Cengkaman Kapitalisme Dan Demokrasi Di Malaysia, Sampai Bila?

Hari demi hari kita menyaksikan kerosakan dan kepincangan akibat penerapan sistem sekular demokrasi kapitalis di negara ini. Keadaan ini menjadi semakin ketara dengan tibanya pandemik COVID-19 yang membongkar kerapuhan sistem rosak yang mengatur umat pada waktu ini. Keburukan ini cuba ditutup dengan pelbagai istilah atau kayu ukur diwujudkan seperti Key Performance Indices (KPI) yang tidak lebih daripada sekadar gimik atau solekan kosmetik. Namun ia tidak akan sama sekali dapat mengubah hakikat keburukan sistem kapitalis yang berasal dari Barat ini, meskipun disulam dengan istilah-istilah Islam seperti maqasid syariah dan lain-lain.

Di bawah cengkaman demokrasi-kapitalisme, rakyat terus ditekan dan tertekan dengan pelbagai masalah tanpa ada jalan penyelesaian konkrit dari pemerintah. Manakala solusi yang ditawarkan biasanya tidak menyelesaikan masalah tetapi lebih untuk meredakan kemarahan rakyat yang sedang bergelora di celah kesempitan hidup.

Kemelut Sistem Pemerintahan Demokrasi Yang Tiada Kesudahan

Dalam sistem demokrasi yang sudah sekian lama diamalkan ini, ternyata tidak ada perubahan yang bererti kepada rakyat walaupun kerajaan pernah beberapa kali bertukar dan muka-muka yang berada di kerusi empuk pemerintahan juga bertukar. Untuk meredakan kemarahan rakyat, acap kali rakyat digula-gulakan oleh pemerintah dengan beberapa habuan material, wang ringgit, dan janji-janji manis yang bersifat populis. Dalam masa yang sama, kekayaan negara yang melimpah ruah terus dikaut oleh pemerintah dan para kapitalis serta kroni-kroni mereka. Atas dasar itu, parti-parti politik dan ahli-ahli politik terus bercakaran untuk merebut kerusi, kerana habuan duniawi yang menanti sangatlah lumayan.

Mana-mana parti yang telah mendapat kuasa semestinya akan membuat dasar yang menguntungkan kerajaan dan parti mereka sahaja. Setelah menang, rakyat tidak lagi penting. Ini terbukti dengan mana-mana parti yang memerintah, rakyat terus mengecam pemerintah kerana rakyat tidak mendapat kebaikan dan manfaat dari kerajaan. Apatah lagi dengan fenomena ‘lompat katak’ dan tukar-menukar sokongan, semua ini membuktikan yang golongan politikus hanya mementingkan diri sendiri. Oleh yang demikian itu, tidak hairan apabila rakyat sudah mula bosan dengan pilihanraya dan sistem demokrasi, dan ramai yang sudah memilih untuk tidak lagi mahu mengundi mana-mana parti politik dalam pilihanraya.

Selain itu, apa yang lebih penting untuk difahami oleh umat Islam ialah, pemerintahan  demokrasi adalah bercanggah dengan Islam kerana ia mengambil hak Allah (swt) sebagai Pembuat Hukum (Musyarri’). Setiap hukum atau undang-undang perlu dibahas di parlimen, termasuk perkara yang melibatkan syariat Islam. Sebagai contoh, untuk menerapkan hudud (uqubat ) sahaja memerlukan undi ahli parlimen. Layakkah seorang manusia sebagai hamba mengundi perintah Tuhannya? Dalam konteks ini sahaja jelas membuktikan bahawa demokrasi adalah sistem yang kufur yang haram untuk digunapakai di negara-negara umat Islam.

Malah sistem demokrasi juga memakan kos yang terlalu tinggi untuk setiap pilihanraya. Manakala jika berlaku kematian wakil rakyat, maka pilihanraya perlu diadakan sekali lagi, yang juga melibatkan kos yang tidak sedikit. Sedangkan di sistem Islam (Khilafah), Khalifah hanya perlu melantik mana-mana individu sebagai wali atau amil sebagai wakilnya di sesuatu kawasan, tanpa menghabiskan jutaan wang dengan mengadakan pilihan raya. Wang yang ada boleh disalurkan untuk banyak lagi kemaslahatan rakyat seperti pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, terowong tebatan banjir dan lain-lain perbelanjaan dalam bidang teknologi supaya kita tidak perlu bergantung kepada negara kafir dalam bidang teknologi.

Lebih malang, kita melihat mana-mana gerakan Islam yang bergelumang dengan demokrasi terus hanyut dengan sistem sekular, malah ada yang menyokong dan bekerjasama dengan parti sekular. Jika dulu mereka lantang mengkritik parti sekular dan sistem sekular yang meminggirkan Islam, kini bersekongkol dengan parti sekular dan menjadi sebahagian daripada pemerintah dalam sistem sekular yang korup ini. Inilah bahayanya apabila sesebuah gerakan Islam berjuang di landasan demokrasi, mereka akhirnya terjebak dengan perangkap sistem kufur ini yang telah direka untuk memastikan Islam terus terpinggir daripada pemerintahan.

