripada kemelut yang melanda etnik Rohingya. Pelarian Rohingya telah dikenakan bayaran yang tinggi dan berdepan dengan pelbagai bentuk penyeksaan sekiranya gagal membuat bayaran. Berdasarkan testimoni daripada sebilangan pelarian yang terselamat daripada sindiket tersebut, dilaporkan bahawa mereka telah dipukul tanpa belas ihsan manakala sebilangan wanita telah dirogol secara beramai-ramai dalam kem-kem pemerdagangan manusia yang terletak jauh dalam kawasan hutan di sekitar wilayah Selatan Thailand.

Wahai umat Islam di Malaysia, sampai bilakah kalian ingin terus berdiam diri? Tidakkah hati-hati kalian tersentuh dengan penderitaan yang menimpa saudara seakidah kita ini? Sudah hilangkah nilai kemanusiaan dalam diri kalian? Mengapakah kalian tidak bersungguh-sungguh berjuang membela nasib Muslim Rohingya sebagaimana kalian berkempen dalam isu Palestin? Mengapa wujud perbezaan sikap dalam mendepani isu Palestin berbanding isu Rohingya? Ke mana pula perginya tentera-tentera kaum Muslimin yang handal dan terlatih beserta kelengkapan-kelengkapan senjata mereka yang canggih? Adakah ia sekadar untuk dijadikan koleksi simpanan, hiasan dan pameran pada hari kemerdekaan? 

Adakah sentimen nasionalisme yang menyelubungi benak umat Islam di negara ini terlalu tebal sehingga mengatasi ikatan akidah yang menyatukan kita semua? Inilah natijah yang terbentuk daripada pemahaman sempit nasionalisme yang diagung-agungkan oleh segelintir pihak. Lantaran perjuangan yang tunduk kepada waqi’ (realiti), sebilangan gerakan Islam telah menyempitkan perjuangan mereka berdasarkan konteks negara bangsa. Sedarlah dan bangkitlah wahai umat Islam! Campakkanlah sentimen nasionalisme yang menebal dalam diri kalian. Bersatulah dan berjuanglah ke arah mengembalikan semula Khilafah atas manhaj kenabian, iaitu sebuah institusi yang akan melakukan pembelaan terhadap setiap individu Muslim yang tertindas tanpa mengira latarbelakang bangsa dan wilayah mereka tinggal.

“Sesungguhnya lenyapnya dunia ini adalah lebih ringan bagi Allah daripada membunuh jiwa seorang Muslim [HR At-Tirmidzi, juga oleh An-Nasa’i dan Ibnu Majah].

Sumber:
[1] Mass exodus of Muslims from Myanmar following arrests

[2] Natijah Nasionalisme – Pengkhianatan Sheikh Hasina terhadap Muslim Rohingya