Adakah Boleh Wujud Lebih Daripada Satu Kurikulum Pendidikan?

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganaktirikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Pemangku Timbalan Perdana Menteri itu berkata bahawa setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1.8 bilion untuk SJKC dan RM600 juta bagi SJKT untuk membiayai gaji guru-guru sekolah terbabit di seluruh negara. Sementara itu, Pemangku Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa pendidikan jenis kebangsaan Cina akan terus berkembang di bawah kerajaan BN. Menurutnya, jaminan itu diberikan berikutan kerajaan selama ini mengamalkan sikap pendekatan yang terbuka.

Persoalannya, adakah boleh wujud lebih daripada satu kurikulum pendidikan dalam sebuah negara yang mempunyai cita-cita untuk menyatukan rakyatnya? Inilah antara kekusutan pemikiran yang dihadapi oleh pemerintah sekular dalam membuat keputusan. Dari satu sudut, ia tidak mahu rakyatnya berpecah-belah, tetapi pada masa yang sama ia ingin menjaga hati rakyatnya (pengundi) supaya tidak tersinggung oleh sentimen perkauman ketika pilihanraya. Lihatlah betapa lemahnya pemimpin dalam sistem sekular demokrasi dalam menguruskan Negara. Mereka sentiasa tersepit dengan sentimen menjaga hati kerana bimbang kehilangan undi apabila ingin membuat sebarang dasar dan bukannya meletakkan asas kebenaran dan perintah Allah dalam membuat keputusan.

Untuk menyatukan rakyat dalam negara, kurikulum pendidikan negara seharusnya bersifat tunggal. Tidak sepatutnya ada kurikulum lain selain daripada kurikulum negara.  Institusi pendidikan swasta boleh wujud dengan syarat kurikulum pendidikannya terikat dengan kurikulum yang ditetapkan oleh negara dan berdiri di atas asas polisi umum pendidikan negara.

Kesatuan pemikiran dan kesatuan kurikulum negara adalah faktor yang akan menyatukan pemikiran umat. Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua (sebagai) agama yang satu, dan Aku adalah Tuhan kamu semua, maka bertakwalah kepadaKu. Kemudian mereka  berpecah belah menjadikan (urusan) agama mereka  menjadi beberapa golongan. Setiap golongan (merasa) bangga dengan apa yang (ada) di sisi mereka (masing-masing). [TMQ Al-Mu’minun (23) : 52-53]

Perbezaan kurikulum akan menyumbang kepada perpecahan umat atau rakyat secara umum dan masing-masing akan berbangga dengan nilai bangsa dan bahasa masing-masing. Wujudnya institusi pendidikan yang mengagungkan bangsa sendiri seperti Melayu, Cina dan India akan menyumbang kepada elemen assabiyah yang diharamkan oleh Allah SWT.

Penyatuan kurikulum tidak boleh dibuat berdasarkan nasionalisme sepertimana sekolah wawasan atau semangat negara bangsa seperti yang ada pada hari ini. Asas pendidikan formal adalah akidah Islam dan bukannya sekularisma. Seluruh mata pelajaran dan kaedah pengajaran harus berdasarkan akidah Islam semata-mata. Pemikiran-pemikiran lain yang mempunyai kaitan secara langsung dengan pandangan hidup tertentu yang bertentangan dengan Islam tidak boleh diajar apatah lagi untuk dipromosi dalam institusi pengajian. Dalam konteks ini, para guru dan pensyarah harus mengaitkan pelajaran yang diajar dengan akidah Islam dan hukum-hakam Islam serta kaitannya antara kehidupan di dunia dan akhirat. Dengan cara ini, pelajaran tersebut dapat mempengaruhi seterusnya menyentuh lubuk hati pelajar serta membuatkan para pelajar merasa puas dengan kebenaran pemikiran yang disampaikan. Bukan sepertimana sekarang, para pelajar tidak dibenarkan sama sekali untuk mempertikaikan kebatilan dalam mencari kebenaran apa yang diajarkan oleh para guru dan pensyarah serta hanya disuruh untuk mengikut tanpa soal. 

Kurikulum pendidikan Islam tidak sekali-kali akan diterapkan oleh sistem sekular demokrasi dan sistem-sistem kufur lain yang ada. Hanya sistem Khilafah yang mampu menerapkan kurikulum Islam secara menyeluruh dan membentuk personaliti Islami terhadap umat dalam negara. Adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab bagi mana-mana parti Islam dan individu-individu Muslim yang menguasai Putrajaya untuk menerapkan Islam di atas manhaj sistem Khilafah. Tidak ada gunanya mendapat kuasa jika tidak mempunyai tujuan Islam yang jelas yang mana ia bukan sahaja memudaratkan diri dan negara, malah bakal mendapat kemurkaan Allah SWT di dunia dan akhirat.  Na’uzubillahi min zalik.