Bon Samurai: Negara terus terjerat dengan pinjaman berunsur riba

Berita:

Bon Samurai bernilai ¥200 bilion atau RM7.4 bilion dengan kadar faedah 0.65 peratus yang diterima oleh kerajaan Persekutuan daripada Jepun akan digunakan untuk melunaskan beberapa pinjaman dalam jumlah yang besar yang diambil oleh kerajaan terdahulu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. [Sumber: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/belanjawan-2019-bon-samurai]

Komentar:

Kerajaan mengumumkan akan menerima pinjaman bon jaminan dengan nama Bon Samurai daripada kerajaan Jepun sebanyak RM7.4 billion dengan kadar faedah 0.65 peratus selama 10 tahun selepas belanjawan dibentangkan pada 2 November lepas oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. Rakyat mungkin akan melihat perkara ini sebagai kejayaan besar kerana Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Muhammad mendapat pinjaman yang cukup banyak dan dapat menyelesaikan sebahagian hutang negara yang dikatakan berjumlah lebih kurang RM1 trillion. Ketika ini, negara berdepan dengan hutang yang tinggi dan memerlukan kewangan yang cukup banyak. Ia juga dilihat kejayaan mendapatkan pinjaman dengan kadar faredah yang lebih rendah berbanding pinjaman daripada kerajaan China sebanyak 3.25% yang hanya memperolehi 90% daripada keseluruhan pinjaman yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Namun persoalannya, adakah ini kejayaan yang boleh menyelesaikan masalah hutang negara? Adakah ini sebenarnya bersesuaian dengan apa yang dituntut oleh Islam? Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir sebenarnya akan menjerat negara dan rakyat Malaysia sekali lagi malah bukan sahaja akibat daripada kekangan hutang tetapi juga kemaksiatan yang tidak berpenghujung iaitu riba. Dengan kata lain, tindakan negara ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan hukum syarak. Allah SWT telah menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

“Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba”

Tidak ada bezanya tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia Baharu ini dengan kerajaan pimpinan Najib Razak sebelum ini. Walaupun secara perkiraannya pinjaman dari Jepun lebih rendah kadar faedahnya daripada pinjaman dari China seperti yang dilakukan oleh Najib Razak sebelum ini, namun persamaannya dari segi hukum jelas bahawa kedua-duanya melakukan transaksi pinjaman riba. Jadi bagaimana mungkin kita akan mendapat kesejahteraan seperti yang difokuskan dalam pembentangan belanjawan 2019 sekiranya kita masih terpalit dengan keharaman yang dilarang oleh Allah SWT.

Sebenarnya tindakan negara membuat pinjaman riba ini secara tidak langsung membenarkan negara melakukan kezaliman terhadap rakyat. Kezaliman yang dimaksudkan adalah dengan mengambil hak rakyat tanpa kerelaan dan tidak dibenarkan oleh hukum syarak. Negara akan mencari sumber-sumber kewangan lain pada masa akan datang untuk membayar hutang ribanya. Sudah tentulah rakyat yang akan menjadi mangsanya iaitu dengan mencukai mereka. Kezaliman itu juga tidak berhenti disitu, malah akan terus menghambat kehidupan masyarakat kerana tidak dapat hidup dalam ketenangan.

Sebagai penyelesaiannya, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir wajib menghentikan pinjaman dan segala pinjaman lain yang berunsurkan riba dan kembali kepada sistem ekonomi Islam dengan berpandukan sumber pendapatan yang dibenarkan oleh hukum syarak untuk membayar hutang yang besar ini. Selepas itu, negara wajib membayar semula pinjaman hanya pada kadar pokoknya sahaja dan mengabaikan terus faedah atau riba tersebut. Hal ini demikian kerana, kita tahu riba ialah akad maksiat yang diharamkan oleh Allah SWT walaupun sedikit. Tidak ada ruang untuk kita mencari helah dalam membenarkan kemungkaran walaupun dengan alasan untuk mentadbir negara.

Oleh sebab itulah, tidak ada jalan lain bagi negara untuk keluar daripada krisis dan kemaksiatan ini melainkan perlu kembali kepada sistem Islam dalam segenap aspek termasuklah dalam perekenomian. Dengan demikian barulah akan muncul apa yang dikatakan sebagai rahmatan lil ‘alamin.

 

Dr Abu Afif
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia