Cabaran hidup berumah tangga seperti menggenggam bara api
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” [TMQ ali-‘Imraan (3):14]
Kebahagiaan yang dikecapi setelah mendirikan rumah tangga merupakan nikmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kehidupan berumah tangga diharungi dengan sabar kerana ia dianggap sebagai takdir atau jodoh yang telah ditentukan Allah dan merupakan detik yang dinanti-nanti. Hidup terasa bagaikan indah belaka apabila sentiasa ada insan yang dicintai di sisi. Ditambah pula dengan kelahiran anak yang digelar sebagai ‘cahaya mata’ menjadikan sesebuah keluarga itu sebagai satu institusi yang sempurna.
Namun, perlu diingatkan bahawa krisis kehidupan yang membelenggu kehidupan manusia dalam sistem sekular-kapitalis tetap menjadi cabaran atau hambatan kepada kesejahteraan dan keharmonian sesebuah keluarga. Fakta ini tidak dapat dinafikan kerana sebagai orang yang beriman, Allah sentiasa akan menguji manusia untuk menentukan tahap keimanan hamba-Nya. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang bermaksud,
“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” [TMQ al-Baqarah (2):214].
Jika krisis dan cabaran ini gagal ditangani dengan sebenar-benar cara, maka rumah tangga yang asalnya dibina atas alasan menunaikan sebahagian daripada hukum agama akan menjadi kucar kacir. Ada pula pasangan yang mengenepikan kewajipannya terhadap agama kerana leka dengan nikmat dunia atau menggadaikan agamanya kerana desakan hidup. Jadi, tulisan ini bertujuan untuk memberi gambaran kepada anda apakah rupa bentuk krisis-krisis tersebut iaitu antaranya krisis sosial, ekonomi dan politik.
Krisis Ekonomi Benih Penyakit Wahn
Pernikahan merupakan ikatan yang menyatukan dua hati dan dua jiwa. Apabila ia telah bersatu, maka terbebanlah beberapa tanggungjawab ke atas bahu keduanya. Suami berperanan sebagai pencari nafkah dengan berusaha menyediakan makan minum, tempat tinggal dan pakaian yang mencukupi untuk isteri dan anak-anak. Di saat ekonomi kapitalis menguasai kehidupan, setiap pemenuhan keperluan tersebut menuntut perbelanjaan yang besar. Walaupun duit bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan duit. Gaji atau pendapatan yang diperolehi sering kali tidak memadai untuk keperluan rumah tangga.
Jadi, untuk terus menunaikan kewajipannya, si suami terpaksa bekerja keras. Tidak cukup dengan over-time (kerja lebih masa), suami mula berjinak-jinak dengan perniagaan kecil-kecilan. Si isteri yang berniat baik mahu membantu suami menampung perbelanjaan seisi rumah juga keluar bekerja. Ditambah pula dengan ‘ugutan-ugutan’ daripada pejuang feminis kononnya wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri sebagai persediaan jika suami berlaku tidak adil pada isteri atau persiapan menjadi ibu tunggal setelah diceraikan suami.
Apabila kedua-duanya terbeban dengan komitmen kerja, tanggungjawab pada agama seperti menuntut ilmu dan berdakwah mula terabai. Bahkan ada yang sampai meninggalkan solat, ibadah yang merupakan tiang agama. Masa dan tenaga banyak dihabiskan untuk kerja sehingga lupa pada kewajipan pada Allah dan agama-Nya. Apabila masa menuntut untuk beramal soleh, majikan juga menuntut komitmen pada kerja. Inilah cabaran bagi keluarga yang hidup dalam sistem ekonomi Kapitalis. Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengingatkan,
“Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” [TMQ Alam Nasyrah (94):7].
Allah menuntut kita berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap aktiviti kita. Setelah selesai bekerja keras mencari nafkah, bersungguh-sungguhlah pula dalam melaksanakan amal soleh yang lain termasuk menuntut ilmu dan berdakwah. Setelah bersungguh-sungguh mengerjakan amal duniawi, bekerja keraslah pula dalam urusan ukhrawi. Keseimbangan antara kedua-duanya hendaklah menjadi misi hidup keluarga Muslim.
