Bilakah UMNO mahu kembali ke pangkal jalan?
“Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah” [HR Abu Dawud]
Pergaduhan dan pertelingkahan hebat yang sedang berlaku di dalam persaingan merebut jawatan di kalangan ahli-ahli UMNO pada ketika ini amat serius sehingga ada yang didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR). Gesaan ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang mahukan MT mengambil tindakan segera membendung gejala tidak sihat itu sambil mengajak semua ahli UMNO untuk mengeratkan semula silaturrahim sebenarnya umpama anjing menyalak bukit. Ini bukanlah kali pertama hal ini ditekankan, dan bukan juga kali ke seribu, sudah jutaan kali perkara yang sama diulang-ulang. Sesungguhnya satu-satunya tali yang mengikat ahli-ahli UMNO sekarang (dan dari dulu) adalah “manfaat”. Kerana adanya “manfaat”lah menyebabkan mereka masih berpegang kepada UMNO. Ahli UMNO kebanyakannya sudah tidak lagi mempercayai barisan kepimpinan mereka, cuma “manfaatlah” yang menyebabkan sokongan diberi.
Perebutan jawatan sehingga ke tahap rasuah-merasuah sudah terlalu biasa dan kini ada pula yang terbunuh. Beberapa hari lepas, Timbalan Ketua Cawangan UMNO cawangan Bukit Merah, Taib Ali, 61 telah mati ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki bermotosikal di hadapan sekolah anaknya di Jalan Gunung Semanggol-Bukit Merah. Kemewahan dan kesenangan jika dapat memegang jawatan tinggi di dalam UMNO adalah punca utama kepada pergeseran dan permusuhan hebat yang berlaku dalam UMNO. Tiada siapa pun yang dapat menafikan bahawa setiap jawatan penting di dalam UMNO menjanjikan kemewahan dan kesenangan. Kerana itulah ada yang sanggup melakukan apa sahaja. Ia antara lain adalah kerana para pemimpin mereka sendiri yang menunjukkan contoh yang tidak baik. Lihatlah kemewahan yang dikecapi oleh barisan tertinggi di dalam kepimpinan UMNO. Ahli-ahli peringkat akar umbi sudah muak dengan sikap bermuka para pemimpin mereka sendiri, disebabkan itulah ada di antara mereka yang berpandangan sudah tiba masanya untuk bertindak. Itu pun kerana mereka tidak dapat mengecapi kemewahan yang sama. Tatkala mereka dijanjikan kemewahan oleh para pemimpin, maka mereka akan terus bertempel dengan UMNO. Tidak ada cara lain lagi untuk menyelamatkan ahli-ahli UMNO, dunia dan akhirat melainkan dengan merubah asas dan matlamat perjuangan mereka kepada perjuangan yang berlandaskan dan bermatlamatkan Islam.
Bagaimanapun, “manfaat dunia” nampaknya menghalang sebahagian besar ahli-ahi UMNO dari merubah perjuangan. Mereka tidak sanggup berjuang untuk Islam kerana jika berjuang untuk Islam, segala rasuah, penyelewengan dan kesenangan hidup yang mereka perolehi di bawah UMNO selama ini mungkin akan berakhir. Kemewahan dunia telah melupakan mereka bahawa kesemua kesenangan itu tidak akan mereka bawa ke kubur sedikit pun, apatah lagi ke akhirat. Malah dengan kemewahan itulah Allah akan mengazab mereka, namun mereka masih alpa dan terus alpa. Na’uzubillah min zalik.