Bukan hanya kempen sahaja yang perlu ikut cara Islam
Berita:
Calon-calon Pilihanraya ke-14 (PRU14) akan datang, khasnya yang beragama Islam perlu menggunakan pendekatan yang betul dan selari dengan syariat Islam dalam berkempen, saran seorang pendakwah, Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. Beliau turut menasihatkan agar pengundi memilih pemimpin yang mempunyai kriteria menepati kehendak dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam.
Berita penuh: http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/kempen-ikut-cara-islam-1.820163
Komentar:
Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan berlangsung pada 9 Mei 2018 semakin hampir tiba. Semestinya suasana kehangatan pilihan raya semakin dirasai oleh masyarakat dan juga parti-parti politik yang bertanding. Di saat ini, parti-parti yang bertanding sedang gigih berusaha dalam kempen bagi mendapatkan undi dan sokongan. Sudah semestinya ketika ini seluruh tumpuan, harta, masa dan tenaga dicurahkan kepada proses demokrasi ini demi meraih kemenangan dan membentuk kerajaan yang akan memerintah kelak.
Dalam pada itu, sebahagian ulama, pendakwah dan NGO-NGO Islam juga telah mengariskan beberapa ciri dan kriteria yang perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada pengundi khususnya umat Islam dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih. Maka lahirlah pendapat, saranan, dan kempen supaya umat memilih calon Islam yang dianggap berwibawa, berakhlak mulia, dilihat bersih daripada apa-apa skandal, berilmu dan sebagainya. Mereka juga tidak ketinggalan dalam menasihati parti-parti tersebut supaya berkempen dalam keadaan yang baik serta mengikut cara Islam.
Di satu sudut, kita dapat melihat perkembangan yang positif apabila para ulama dan pendakwah secara tidak langsung telah menyedari dan mengakui kedudukan politik dalam Islam serta menyampaikan hakikat ini kepada umat. Perkembangan ini dinilai sebagai suatu yang baik kerana terdapat sebilangan umat Islam yang gagal melihat bahawa sebenarnya politik juga adalah sebahagian dari ajaran Islam. Kegagalan umat dalam memahami hakikat ini menyebabkan segelintir pihak memilih untuk meninggalkan langsung politik, manakala sebahagian lagi langsung tidak menjadikan syariat Islam sebagai panduan dalam berpolitik. Maka sudah semestinya perkembangan ini dilihat sebagai suatu yang positif.
Namun, berdasarkan sejarah pilihan raya terdahulu, terbukti bahawa pelbagai cara kotor telah dilakukan oleh calon mahupun parti yang diwakili mereka demi meraih sokongan. Mereka tanpa segan silu bercakaran sesama sendiri, salingmemfitnah, caci – mencaci, label-melabel dan menggunakan pelbagai cara licik lagi demi mengalahkan pihak lawan seterusnya mendapatkan undi daripada rakyat. Adakah jaminan bahawa perkara-perkara sebegini tidak akan berulang dalam PRU kali ini? Apakah parti-parti politik yang bertanding akan mengikut cara Islam dalam berkempen?
Dalam pada itu, di sebalik saranan agar pengundi memilih calon Islam yang betul dan patuh terhadap agamanya, timbul persoalan yang seringkali kita terlepas pandang, bagaimana pula dengan parti yang mereka wakili? Apakah para pengundi juga dinasihatkan supaya memilih parti yang mempunyai visi dan misi serta manifesto pilihan raya yang menjanjikan komitmen untuk menerapkan Islam secara keseluruhan di negara ini?
Ya, mungkin sahaja kita berbeza pandangan dalam menentukan mekanisme yang betul untuk memilih pemimpin. Akan tetapi kita tidak seharusnya berselisih pendapat dalam menegaskan bahawa sebagai seorang Muslim kita diwajibkan untuk menerapkan hukum Allah SWT secara kaffah meliputi urusan individu, masyarakat serta negara.
Firman Allah SWT, maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kalian kepada Islam secara kaffah (menyeluruh), dan janganlah kalian mengikuti jejak-jejak syaithan karena sesungguhnya syaitan adalah musuh besar bagi kalian” [TMQ Al-Baqarah (2): 208].
Persoalannya di sini ialah, apakah kita meyakini bahawa terdapat parti yang benar-benar ikhlas ingin menerapkan hukum Islam secara syumul tanpa sebarang kompromi, tidak berselindung dengan slogan penuh hipokrasi dan kepalsuan, serta tidak pula bermuka-muka demi meraih undi? Sejauh mana pula kita mempercayai bahawa hukum-hukum Islam tidak akan lagi dipermainkan ibarat bola, ditendang ke sana-sini sepertimana yang telah berlaku sebelum ini? Bahkan jelas bahawa tindakan tersebut telah meletakkan hukum-hukum Allah di tangan manusia untuk menentukan sama ada wajar diterapkan atau tidak. Perkara ini seharusnya kita fikirkan bersama. Jika setelah diselidiki dengan hati yang ikhlas serta pemikiran yang jernih, dan didapati tiada parti politik yang sedemikian, lalu apakah langkah yang sepatutnya kita lakukan? Tepuk dada, tanyalah iman.
Wallahua’lam.
Zulfadli
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia