Bisyarah kembalinya Khilafah wajib disahut dengan usaha sungguh-sungguh – Jurucakap HTM

BULETIN HTM – Perjuangan menegakkan semula Daulah Khilafah bukanlah satu angan-angan kosong atau sekadar mimpi, sebaliknya ia merupakan satu janji dan khabar gembira (bisyarah) daripada Allah (swt) dan Rasul-Nya (saw).

Demikian tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman, dalam program mingguan “Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM” yang disiarkan secara langsung di platform TikTok rasmi beliau pada 15 Mei 2026.

Dalam sesi minggu ini dengan tajuk ‘Bisyarah Kembalinya Khilafah’, Jurucakap HTM itu memulakan pembentangan dengan memetik Surah An-Nur (24) ayat ke-55 iaitu janji Allah untuk memberikan kekuasaan kepada umat Islam di muka bumi.

Beliau kemudian mengungkap “hadis lima zaman” dan menjelaskan yang umat Islam sekarang berada di fasa keempat iaitu zaman pemerintahan diktator.

Hadis ini, menurut beliau, menyatakan dengan jelas bahawa selepas zaman kediktatoran ini, zaman Khilafah ala minhaj nubuwwah akan kembali semula.

Ustaz Hakim kemudian membentangkan banyak hadis berkenaan bisyarah (khabar gembira) kembalinya Islam yang akan menerajui dunia, termasuklah hadis kemenangan umat Islam ke atas Yahudi serta pembukaan Kota Konstantinopel dan Rom. Konstantinopel telah dibuka, tetapi Rom belum lagi, dan ia akan berlaku tidak lama lagi dengan izin Allah, tegas beliau.

Apa yang penting menurut beliau ialah, bisyarah ini bukan sekadar untuk diyakini, tetapi ia meletakkan beban kewajipan ke atas bahu setiap Muslim untuk berusaha merealisasikannya. Kita mesti faham, tegas beliau, bahawa hadis-hadis bisyarah tersebut bukan sahaja bersifat ikhabariyyah (perkhabaran), tetapi terdapat satu thalab (tuntutan) untuk kita mewujudkannya.

Atas dasar itulah, Hizbut Tahrir sentiasa berusaha, dan tidak pernah jemu atau putus asa menyeru dan mengajak umat Islam untuk berusaha bersamanya bagi mengembalikan semula Daulah Khilafah, sebuah perjuangan yang sudah dijanjikan oleh Allah akan kemenangan, walaupun kita tidak tahu bila atau di mana, kata beliau.

Menjawab soalan bagaimana Khilafah akan ditegakkan tanpa pilihan raya, Ustaz Hakim menyatakan yang thariqah (metodologi)nya sudah tentu sebagaimana thariqah Rasulullah (saw) di fasa Mekah sehingga baginda berjaya menegakkan Daulah Islam di Madinah. Inilah satu-satunya jalan yang wajib kita ikuti.

“Baginda (saw) mencari nusrah (pertolongan) untuk mendapatkan kekuasaan daripada Ahlu al-Quwwah (kelompok yang mempunyai kekuatan) di Jazirah Arab pada waktu itu, yang akhirnya diberikan oleh kaum Ansar dari Madinah. Begitulah juga kaedahnya hari ini di mana kita wajib mencari nusrah daripada kelompok yang memegang kekuatan sebenar iaitu tentera, untuk menyerahkan kekuasaan secara sukarela demi menegakkan agama Allah di dalam bingkai sebuah Negara Islam (Khilafah),” demikian jawab Jurucakap HTM itu secara ringkas.

Menjawab satu lagi soalan mengenai kemunculan Imam Mahdi yang akan menjadi Khalifah di akhir zaman, beliau menjelaskan bahawa institusi keKhilafahan perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum kemunculan Imam Mahdi. Ini kerana, berdasarkan hadis, telah pun ada Khalifah sebelum Imam Mahdi dibaiat sebagai Khalifah, yang sekali gus menunjukkan bahawa Imam Mahdi tidak akan muncul di zaman demokrasi.

Di akhir program, Ustaz Abdul Hakim mengingatkan dan menyeru umat Islam agar tidak berdiam diri di bawah sistem demokrasi sekular yang penuh kerosakan dan kezaliman ini, kerana ini merupakan satu dosa, sebaliknya wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan bisyarah tegaknya Khilafah, yang dengan tegaknya institusi politik umat Islam ini, maka sekali gus akan terealisasilah bisyarah-bisyarah kemenangan lainnya yang disebut oleh Rasulullah (saw) di akhir zaman ini.