Buatlah seribu slogan pun..
Sebagaimana Perdana Menteri yang lepas-lepas, Perdana Menteri Malaysia ke-10 (atau lebih dikenali sebagai PMX) telah melancarkan slogan “Malaysia Madani” untuk dilaksanakan (dan dikenang) di sepanjang pemerintahannya.
Tanpa perlu mengulas panjang mengenai akronim MADANI yang pernah diperkenalkan sejak dahulu lagi, kewujudan slogan ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa PMX sebenarnya tidak ada bezanya dengan PM-PM sebelum ini, yang cuba menutup segala kerosakan sistem kehidupan daripada barat yang sedang diterapkan ke atas masyarakat pada hari ini.
Sejak menaiki takhta, ramai penyokong yang menghamburkan kemarahan dan kutukan kepada siapa sahaja yang mengkritik PM idola mereka ini, seolah-olah inilah insan terbaik yang ada di Malaysia, yang tidak boleh dipertikaikan sedikit pun perkataan dan perbuatannya.
Kita sebenarnya sudah muak dengan pelbagai slogan yang hakikatnya tidak pernah merubah nasib hidup rakyat, dan yang jauh lebih penting daripada itu, tidak pernah meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai perlembagaan dan undang-undang negara sebagai ganti kepada perlembagaan dan undang-undang yang dihadiahkan oleh British.
Kita pernah didendangkan dengan slogan Islam Hadhari yang bunyinya sangat indah kerana adanya perkataan “Islam” di situ, namun tetap tidak ubah seperti “tin kosong” yang akhirnya berkubur begitu sahaja.
Kemudian diikuti dengan slogan 1Malaysia, Kerajaan Prihatin dan Keluarga Malaysia, yang semuanya tidak pernah merubah Malaysia menjadi lebih baik, dan tidak pernah membawa kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana yang didambakan.
Setiap kali PM baru naik dan mewujudkan slogan masing-masing, para penyokong akan memujinya habis-habisan, dan habis jentera kerajaan digerakkan ke arah situ, walaupun mereka tidak pernah faham akan maksud dan hala tujunya. Apa yang penting, Perdana Menteri mesti diampu!
Samalah dengan slogan Malaysia Madani yang baru diperkenalkan oleh PMX ini, yang telah menerima pelbagai “ampuan” dari para penyokongnya, seolah-olah umat Islam di Malaysia akan bangkit dan menjadi super power dunia dengan slogan yang baru ini!
Apa pun slogannya, hakikat Malaysia sebagai sebuah negara sekular tidak akan berubah. Begitu juga dengan hakikat rakyat yang dihimpit dan menderita dengan pelbagai masalah, juga tidak akan berubah.
Malaysia Madani sama sekali tidak akan menghapuskan kilang-kilang arak yang tersergam indah di Malaysia. Ia juga tidak akan menghapuskan pusat judi yang bangunannya menjulang tinggi. Begitu juga dengan perbankan ribawi yang bersepah di sana sini, yang sudah pasti akan terus subur di bawah Malaysia Madani!
Justeru, apa pun slogannya dan buatlah seribu slogan sekali pun, apabila Al-Quran dan As-Sunnah terus diketepi, manakala perlembagaan Lord Reid terus disanjung tinggi, maka ia sedikit pun tidak bererti!
Wallahu a’lam.