Bolehkah Syarikat Milik Bukan Islam Menjadi ‘Amil’ Zakat?

Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik platform e-dagang, Shopee sebagai ejen kutipan zakatnya bagi memudahkan bayaran zakat dilakukan oleh umat Islam di negeri ini. Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata melalui aplikasi Shopee itu, umat Islam di Selangor kini boleh menunaikan zakat harta dan zakat fitrah tanpa had dan dilakukan pada bila-bila masa, mulai 18 Dis ini.

Shopee merupakan sebuah platform e-dagang (atas talian) milik syarikat bukan Islam yang berpusat di Singapura. Pelantikan syarikat Shopee sebagai ejen kutipan zakat mengundang pelbagai spekulasi dan tafsiran. Perkataan ‘ejen’ ini perlu dijelaskan secara terperinci, sama ada ‘ejen’ ini setaraf dengan Amil dan menerima bayaran dari pihak LZS atau sebaliknya. Jika menerima bayaran atau upah, adakah bayaran tersebut diambil daripada sumber zakat atau duit lain dari pihak kerajaan? Meskipun wang zakat yang dibayar melalui aplikasi Shopee tetap akan sampai kepada LZS sepenuhnya tanpa berkurang sedikit pun jumlahnya, namun adakah ini memberi hak kepada LZS untuk melantik Shoppe sebagai Amil?

Zakat bukanlah suatu amalan atau transaksi muamalat biasa yang boleh melibatkan atau diuruskan oleh orang bukan Islam, sebaliknya ia merupakan ibadah dan merupakan rukun Islam yang keempat. Persoalannya, bolehkah urusan ibadah yang menjadi salah satu rukun Islam ini diuruskan oleh syarikat bukan Islam? Umum mengetahui bahawa LZS mempunyai aplikasi atas talian sendiri dan juga telah melantik individu-individu sebagai Amil zakat. Apakah kutipan zakat masih tidak mencukupi, atau luar biasa jumlahnya sehingga perlu menggunakan khidmat orang bukan Islam untuk menguruskan zakat? Inilah persoalannya.

Sesungguhnya Islam tidak pernah menolak sebarang teknologi atau kemajuan sains, malah dengan pelbagai teknologi banyak membantu umat Islam menjalani dan menguruskan kehidupan seharian, termasuklah urusan ibadat. Apa jua platform yang menggunakan konsep e-dagang (atas talian) sememangnya perlu diperhalusi setiap akad, transaksi dan status pemilikan syarikat tersebut. Apatah lagi jika ia melibatkan pembayaran zakat, maka hal ini perlu lebih berhati-hati kerana ia merupakan ibadat, yang tidak sah dilakukan oleh orang kafir.

Dalam pada itu, pihak LZS dan semua institusi zakat juga perlu memuhasabah semula diri masing-masing sebagai institusi yang membantu mustahiq (golongan yang berhak menerima zakat), agar zakat yang ada diberikan hanya kepada mustahiq-nya sahaja, sepertimana firman Allah (swt),

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

“Sesungguhnya zakat itu hanya untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, para Amilin, orang-orang yang dijinakkan hatinya (mu’allaf qulubuhum), hamba, orang-orang berhutang, jihad fi sabilillah, dan ibnu sabil” [At-Taubah (9): 60].

Wang zakat yang dikutip hendaklah diberi sepenuhnya kepada lapan golongan ini sahaja dan tidak diberi untuk tujuan biasiswa, pembelajaran, pembinaan atau renovasi masjid, surau, dan lain-lain kerana ia bukan mustahiq.

Pusat zakat juga tidak perlu berasa bangga dengan jumlah kutipan yang banyak hingga mencecah ratusan juta, kerana realitinya apabila tiba bab agihan kepada mustahiq, seringkali kita mendengar rungutan bahawa jumlah yang diberi terlalu sedikit, lambat dan dipersulit dengan pelbagai kerenah birokrasi yang menyusahkan mereka.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 baru-baru ini mengenai pengagihan zakat fi sabilillah juga sewajarnya menjadi iktibar kepada pihak berkenaan agar amanah yang terpikul tidak disalahgunakan. Ini kerana amanah tersebut akan dipersoalkan di muka pengadilan di akhirat kelak.

Wallahu a’lam.

Affan