Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran
Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (KIP) di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka lulus.
Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.
Hakim dalam ujian bacaan al-Quran daripada Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran (LPTQ) menilai peserta daripada segi cara membaca, adab membaca dan kefasihan bacaan.
Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.
Kemahiran membaca al-Quran adalah syarat wajib bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.
Ketiga-tiga pasangan calon yang menjalani ujian bacaan al-Quran semalam adalah calon yang baru mendaftarkan diri selepas KIP membuka semula pendaftaran sebagaimana perintah Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 17 Januari lalu.
Sebelum ini, KIP telah menerima pendaftaran empat pasangan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu, yang telah dijadualkan semula untuk diadakan pada 9 April.
Pasangan calon lain sudah pun lulus dalam ujian yang sama, selepas pendaftaran mereka. – BERNAMA
Masakan tidak, pada masa sekarang, bukan sahaja kebanyakan individu rakyat yang tidak tahu mengaji Al Quran, malahan di peringkat para pemimpin pun turut mengalami masalah yang sama. Pernah suatu ketika dahulu ada menteri kabinet Pakistan yang gagal untuk membaca sepotong ayat lazim daripada Al Quran sebelum mesyuarat bersidang meskipun telah melakukan beberapa kali cubaan.
Masalah yang timbul ini bukanlah suatu masalah yang dihidapi oleh seseorang individu melainkan merupakan suatu masalah sistemik. Sistem pendidikan yang mengutamakan pencapaian kemajuan duniawi (ilmu kehidupan) tanpa memperkirakan kewajiban untuk mempelajari ilmu fardhu ain menyebabkan masalah ini berlaku. Anak-anak diasuh serta ditekankan supaya mementingkan jumlah bilangan “A” yang mampu diperolehi semasa peperiksaan peringkat kebangsaan, tetapi tidak diseimbangkan dengan ilmu-ilmu fardhu ain seperti pengkajian Al Quran dan Syariat. Selain itu, racun sekularisme yang tertancap di benak umat pada masa ini juga memburukkan lagi keadaan dengan memandang ilmu fardhu ain sebagai suatu “sampingan” dan “pelengkap” sahaja dan bukannya suatu keutamaan yang wajib dipelajari dan dipraktikkan. Maka tidak hairanlah jika kita boleh melihat para pelajar yang mampu memperoleh gred yang baik bagi mata pelajaran agama Islam, tetapi individunya jauh sekali daripada memiliki syakhsiyyah Islam.
Di peringkat para pemimpin umat Islam pula, apalah ertinya bacaan Al Quran yang sedap diperdengarkan sekiranya mereka tidak menerapkan apa yang mereka bacakan? Apakah dengan hanya memperdengarkan bacaan yang enak kepada rakyat sudah mampu untuk melepaskan perhitungan Allah di akhirat kelak tentang tanggungjawab kalian ke atas umat?
“Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya…” [HR Ahmad].
Persoalan yang lebih besar lagi adalah apakah dengan menerapkan sebahagian daripada hukum Islam seperti hudud sudah bermakna kita menerapkan Islam? Apakah dengan menerapkan sebahagian syariat Islam dan pada yang sama masih melaksanakan hukum selain Islam dapat menyelamatkan para penguasa umat Islam daripada hisab Allah SWT. FirmanNya:
“Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”
[TMQ Al- Baqarah[2]: 85]
Allah turut mengingatkan kita,
“Dan Kami (Allah) telah turunkan kepada kamu kitab al-Quran dengan membawa kebenaran, maka hukumlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan membelakangkan kebenaran yang telah datang kepada kamu”. [TMQ al-Maidah(5): 48]
Ingatlah bahawa, selagi mana Islam tidak diterapkan secara sempurna, selagi itulah keindahan Islam tidak akan kita lihat. Dan selagi itulah, tanggungjawab kita untuk mengembalikan syariat Islam tidak akan terlepas. Wallahu a’lam.