Bukan hanya rasuah yang perlu diperangi

Ramai calon PRU15 yang kelihatan giat berkempen untuk menghapuskan rasuah jika mereka diberi mandat oleh rakyat untuk memegang tampuk pemerintahan. Ramai yang menyifatkan negara ini akan hancur apabila dibelenggu rasuah.

Selain menjadi modal kempen untuk menunjukkan keprihatinan mereka terhadap masalah rasuah, yang lebih penting ialah ia menjadi modal untuk memburukkan parti lawan yang selama ini terpalit dengan kes-kes rasuah.

Kita tidak menafikan yang rasuah telah membarah di negara ini, dan ia memang patut diperangi. Namun, jika ditoleh ke belakang, boleh dikatakan semua pemimpin politik, sebelum mereka bertakhta, berikrar dengan berapi-api untuk menghapuskan rasuah dalam pemerintahan mereka. Ironinya, mereka dan parti merekalah, apabila berkuasa, dipenuhi dengan skandal rasuah.

Justeru, laungan untuk menghapuskan rasuah oleh calon-calon yang bertanding sebenarnya bukan sahaja sudah muak didengar oleh rakyat, malah membuktikan lagi betapa orang-orang politik ini merupakan kaum yang tidak boleh dipercayai kata-kata atau janji mereka.

Selain itu, laungan untuk memerangi rasuah, yang menunjukkan seolah-olah itulah masalah utama negara, menunjukkan berapa ramai daripada kalangan calon-calon yang bertanding sebenarnya gagal melihat apakah masalah sebenar di negara ini.

Masalah sebenar, dan masalah utama di negara ini bukanlah rasuah, tetapi masalah hukum Allah yang tidak diterapkan secara kaffah.

Sudah lebih 60 tahun negara ini dibelenggu oleh sistem sekular-demokrasi, sistem yang ditinggalkan oleh British, yang seharusnya dibuang oleh pemerintah, setelah British keluar daripada bumi ini.

Sejak awal penjajahan oleh Portugis pada tahun 1511, kemudian diikuti dengan Belanda, kemudian British, Jepun, dan kembali semula kepada British yang merupakan penjajah paling lama berkuasa di Tanah Melayu, mereka menerapkan sistem dan undang-undang mereka secara paksa, dengan menghapuskan sedikit demi sedikit hukum Islam yang diamalkan di bumi ini.

Malangnya, sejak merdeka hingga kini, walaupun pemerintah negara ini telah bertukar beberapa kali, namun sistem kufur yang ditinggalkan oleh penjajah itu terus dipertahankan.

Inilah yang menjadi punca masalah – apabila hukum yang mengatur kehidupan umat Islam datangnya daripada orang-orang kafir, bukannya datang daripada Allah dan Rasul-Nya. Punca inilah yang seharusnya “diperangi” dan dihapuskan.

Rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah, perbankan ribawi, industri arak dan judi, pelbagai kes jenayah dan gejala sosial, ELGIBITI, murtad, dan lain-lain, semua ini merupakan natijah daripada penerapan sistem demokrasi dan undang-undang buatan manusia, yang telah terbukti gagal meletakkan manusia pada darjat dan fitrahnya sebagai manusia.

Begitulah tabiat sistem dan undang-undang buatan manusia, yang terhasil daripada akal manusia yang terbatas, yang terhasil daripada hawa nafsu manusia, yang terhasil daripada kepentingan orang yang memegang kuasa, semua ini telah meletakkan umat Islam dalam masalah yang sangat parah.

Kegagalan para calon dan parti politik yang ada dalam memahami punca masalah, menyebabkan mereka hanya berusaha menyelesaikan simptom, bukan puncanya. Lebih malang apabila mereka sebenarnya gagal menyelesaikan simptom itu sendiri. Selagi punca masalah tidak diselesaikan, maka selagi itulah negara ini akan terus berada dalam masalah, tidak kira siapa pun yang memerintah.

Wallahu a’lam.