Bubar sayap atau bubar UMNO
Disusuli lagi dengan usul oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen untuk membubarkan sayap-sayap UMNO iaitu Puteri, Putera dan Wanita, maka bertambah sakitlah parti yang sudah tenat ini.
Jika kenyataan ini keluar dari mulut ahli biasa, mungkin ia tidak menjadi isu, namun ia dikeluarkan sendiri orang yang tertinggi memegang disiplin UMNO. Ini menunjukkan bahawa Pemimpin-pemimpin sayap UMNO tidak lagi ‘dipercayai’ kerana terlalu banyak masalah disiplin, dan yang lebih buruk ia (cadangan pembubaran) adalah kerana melibatkan politik wang. Alasan lainnya, parti-parti politik di Britain tidak mengamalkan konsep sayap parti. Agak aneh mengapa sekarang baru dicadangkan di saat UMNO yang sudah lemas hampir tenggelam? Ya, tidak lain kerana bagi Rithauddeen, hanya dengan cara ini sahajalah UMNO dapat diselamatkan dari politik wang yang sudah diamalkan sejak sekian lama. Malangnya, penghulu UMNO, Abdullah Badawi tidak bersetuju dengan cadangan ini dan tetap tidak akan membubarkan semua sayap yang sedia ada.
Nampaknya pandangan pengerusi lembaga disiplin tidak dapat diterima oleh pucuk pimpinan UMNO, dan kita sama-sama saksikanlah selepas ini sama ada Tengku Ahmad Rithauddeen akan terus berada di kerusi beliau.
UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 kemudian dibubar dan didaftar semula pada tahun 1988 pada asalnya memperjuangkan hak-hak kemerdekaan Tanah Melayu dan ketuanan orang-orang Melayu. Dasar perjuangan itu kekal hingga ke hari ini seperti yang tercatat di dalam peruntukan perlembagaannya. Namun apa yang berlaku, dasar tersebut tidak lagi relevan dengan realiti percaturan parti itu kerana ia lebih memaparkan permasalahan yang timbul di dalamnya. UMNO tidak lagi memperjuangkan hak-hak Melayu secara utuh, kecuali amalan kronisme-nepotisme dan rasuah sahajalah yang terus berleluasa di dalamnya. Dan kini ia sudah menjadi barah yang bakal menghancurkannya sedikit masa lagi.
Walaupun pemimpin dan ahli UMNO adalah terdiri dari orang Islam, namun pengetahuan mereka tentang Islam amat dangkal. Ini adalah kerana mereka meyakini serta menganut fahaman sekularisme yang memisahkan agama dari kehidupan. Bagi mereka, urusan politik adalah urusan keduniaan yang tidak boleh dicampurkan dengan urusan agama. Mereka menerima Islam dari premis yang batil untuk hal-hal ibadat sahaja, manakala apabila mereka memerintah atau berpolitik, Islam mereka tolak sama sekali, dan hukum kufurlah yang menjadi pegangan mereka.
Jika mereka benar-benar ikhlas mendalami Islam, pasti mereka akan bertemu dengan kebenaran serta ketenangan. Sebuah parti politik (hizbu siyasi) sewajibnya berdiri di atas asas-asas Islam, bukannya atas asas perkauman. Jika parti politik itu berdiri di atas asas yang menyalahi Islam, maka sudah semestinya wajib dibubarkan. Jadi, sepatutnya tidak timbul soal membubarkan sayap UMNO, kerana yang perlu dibubarkan adalah UMNO itu sendiri kerana asas penubuhannya yang bertentangan dengan Islam.
Seekor burung boleh terbang megah di angkasa selama mana dia masih mempunyai sayap. Jadi, cadangan Rithauddeen untuk mencabut sayap UMNO adalah umpama untuk mencabut sayap seekor burung. Justeru, burung tanpa sayap akan tentunya jatuh binasa menyembah bumi. Namun oleh sebab burung dan sayap-sayapnya ini sebenarnya sudah lama dihinggapi barah, dipenuhi kudis dan kayap serta penyakit lainnya, maka burung ini akan pasti jatuh binasa juga satu masa nanti dengan sayap-sayapnya sekali. Wallahu a’lam.