Dalam usaha memenuhi keperluan hidup berumah tangga, isteri sebagai pengurus rumah tangga hendaklah bijak dalam mengatur belanjawan keluarga. Apabila memilih pekerjaan yang sederhana untuk menyeimbangkan komitmen dakwah, kebiasaannya pendapatan yang diperoleh adalah rendah, maka perbelanjaan keluarga juga hendaklah sederhana. Duit dibelanjakan untuk yang wajib dahulu, kemudian untuk yang sunat dan akhirnya untuk yang mubah. Pada saat inilah keinginan peribadi terpaksa diketepikan. Gejolak perasaan untuk menikmati pakaian yang indah-indah, makanan yang sedap-sedap, rumah yang besar dan kenderaan yang selesa perlu dikawal.
Sebagai motivasi, ingatlah firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala,
“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu” [TMQ al-Hadid (57):20].
Demi memenuhi tuntutan nafkah keluarga juga, seorang suami atau bapa tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk melakukan kerja atau perbuatan yang tidak dibenarkan agama. Contohnya, bekerja di tempat-tempat maksiat (seperti kelab malam, kilang membuat arak), mengamalkan rasuah dan penindasan, serta menzalimi orang lain. Ada juga isteri atau ibu yang terpaksa melacurkan diri demi membeli susu anak. Ingatlah, rezeki yang disuapkan oleh ibu bapa ke mulut anaknya bakal menentukan masa depan mereka. Rezeki daripada sumber yang haram bakal menjadi darah daging anak-anak. Padahal Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berpesan,
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” [TMQ at-Tahrim (66):6].
Krisis Sosial Menggoncang Aqidah
Akibat tertancapnya prinsip demokrasi hasil daripada penerapan sistem sekular, hedonisme (sukakan kepada hiburan) menjadi kebiasaan atau menjadi budaya masyarakat. Penyebaran bahan-bahan hiburan seperti majalah, video, cakera padat, permainan-permainan digital dan lain-lain menjadi fenomena baru dalam kehidupan umat Islam. Penganjuran program-program hiburan pula tiada hentinya sehinggakan anak-anak kecil turut dilibatkan. Tidak sedikit ibu bapa yang mengimpikan anak-anak mereka menjadi penyanyi, pelakon atau selebriti terkenal. Kalau tidak, masakan pertandingan-pertandingan dan talk show, yang membuka peluang kepada anak-anak kecil, dipenuhi oleh ibu bapa dengan anak masing-masing.
Bagi ibu bapa yang hidupnya bermatlamat mencari keredhaan Allah, semua perkara yang disebutkan di atas tidak langsung perlu mendapat perhatian mereka. Anak-anak tidak boleh dibiasakan diri mereka dengan hiburan-hiburan yang melampui batas-batas syariat. Walaupun hakikatnya dunia kanak-kanak itu penuh dengan keriangan, tetapi ibu bapa hendaklah berwaspada dengan jerat kaum kuffar yang sentiasa ingin merosakkan generasi kaum Muslimin. Sesungguhnya aktiviti menggembalakan pemuda-pemudi ke dunia khayalan, dunia muzik, dan narkotik merupakan sebahagian daripada agenda puak kuffar yang merupakan musuh Islam. Ingatlah pesanan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam,
“Sungguh kalian akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian selangkah demi selangkah, hingga apabila mereka memasuki lubang dhab (biawak), nescaya kalian mengikutinya. Para sahabat bertanya, apakah maksudnya orang-orang (yang diikuti itu) Yahudi dan Nasrani? Beliau berkata: siapa lagi kalau bukan mereka” [HR. Bukhari Muslim].
Di samping itu, perlulah diingat bahawa anak-anak bukannya bahan pelaburan dunia. Walaupun hakikatnya keadaan ekonomi saat ini tidak menjamin masa depan yang cerah bagi pasangan Muslim, tetapi itu bukannya alasan bagi para ibu bapa untuk memandang ringan tanggungjawab mereka untuk memberikan pendidikan fardhu ain (agama) berbanding pendidikan fardhu kifayah (akademik) untuk anak-anak. Memaksakan anak-anak untuk memberi sepenuh tumpuan pada pencapaian akademik, demi menjamin pekerjaan yang baik dengan pendapatan yang besar bukanlah cara didikan yang betul menurut Islam. Ilmu agama itulah yang lebih penting diajarkan kepada anak-anak kerana amal hasil daripada ilmu tadi itulah yang menjanjikan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Sedangkan penguasaan ilmu akademik hanya berguna untuk menjalani kehidupan sehari-hari di atas dunia ini. Jadi, kedua-dua ilmu agama dan akademik wajib diberikan kepada anak-anak tanpa berat sebelah.
