Buang Bayi Bukti Kegagalan Sistem
SUNGAI PETANI 30 Mac – Pihak berkuasa agama setiap negeri dicadang mempermudahkan urusan berkahwin di kalangan muda-mudi bagi menangani gejala negatif seperti kes buang bayi yang makin membimbangkan kebelakangan ini. Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, langkah tersebut juga dilihat berkesan kerana dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi terutamanya membabitkan remaja Islam. Menurut beliau, syarat-syarat yang ketat semasa nikah merupakan punca generasi muda menjalinkan hubungan secara sulit dan sekali gus menyebabkan berlaku tekanan sehingga sanggup membuang bayi. “Semua itu berlaku kerana hubungan mereka tidak direstui. Tambahan pula apabila hendak berkahwin, macam-macam syarat dan kekangan dikenakan sehingga ia menyusahkan. “Saya melihat daripada melarang hubungan itu, lebih baik kita kahwinkan mereka dengan cara yang mudah tetapi mengikut hukum syarak. “Apabila hubungan menjadi sah, maka tiada lagi tekanan perasaan untuk membuang bayi,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia, 31/03/2010
Buang Bayi Bukti Kegagalan Sistem
Masalah buang bayi bukan hanya disebabkan oleh kesulitan di dalam urusan pekahwinan, bahkan ia juga melibatkan beberapa faktor yang lain. Ia perlu dilihat secara menyeluruh iaitu daripada aspek sistem kehidupan. Allah telah menurunkan sistem kehidupan yang sempurna untuk manusia. Antaranya adalah sistem pendidikan, ekonomi, pergaulan dan seumpamanya. Ternyata statistik zina dan gejala buang anak (baca: membunuh) yang semakin meningkat sekarang adalah bukti kegagalan sistem-sistem hidup yang diterapkan oleh pemerintah yang ada.
Di samping itu, punca kepada gejala ini adalah disebabkan kurangnya kesedaran (pengetahuan) manusia mengenai hukum syarak berkaitan pembuangan bayi yang dianggap Islam sebagai membunuh. Ia melibatkan sistem pendidikan dan diaplikasikan ke atas seluruh umat manusia, baik kaum muslimin mahupun selainnya kerana syariat Islam diturunkan untuk semua manusia. Ternyata daripada apa yang berlaku, sistem pendidikan yang wujud pada hari ini gagal membentuk keperibadian seseorang manusia apatah lagi untuk memiliki syakhsiyyah Islamiyyah yang bertepatan dengan tuntutan Sang Pencipta, Allah Azza wa Jalla.
Selain pendidikan, faktor ekonomi juga berperanan menyumbang kepada amalan jahiliyyah ini. Kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun menjadikan manusia hilang pertimbangan (kemanusiaannya) sehingga sanggup membunuh anak sendiri yang mana itu lebih hina dari tabi’ie haiwan!
Disamping itu, wujud pula masyarakat individualistik yang hanya mementingkan diri sendiri di mana urusan menerapkan syariah –menegakkan kemaarufan serta mencegah kemungkaran- diabaikan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak tertentu. Masyarakat tidak berperanan di dalam memainkan tanggungjawabnya terhadap amar maaruf-nahi mungkar. Ini adalah disebabkan oleh idea individualisme telah terpahat dalam diri masing-masing. Biarpun kemungkaran berlaku di depan mata, mereka hanya perlu pejamkan mata tanpa berbuat apa-apa. Tidak wujud kerjasama di antara sesama individu masyarakat di dalam menangani kemaksiatan atau kemungkaran di sekeliling mereka.
Punca utama bagi segala kerosakan dan kehinaan yang berlaku di atas mukabumi ini adalah disebabkan kehidupan kita pada hari ini tidak diatur oleh syariat Islam. Apa yang tidak difahami oleh kebanyakkan manusia adalah kesesuaian sistem syariah dengan fitrah mereka. Lantaran manusia tidak dapat meyakini bahawa dengan menerapkan sistem syariah secara kaffah, ia pasti menjadi penyelesaian yang terbaik. Lebih jauh dari itu, manusia pasti akan mencapai kesejahteraan dan ketenangan di dalam hidupnya.