Bubarkan Densus 88 – pengganas yang bersembunyi di sebalik nama perang anti-keganasan
Berita kematian Siyono, seorang warga Cawas, Klaten, Jawa Tengah, Indonesia akibat kecederaan di kepala yang dialaminya sewaktu ditahan, telah menimbulkan kemarahan umat Islam di Indonesia terhadap Detasemen Khusus (Densus) 88 yang didakwa menyebabkan kematian tersebut. Siyono dilaporkan meninggal di Hospital Bhayangkara, Yogyakarta akibat kecederaan hasil pergelutan dengan seorang anggota Densus 88 di dalam sebuah kenderaan tahanan pada 9 Mac lalu. Siyono telah ditahan pada 8 Mac kerana disyaki sebagai anggota Jamaah Islamiyah (JI).
Tragedi pembunuhan atau kematian tahanan tanpa bicara yang berlaku di tangan Densus 88 ini bukanlah kali pertama. Menurut data yang dipetik daripada Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Manusia (HAM) Indonesia, dilaporkan bahawa sejumlah 118 orang telah terkorban di tangan Densus 88 tanpa diberikan hak perbicaraan. Unit yang ditubuhkan pada 2003 ekoran serangan bom di Bali pada 2002 ini menerima bantuan dari sudut kewangan dan teknikal daripada Amerika Syarikat dan Australia bagi menangani dan mencegah keganasan di Indonesia.
Meskipun Densus 88 menerima latihan khusus daripada AS melalui CIA, FBI dan Perkhidmatan Rahsia AS, serta dibantu oleh Polis Persekutuan Australia, namun unit ini berdepan dengan kritikan hebat kerana dikatakan mempunyai kepincangan dalam tatacara operasi standard (SOP)-nya. Hakikat ini turut diakui oleh Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis, Inspektor General Anton Charli sewaktu mengulas mengenai kesilapan pada SOP unit tersebut sehingga menyebabkan kematian Siyono baru-baru ini. Bahkan sebelum ini, Densus 88 juga seringkali tersilap dalam melakukan tangkapan, seperti kes dua orang individu yang tidak bersalah telah ditangkap sewaktu hendak menunaikan solat Zohor berjemaah di sebuah masjid di Solo pada 29 Disember 2015.
Sehubungan itu, jurucakap Hizbut Tahrir Indonesia, Ustaz Ismail Yusanto turut mempersoalkan keberadaan Densus 88 itu sendiri, serta melihatnya sebagai suatu bentuk kejahatan yang dilakukan oleh negara terhadap rakyatnya. “Kalau itu terus dibiarkan maka institusi negara boleh menjadi pembunuh rakyatnya, bukan pembela” ujar beliau sewaktu ditemubual melalui telefon oleh mediaummat.com.
Meskipun keganasan merupakan suatu perbuatan yang bertentangan dengan syarak dan wajib ditangani secara tuntas, namun ini tidak memberikan lesen kepada mana-mana orang atau kerajaan untuk membunuh atau menyebabkan kematian tanpa hak ke atas sesiapa pun, termasuklah suspek pengganas. Firman Allah SWT,
…وَلاَ تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ
“Janganlah kalian membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (untuk dibunuh) melainkan dengan sesuatu (sebab) yang benar” [TMQ al-Isra’ (17):33].
Berdasarkan fakta yang begitu banyak, sesungguhnya keberadaan Densus 88 merupakan suatu bentuk kezaliman terhadap ratusan jiwa yang telah terkorban tanpa dibicarakan. Hal ini menyalahi Islam kerana setiap suspek mesti dibicarakan dengan mendatangkan buktinya sekali, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Pembuktian itu (terbeban) ke atas orang yang mendakwa dan sumpah (terbeban) ke atas orang yang mengingkari” [HR al-Baihaqi].
Kaedah syarak menyatakan al-aslu baraa’atu al-dzimmah (seseorang tidak bersalah sehingga terbukti).
Atas alasan kononnya memerangi pengganas, apa yang dilakukan oleh kerajaan ialah “mencipta” pengganas dan memberi lesen besar kepada mereka membunuh rakyatnya tanpa dibicarakan. Inilah kezaliman kerajaan yang ada pada hari ini dan semua ini tidak boleh lepas daripada sistem demokrasi sekular yang memberikan hak membuat undang-undang kepada manusia sehingga pemerintah boleh melakukan semahunya termasuk melanggar batas-batas Allah. Kerana itulah, kerajaan dan undang-undang yang zalim ini perlu diganti segera dengan undang-undang Islam di bahawa Negara Islam (Khilafah).
Wallahu a’lam.