Bila Ashobiyyah Terus Membelenggu Pemikiran Pemimpin Umat Islam
TANGKAK, 28 Ogos – Masyarakat Islam di negara ini perlu menghargai kesejahteraan dan keamanan yang dipupuk sejak sekian lama tanpa perlu bimbang akan berlaku konflik sebagaimana di negara Islam lain seperti Iraq dan Afghanistan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, umat Islam di negara ini perlu berasa bertuah kerana mampu menjalani kehidupan harian dengan penuh harmonis, tanpa diancam dengan bahaya pergolakan bersenjata serta konflik. “Banyak negara lain yang menghadapi masalah sehingga menjejaskan kehidupan mereka termasuk pergaduhan sesama sendiri, perang saudara, pergaduhan antara puak dan penjajahan seperti yang dihadapi di Iraq,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang di Masjid Jamek Al Muhajirin Felda Seri Ledang hari ini. Muhyiddin berkata, pergolakan yang berlaku di negara Islam terbabit boleh menjejaskan rakyat sehingga tidak dapat mencapai kemajuan dan mengakibatkan mereka terpaksa hidup dalam serba kekurangan.
Katanya, terdapat juga negara Islam yang sudah merdeka dan mentadbir negara sendiri tetapi masih mundur akibat pergaduhan sesama sendiri sehingga menimbulkan suasana tidak tenteram. Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat negara ini perlu menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52 pada 31 Ogos ini untuk menghayati kembali sejarah hasil daripada perjuangan generasi terdahulu. Muhyiddin berkata, umat Islam perlu terus mempertingkatkan modal insan melalui penguasaan ilmu yang menjadi antara perkara penting perpaduan ummah. Katanya, kerajaan sentiasa mengambil berat soal pendidikan dengan membelanjakan berbilion ringgit setiap tahun termasuk pemberian makanan percuma dengan peruntukan RM1.8 bilion setahun kepada antara lima hingga enam juta pelajar sekolah setiap tahun, dalam usaha memastikan rakyat dapat menguasai ilmu. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata melalui peruntukan itu tiada sebab untuk rakyat tidak dapat menguasai ilmu jika mereka bersungguh-sungguh berbuat demikian. – BERNAMA
Sumber : Utusan Malaysia, 28/08/09
Sampai Bilakah Penjara Ashobiyyah Akan Membelenggu Benak Pemikiran Pemimpin Umat Islam?
Mungkin kerana sudah terpesona dengan slogan 1Malaysia yang dikumandangkan disana-sini jadi tidak hairanlah jika pemikiran ashobiyyah yang jelas-jelas diharamkan oleh Islam terus dimainkan oleh para pemimpin negara termasuklah TPM. Isu kesejahteraan dan keamanan hidup di Malaysia dijadikan oleh Muhyiddin sebagai perbandingan dengan keadaan umat Islam ditempat lain. Apakah beliau tidak sedar bahawa apa yang beliau lakukan itu mengundang murka Allah SWT? Melalui lisan RasulNya, Muhammad SAW, keharaman fahaman asobiyyah begitu jelas termanifestasi. Dengan perasaan ashobiyyah yang menebal inilah umat Islam membezakan-bezakan keadaan di antara satu negeri umat Islam dengan negeri umat Islam yang lain sedangkan hakikatnya, umat Islam itu Tuhannya satu, Nabinya satu, Kitabnya satu dan Kiblatnya satu. Namun malang sekali, mereka tidak membentuk umat yang satu sedangkan Rasulullah SAW telah mengibaratkan umat Islam seperti satu tubuh:
“Daripada Nukman bin Basyir Radhiallahu `anhu katanya: Kamu lihat orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih mengasihi, saling cinta mencintai dan saling tolong menolong,seperti sebatang tubuh. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh batang tubuh ikut menderita tidak dapat tidur dan menderita panas.” [Hadis riwayat Bukhari].
Umat Islam sehingga saat ini terus dipisah-pisahkan dengan sempadan ashobiyyah yang dicipta oleh penjajah Barat semenjak mereka berjaya menjajah negeri-negeri kaum Muslimin setelah kejatuhan Daulah Khilafah Uthmaniyyah di Turki pada 3 Mac 1924. Apakah Muhyiddin sedar bahawa ucapan beliau membandingkan keadaan di Malaysia dengan keadaan di Iraq dan Afghanistan merupakan suatu tindakan yang membeza-bezakan umat Islam. Apakah beliau terlupa dengan perintah Allah SWT ini?
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya”. [TMQ al-‘Imraan (3) : 103].
Sedarkah beliau di kala umat Islam di seluruh dunia berpuasa, ia merupakan suatu tanda ketundukan umat Islam kepada perintah Tuhan mereka yang satu. Inilah antara manifestasi hakikat bahawa umat Islam itu adalah umat yang satu. Umat Islam bersaudara tanpa ada pemisah, penghalang dan pembeza ashobiyyah di kalangan mereka. Sedarkah Muhyiddin bahawa konflik yang berlaku di Iraq, Afghanistan mahupun di dunia umat Islam yang lain adalah kerana pengkhianatan yang telah dilakukan oleh para pemimpin umat Islam itu sendiri? Para pemimpin umat Islam tunduk kepada kuasa besar Amerika dan mereka lebih bersedia menjadi boneka Barat daripada menjadi hamba Allah SWT. Para pemimpin dunia umat Islam saat ini lebih mentaati perintah Amerika mengatasi perintah Allah SWT. Jadi tidak hairanlah apabila penjara-penjara besar ashobiyyah ini terus berdiri membelenggu benak pemikiran umat Islam terutamanya para pemimpin mereka. Lantas kerana itu, kita dapat menyaksikan para pemimpin umat Islam menjadi mayat-mayat hidup yang tidak berbuat apa-apa apabila umat Islam dibunuh dan dihina di mana-mana belahan dunia ini. Wahai para pemimpin umat Islam! Robohkan penjara-penjara besar ashobiyyah itu dan bergeraklah menuju keluasan dan kesatuan ukhuwah Islamiyyah! Wahai TPM! Persoalan di Iraq itu adalah juga persoalan umat Islam di Malaysia. Ianya juga adalah persoalan kamu wahai Muhyiddin! Begitu jugalah dengan keadaan umat Islam di tempat lain.
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara”. [TMQ al-Hujuraat (49) : 10].