BN Terengganu Tidak Sebulu, Muhyiddin Nak Jadi Hero
KUALA BERANG: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kemelut dalaman Umno Terengganu mencapai tahap yang perlu diselesaikan segera sebelum menjadi lebih parah dan menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri menawarkan diri membantu Datuk Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri menyelesaikan kemelut membabitkan sekumpulan wakil rakyat BN yang tidak sehaluan dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Melihat kemelut itu boleh menjejaskan perpaduan pemimpin Umno negeri, beliau yang juga Timbalan Presiden parti, mahu pertemuan kedua-dua pihak diadakan segera kerana masalah yang dihadapi sekarang hanya membabitkan perhubungan sesama pemimpin tanpa campur tangan atau unsur luaran parti. “Saya sedia berjumpa pada bila-bila masa dan di mana-mana. Semua mesti hadir dan berbincang. Kita akui masalah itu dan sedia membuka telinga untuk mendengar,” katanya selepas pertemuan dengan pemimpin empat peringkat Umno Hulu Terengganu, di Ibu Pejabat parti itu, di sini, semalam.
“Saya yakin mereka pemimpin yang masih kuat semangat dan cintakan parti. Kita akui ada masalah, tetapi bukan mahu lompat parti. Di Terengganu, sokongan masyarakat kepada BN kuat. Sebab itu kita menang pilihan raya. Oleh itu, kita perlu melaksanakan amanah yang disandarkan kepada wakil rakyat,” katanya.
Selain Hishamuddin, majlis itu dihadiri Menteri Besar dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Tengku Putera Awang. Bagaimanapun, sebahagian besar Adun tidak hadir. Exco yang hadir ialah Rozi Mamat (Telemong), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu), Datuk Za’abar Mohd Adib (Rantau Abang), Yahya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir) serta Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar .
Adun yang tidak hadir ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Ramlan Ali (Jabi), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Alias Abdullah (Alor Limbat), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Pehemi Yusoff (Kota Putera), Rosli Othman (Kemasek), Zakaria Abdullah (Paka), Ashaari Idris (Langkap) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut) Dua Exco tidak hadir ialah Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) dan Khazan Che Mat (Batu Rakit), manakala Toh Chin Yau (Bandar) dari MCA.
Muhyiddin juga berkata, pelbagai usaha Hishammuddin dan Ahmad untuk memperbaiki keadaan sejak beberapa bulan kebelakangan ini menampakkan hasil positif yang sangat ketara berbanding sebelum ini.
Beliau menyifatkan tindakan kumpulan Adun itu bukan ancaman kepada kepemimpinan Umno negeri, tetapi parti perlu mengakuinya dan menyelesaikan beberapa isu yang masih berbangkit sekarang.
Sumber : Berita Harian, 04/09/09
Menyatukan ahli sendiri masih bermasalah, apa lagi yang rakyat harapkan dari UMNO?
Krisis kepimpinan UMNO Terengganu masih terus berlanjutan sejak tahun 2008 lagi. Pelbagai usaha dan pendekatan telah dilakukan namun nampaknya masih gagal menemui jalan penyelesaian. Kini Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO sendiri terpaksa turun padang untuk menyelesaikan kemelut dalaman UMNO Terengganu meskipun sebelum ini Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno ada menyatakan bahawa UMNO Terengganu semakin kukuh. [ rujuk UM 18 Ogos 2009 : Hishammuddin lega UMNO Terengganu kukuh].
Inilah dunia politik Kapitalisme. Ada masanya kita perlu membaca kenyataan ahli-ahli politik Kapitalis ini secara terbalik. Misalnya, jika ada kenyataan yang menyatakan “UMNO Terengganu Kukuh”, maka keadaan sebenar adalah sebaliknya. Pergolakan untuk berebut kekuasaan adalah perkara lumrah dalam dunia politik sekular demokrasi. Sudah menjadi lumrah bagi ahli politik Kapitalis yang dilingkungi oleh pemikiran sekular untuk merasakan bahawa kuasa politik yang mereka perolehi adalah merupakan lesen besar untuk memunggah, menggaut dan merompak kekayaan umat. Jadi tidak hairanlah jika kita melihat krisis dan pergolakan sebegini berlaku dalam UMNO dan parti-parti politik sekular yang lain. Mengapa mereka bercakaran? Apakah kerana ingin menerapkan Islam? Atau untuk mempertahankan kepentingan individu atau kelompok masing-masing? Apa yang berlaku dengan UMNO di Terengganu seharusnya menyedarkan umat Islam secara umum betapa korupnya ahli politik sekular yang memerintah negara mereka. Mereka ini sudah begitu lama bergelumang dengan kebusukan dan kekotoran politik Kapitalisme! Mereka berpolitik bukan untuk menjaga dan mengatur urusan rakyat dengan Islam tetapi sebaliknya mereka bertelingkah untuk kepentingan puak masing-masing. Inilah keburukan dan kebusukan dunia politik Kapitalisme yang akan pasti memuntahkan larva kebatilannya sepanjang masa dan di mana jua.
Sampai bila kita akan dapat menyaksikan kembali susuk tubuh ahli politik Islam seperti Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar Al-Khatab dan yang seangkatan dengan mereka dalam politik umat Islam hari ini? Yang pastinya, selagi umat Islam tidak kembali untuk mengamalkan politik Islam yang sebenarnya, maka selama itulah kita akan terus dipertontonkan dengan permainan pelakon-pelakon politik kotor Kapitalis ini. Wahai umat Islam! Tolak politik sekular, terapkan politik Islam. Pasti kalian akan melihat keunggulan dan kehebatan Islam!