Tambahan lagi, untuk Muslimah, perkembangan fesyen wanita turut menyumbang kepada krisis sosial dalam masyarakat. Pakaian yang menjolok mata berselerak di pasar raya dan kedai-kedai pakaian. Bagi ibu bapa, sedikit sebanyak ada kebimbangan di hatinya apabila memikirkan anak perempuan mereka yang tidak akan dapat lari daripada berhadapan dengan fesyen-fesyen yang tidak menutup aurat ini.
Krisis Politik Menjerat Perjuangan
Politik merupakan pemeliharaan urusan umat/rakyat dalam negeri dan luar negeri dengan sistem tertentu. Saat ini, urusan rakyat diatur dengan sistem demokrasi berparlimen. Demokrasi memberi kebebasan kepada pihak yang berhak membuat undang-undang (Parlimen) untuk membuat keputusan berdasarkan undi majoriti daripada ahli-ahlinya. Setiap keputusan yang berbentuk undang-undang atau polisi ini bakal mengikat rakyat apabila ia dikuatkuasakan tanpa mengira sama ada ia bertentangan dengan Islam atau tidak.
Contohnya, apabila kelab-kelab malam dan pusat judi dibenarkan beroperasi secara ‘halal’ di negara ini, ia sebenarnya telah membenarkan masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan kegiatan yang diharamkan Islam seperti judi, minum arak, zina dan lain-lain. Kesannya, kewajipan ibu bapa terhadap anaknya bertambah berat. Anak-anak perlu dipantau setiap masa untuk mencegah mereka daripada terjebak dengan perkara-perkara tersebut.
Tidak kurang juga isteri yang terpaksa meninggalkan tugas utamanya sebagai ibu dan pengatur rumah tangga demi memenuhi sasaran tenaga kerja wanita dalam pasaran kerjaya. Wanita-wanita ini dimomokkan dengan kesenangan hidup yang bakal mereka kecapi kononnya demi berbakti kepada negara.
Punca Krisis Kehidupan
Segala jenis krisis seperti yang disebutkan di atas sebenarnya berpunca daripada manusia itu sendiri. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman,
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [TMQ ar-Rum (30):41].
Apa yang dimaksudkan dengan perbuatan manusia itu ialah apabila manusia hidup di atas muka bumi Allah ini dengan tidak berpandukan hukum-Nya. Manusia gagal melaksanakan perintah-Nya dan gagal meninggalkan larangan-Nya secara keseluruhan. Inilah yang Allah gambarkan dalam firman-Nya,
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20):124].
Saat ini, umat Islam hidup dalam suasana yang jauh daripada nuansa Islam. Ajaran Islam hanya diamalkan dalam hal-hal ibadah, nikah cerai dan beberapa aspek kecil kehidupan manusia. Tetapi pemerintahan, ekonomi, budaya, pendidikan dan aspek kehidupan yang besar lainnya diatur mengikut akal manusia. Sistem pemerintah negara dibina atas dasar demokrasi, sistem ekonomi berasaskan sistem Kapitalis, sistem pendidikan pula memisahkan antara ilmu pengetahuan (akademik) dengan aqidah Islam dan lain-lain lagi yang kesemuanya memisahkan agama dari kehidupan. Jadi, krisis-krisis yang berlaku seperti di atas sebenarnya merupakan kesan buruk akibat pelaksanaan sistem kehidupan selain yang diajarkan Allah dan dicontohkan Rasulullah.
Penutup
Dalam menghadapi segala cabaran yang ada dalam kehidupan yang penuh krisis ini, setiap Muslim tetap wajib berpegang teguh pada agama Allah walaupun ia amat ‘menyakitkan’. Inilah apa yang Rasulullah gambarkan dalam hadis baginda,
“Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api” [HR Tirmizi].
Ini adalah disebabkan suasana di sekelilingnya tidak membantu untuk dia menunaikan kewajipan agamanya, bahkan apa yang ada di sekelilingnya mendorongnya untuk membuat maksiat dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasikan. Ini juga bermaksud, sistem yang ada pada hari ini menyebabkan orang Islam sentiasa tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping luasnya ruang kemaksiatan di depan mata.
Apa pun, kesusahan hidup bukannya alasan untuk seorang Muslim itu mengabaikan kewajipannya dan bukan juga ‘memaksa’nya untuk melakukan keharaman. Ingatlah pada janji Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam kepada orang-orang hidup dalam kehidupan yang rosak tetapi dia tetap istiqamah dengan Islam. Daripada Abu Hurairah ra berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam:
Islam mula tersebar dalam keadaan asing dan ia akan kembali asing. Maka beruntanglah orang-orang yang asing” [HR Muslim].