Kesengsaraan Umat Islam Di Bawah Cengkaman Kapitalisme

Di bawah sistem ekonomi kapitalisme, umat manusia terus sengsara yang hingga kini tiada kesudahannya. Kerajaan bukan menjadi pemelihara rakyat tetapi berniaga dengan rakyat, setelah mereka merampas harta rakyat. Dalam sistem kufur ini, pemerintah dan kapitalis merupakan dua golongan yang kaya raya dan sentiasa semakin kaya dengan pelbagai projek dan kekayaan negara yang mereka kaut semuanya. Kekayaan alam seperti minyak dan kayu balak terus ditarah dengan rakus dan rakyat menjadi pihak yang sentiasa tertindas dan dizalimi.

Sistem ini juga memberi hak kepada negara untuk mengelak tanggungjawab dengan menswastakan atau menyerahkan hak umum untuk dikendali oleh syarikat swasta seperti utiliti (elektrik, air, petroleum dan lain-lain). Sedangkan dalam Islam, penswastaan merupakan suatu yang bercanggah dengan syarak, kerana ia bukan sahaja membolehkan negara lari dari tanggungjawab, malah ia telah memberikan hak pemilikan kepada pihak yang tidak berhak. Sedangkan taklif menguruskan utiliti ini terbeban atas negara, dan jika ada keuntungan, maka ia wajib dikembalikan kepada rakyat. Sabda Rasulullah (saw):

“Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud].

Selain itu, sistem kapitalis yang diamalkan telah banyak merompak wang rakyat dengan pelbagai jenis cukai, insurans, denda dan riba, yang bukan sahaja menzalimi rakyat tapi lebih besar dari itu adalah bercanggah dengan Islam dan mengundang murka Allah (swt).

“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)” [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

Dan dalam riwayat lain, Rasulullah (saw) bersabda,

“Sesungguhnya pemungut cukai itu berada dalam neraka” [HR Ahmad].

Sistem ribawi yang sudah mendarah daging di dunia Islam pada hari ini merupakan tunjang kepada ekonomi kapitalis. Pemerintah Muslim yang menerapkan sistem ribawi ini tidak takut sedikit pun kepada Allah (swt) walaupun keharaman dan dosanya sangat jelas dan menakutkan. Rasulullah (saw) mengancam golongan yang terlibat dengan riba. Dalam sebuah hadis,

“Rasulullah (saw) melaknat pemakan riba, orang yang memberinya, penulisnya dan dua orang saksinya. Sabda Nabi (saw) ‘Mereka itu sama sahaja (dalam hal dosanya)’” [HR Muslim].

Berbeza dengan sistem ekonomi Islam, negara Khilafah yang  menerapkan Islam sentiasa menjamin hak dan keperluan rakyatnya seperti menawarkan pendidikan percuma, utiliti percuma dan Khilafah bertanggungjawab secara langsung untuk memenuhi segala keperluan rakyatnya seperti jaminan tempat tinggal, makanan, pakaian dan lain-lain. Sabda Rasulullah (saw):

“Imam itu pemelihara dan dialah yang bertanggungjawab terhadap apa yang diperlihara (rakyat)nya” [HR Muttafaq Alaih].

Dalam Islam, telah digariskan beberapa sumber pendapatan negara seperti ghanimah, fai’, kharaj, usyur, khumus, rikaz, jizyah dan lain-lain. Sumber- sumber ini sekiranya diuruskan dengan penuh amanah, insya Allah akan memberi kesejahteraan kepada seluruh umat. Ini belum dikira lagi dengan kepemilikan umum seperti petroleum serta galian yang amat banyak di perut bumi negeri umat Islam, yang hasilnya akan dikembalikan kepada umat bagai memastikan kesejahteraannya.

Kesimpulan

Umat Islam perlu sedar dan bangkit untuk menolak sistem demokrasi-kapitalisme ini, dan menggantikannya dengan sistem Islam. Negara ini perlu diubah, dan usaha wajib dilakukan jika kita mahu keluar dari cengkaman sistem demokrasi-kapitalisme kepada sistem Islam yang penuh rahmat dan nikmat. Selagi kita tidak berusaha untuk merubah dan menukar sistem demokrasi-kapitalisme ini kepada sistem Islam, maka selagi itulah kehidupan kita akan terus dicengkam dan dihimpit dengan pelbagai kesusahan dan malapetaka, kerana jalan keluar dari segala musibah ini hanyalah Islam. Hanya dengan kembali kepada sistem Islam yang sempurna, barulah kehidupan ini akan kembali sejahtera dan kita akan meraih redha Allah (swt).

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama kamu” [Al-Ma’idah (5): 3].

 

Wallahu a’lam.