Bukan hanya pemerintah wajib Islam, sistem pemerintahan juga

Gambar UL 060215.pngPerbezaan pendapat antara parti-parti yang bertahaluf memang tidak dapat dielakkan kerana tahaluf (koalisi) itu sendiri dibina atas dasar manfaat yakni untuk meraih tujuan duniawi tertentu, bukannya didasarkan semata-mata kepada Islam atau tujuan ukhrawi. Maka apabila tujuan duniawi ini bertembung antara satu sama lain, pertembungan di antara pihak-pihak yang bertahaluf juga tidak dapat dielakkan.

Antara isu yang sering menjadi punca perbalahan parti yang bertahaluf ialah isu status agama pemerintah. Persoalan sama ada pemerintah wajib beragama Islam (Muslim) atau tidak, sebenarnya sudah lama dijawab oleh Islam. Islam menetapkan tujuh syarat in’iqad (pelantikan / kelayakan) untuk menjadi pemerintah yakni wajib Muslim, lelaki, berakal, baligh, merdeka, adil dan mampu yang kesemuanya telah ditetapkan oleh nas dengan jelas.

Namun, apabila sesebuah parti Islam bertahaluf dengan parti kafir dan juga parti sekular, maka sudah pasti mereka akan bertelagah berhubung isu kepimpinan atau pemerintahan kerana masing-masing parti inginkan jawatan penting tersebut, malah sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkannya.

Apa yang dimaksudkan dengan jawatan pemerintahan dalam Islam ialah Khalifah (ketua negara), Mu’awin Tafwidh (pembantu Khalifah), Wali (wakil Khalifah yang memerintah di Wilayah) dan termasuk Amil (wakil Khalifah yang memerintah di kawasan yang lebih kecil). Semua ini merupakan jawatan pemerintahan dan ia wajib diisi oleh Muslim. Firman Allah SWT,

“Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [TMQ an-Nisa’ (4):141].

Sesungguhnya pemerintahan (kekuasaan) merupakan jalan yang paling kuat untuk menguasai orang-orang yang diperintah. Justeru, Allah SWT melarang dengan larangan yang sangat tegas untuk orang kafir memegang tampuk pemerintahan dan berkuasa ke atas kaum Muslimin. Ketika mana Allah SWT telah mengharamkan adanya jalan bagi orang kafir untuk menguasai orang Islam, maka adalah haram pula hukumnya bagi kaum Muslim untuk menjadikan orang-orang kafir sebagai pemerintah ke atas mereka (Muslim).

Parti Islam juga perlu ingat bahawa dalam Islam, bukan sahaja “pemerintah” yang wajib Islam, tetapi “sistem pemerintahan” juga wajib Islam dan sistem pemerintahan Islam ialah Khilafah, bukannya demokrasi, republik, monarki dan lain-lain. Sabda Rasulullah SAW,

“Dahulu Bani Israel dipimpin (diperintah) oleh Nabi-nabi. Apabila setiap seorang Nabi wafat, maka digantikan dengan Nabi yang lain. Akan tetapi tidak ada lagi Nabi sesudahku dan akan ada Khalifah-khalifah dan jumlah mereka ramai” [HR Muslim].

Berdasarkan nas di atas dan banyak lagi nas lainnya, amat jelas bahawa sistem pemerintahan Islam itu adalah sistem Khilafah yang dipimpin oleh seorang Khalifah dalam setiap masa di sepanjang zaman.

Maka, sesebuah parti yang memperjuangkan Islam bukan sekadar perlu menolak pemerintah dari kalangan non-Muslim, tetapi wajib menolak sistem pemerintahan yang tidak Islam seperti demokrasi dan lebih awal, perlu menolak sebarang bentuk tahaluf dengan parti kafir dan parti sekular, dalam rangka menegakkan Islam, kerana semuanya diharamkan oleh Islam.

Wallahu’alam.