Bukan RM500 Yang Diperlukan, Malah Lebih Daripada Itu!
KUALA LUMPUR: Warga tua hidup sebatang kara dan ahli keluarga yang berdaftar di bawah program eKasih turut layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500, yang akan dibayar mulai pertengahan bulan depan.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata mereka yang tergolong dalam kategori tidak mempunyai slip gaji ini hanya perlu mendaftar dengan mengisi borang pendaftaran BR1M yang diedarkan mulai semalam di lebih 800 sekolah dan lokasi terpilih di seluruh negara.
Katanya, kerajaan menyasarkan untuk mendaftar 5.2 juta rakyat bagi mendapat bantuan khas itu, khusus bagi yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan bagi satu isi rumah serta ramai tanggungan.
Beliau berkata, golongan yang tidak mempunyai slip gaji, tetapi layak kerana berpendapatan isi rumah kurang RM3,000, boleh memohon berdasarkan pengisytiharan diri dalam borang itu. Semua permohonan akan diproses Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana agensi kerajaan itu mempunyai maklumat dan data lengkap bagi membantu kerajaan menilai kelayakan setiap penerima bantuan.
“Kita berpegang kepada pengisytiharan diri, jadi pemohon perlu mendaftar secara jujur dan ikhlas. Kerajaan akan semak, sekiranya kita dapati laporan itu tidak betul dan pemohon terbabit menerima bantuan RM500, maka kita akan ambil tindakan.
“Tetapi sekiranya pemohon mengisytihar maklumat dengan jujur walaupun tanpa slip gaji dan berdasarkan semakan menunjukkan mereka layak, maka mereka akan tetap menerimanya,” katanya kepada media selepas penyerahan borang BR1M, semalam.
Bermula semalam, agensi kerajaan terutama LHDN dan pemimpin masyarakat mula mengedarkan borang pendaftaran BR1M di seluruh negara. Borang pendaftaran diedar percuma di 862 kaunter seluruh negara termasuk 415 sekolah terpilih dan pemohon boleh memuat turunnya dari laman web Kementerian Kewangan.
eKasih adalah sistem pengkalan data keluarga miskin dengan mempunyai pendapatan kurang RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar dan RM1,500 di kawasan bandar iaitu kriteria status kemiskinan berdasarkan pendapatan per kapita isi rumah. Data dan maklumat dalam eKasih berasaskan Banci Isi Rumah Miskin (BIRM) dijalankan Jabatan Perangkaan dan kemudian disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Ahmad Husni berkata, semua pendaftaran akan diproses segera bagi membolehkan kerajaan mengagihkan bantuan kepada pemohon yang layak pada pertengahan bulan depan.
Katanya, kerajaan sudah mempunyai kaedah yang sesuai untuk menyalurkan bantuan RM500 itu namun ia akan diumumkan kemudian bagi memberi tumpuan kepada proses pendaftaran terlebih dulu.
“Saya faham proses pendaftaran 5.2 juta individu dalam tempoh sebulan bukannya mudah, justeru kami membuka lebih banyak lokasi pendaftaran.
“Insya-Allah kami akan mengadakan mesyuarat esok (Isnin) bagi mendapatkan jumlah pendaftaran untuk minggu pertama, supaya proses pendaftaran ini dapat diperbaiki untuk tempoh tiga minggu akan datang,” katanya.
Sumber : Berita Harian 11/12/2011
Bukan RM500 Yang Diperlukan, Malah Lebih Daripada Itu
Usaha untuk membantu golongan berpendapatan rendah ini merupakan suatu usaha yang baik. Namun begitu, usaha ini haruslah didasarkan kepada kewajipan negara untuk memastikan setiap individu rakyat dijamin agar dapat memenuhi keperluan asas hidup mereka seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Oleh itu, bukan sekadar rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan sahaja yang layak memperolehi layanan daripada pemerintah, tetapi semua golongan. Ini termasuklah memastikan keselamatan, kesihatan dan pendidikan serta segala kemudahan asas yang lain dapat diperoleh secara percuma oleh setiap individu rakyat. Dalam kerajaan rancak berkempen, melancarkan pelbagai jenis skim dan bantuan, timbul pula isu ada pihak yang sepatutnya tidak layak menerima bantuan turut memohon bantuan tersebut. Untuk menanggapi isu ini, beberapa persoalan perlu diberi perhatian.
Pertama: Adalah mereka yang “menipu” itu benar-benar berada dalam keadaan yang senang lenang?
Kedua: Apakah dengan pemberian RM500 ini sudah dapat melepaskan tanggungjawab pemerintah dalam memastikan setiap keperluan hidup rakyat sudah dipenuhi?
Mungkin persoalan yang pertama akan melahirkan pelbagai persoalan lain. Sekiranya mereka yang sudah senang lenang dan hidup mewah masih cuba untuk mendapatkan bantuan ini, pastinya ada yang tak kena dengan pembangunan syakhsiyyah umat Islam hari ini sehingga sanggup menipu. Namun begitu, dalam kehidupan yang serba serbi memerlukan wang ini terutamanya di bandar-bandar besar, apakah pendapatan isi rumah berjumlah RM3000 sudah memadai untuk mereka tidak memerlukan bantuan daripada pemerintah?
Bagi persoalan kedua pula, pemberian RM500 ini pastinya tidak akan melepaskan tanggungjawab pemerintah untuk memastikan segala keperluan asas rakyat dipenuhi. Ditambah lagi dengan pelbagai penyelewengan penggunaan wang awam oleh pemerintah, jumlah RM500 ini bukanlah suatu jumlah yang banyak dan mampu untuk melupuskan dosa para pemerintah atas kelalaiannya melayani umat selama ini. Itu belum lagi dikira dengan segala karenah birokrasi dalam menyalurkan segala jenis bantuan serta kelalaian pemerintah dalam menerapkan syariat di dalam negara. Semoga mereka ini kembali kepada syariah dalam melaksanakan amanah yang dipikul. Diharap dengan itu, mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga urusan rakyat ini dapat melepaskan diri mereka daripada azab seksaan Allah di akhirat kelak. Wallahu a’lam.