Bolehkah Barang Yang Dibeli Dijadikan Sebagai Barang Jaminan Atau Cagaran?

 

Pertanyaan:

Ustaz, bolehkah barang yang kita beli dijadikan sebagai barang jaminan atau cagaran? Contohnya kita membeli kenderaan secara hutang dan geran kenderaan tersebut kita jadikan sebagai jaminan/cagaran kepada pihak penjual (dealer)?

Jawapan:

Dalam jual beli secara hutang (bai’u at-taqsith), penjual boleh meletakkan syarat jaminan/cagaran (rahn) kepada pembeli. (Adnan Sa’duddin, Bai’u At-Taqsith wa Tathbiqatuha al-Mu’ashirah, hal. 187). Namun begitu, jaminan/cagaran ini mestilah barang yang lain, iaitu bukan barang yang sama yang diakadkan dalam jual beli tersebut. Menjadikan barang yang dibeli itu sebagai jaminan/cagaran (rahn al-mabii’) adalah tidak  dibenarkan secara syar’i.

Inilah pendapat fuqaha yang rajih menurut kami. Menurut Imam Syafi’i, sepertimana yang dipetik daripada Imam Ibnu Qudamah menyatakan bahawa jika terdapat dua orang yang berjual beli dengan meletakkan syarat untuk menjadikan barang yang dibeli tersebut sebagai jaminan/cagaran atas harganya, jual beli mereka adalah tidak sah. Sebab jika barang yang dibeli dijadikan sebagai jaminan/cagaran (rahn), ini bererti barang tersebut belum menjadi milik pembeli. (Al-Mughni, 4/285).

Imam Ibnu Hajar Al-Haitami berkata,”Tidak dibolehkan jual beli dengan meletakkan syarat mencagarkan barang yang dibeli.” (Al-Fatawa al-Fiqhiyah al-Kubra, 2/287).

Imam Ibnu Hazm berkata,”Tidak dibolehkan menjual sesuatu barang dengan syarat menjadikan barang tersebut sebagai jaminan/cagaran atas harganya. Jika jual beli telah dilakukan, ia harus dibatalkan.” (Al-Muhalla, 3/427).

Sebaliknya, terdapat juga sebahagian fuqaha yang membolehkannya. Kata Imam Ibnu Qudamah, “Menurut Imam Ahmad, jaminan/cagaran berupa barang yang dibeli adalah sah.” (Al-Mughni, 4/285; Al-Fiqh ‘ala Al-Mazhahib al-Arba’ah, 2/166). Imam Ibnul Qayyim berkata, “Dibolehkan meletakkan syarat jaminan berupa barang yang dibeli.” (Ighatsah al-Lahfan, 2/53; I’lam al-Muwaqqi’in, 4/33).

Pendapat inilah yang diterima pakai oleh Majma’ Al-Fiqh Al-Islami dengan mengatakan bahawa, “Penjual tidak berhak untuk mempertahankan kepemilikan barang (yang telah dijual) di tangannya, tetapi penjual boleh meletakkan syarat kepada pembeli untuk menjaminkan/mencagarkan barang yang dibeli sebagai jaminan terhadap hak penjual untuk memperoleh bayaran ansuran yang tertunda.” (Ali as-Salus, Al-Qadhaya al-Fiqhiyah al-Mu’ashirah, hal. 605).

Namun menurut kami, pendapat ini tidak dapat diterima. Ini adalah kerana, menjamin/mencagar barang yang dijual beli adalah syarat yang menyalahi konsekuensi akad (muqtadha al-‘aqad), yakni dari segi hak kepemilikan dan juga berlakunya tasharruf (pengelolaan) iaitu jual beli atau hibah oleh pembeli. Imam Taqiyudin an-Nabhani berkata,”Jika seseorang menjual sesuatu barang kepada orang lain, lalu meletakkan syarat supaya orang itu tidak menjualkan barang itu kepada sesiapa pun, maka syarat itu tidak (sah) untuk berlaku tetapi jual belinya adalah sah, kerana syarat tersebut menafikan konsekuensi akad (muqtadha al-‘aqad), yakni pada kepemilikan barang dan melakukan tasharruf padanya.” (al-Syakhshiyah al-Islamiyah, 3/52).

Syarat yang menyalahi hukum syara’ tidak boleh  diterima kerana sabda Nabi SAW, “Apa sahaja syarat yang tidak ada di dalam Kitabullah, maka ia adalah batil, walaupun terdapat seratus syarat.” (HR Bukhari dan Muslim). (Imam Shan’ani, Subulus Salam, 3/10).

Selain itu, syarat itu juga tertolak berdasarkan kaedah fiqih : Kullu syarthin khaalafa aw nafaa muqtadha al-‘aqad fahuwa baathil (Setiap syarat yang menyalahi atau yang menghilangkan konsekuensi akad, maka ia adalah batil). (M. Sa’id al-Burnu, Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyah, 8/418).

Kesimpulannya, adalah tidak dibolehkan untuk menjadikan barang yang dibeli sebagai jaminan/cagaran dalam jual beli secara hutang (kredit). Yang dibolehkan adalah meletakkan jaminan/cagaran barang yang lain, bukan barang yang sama yang diakadkan dalam jual beli tersebut. Wallahu a’lam.

Muhammad Siddiq al-Jawi, HTI.