Covid-19: Jangan terkeliru antara tawakkal dan usaha

Sempat kecoh seketika di alam maya apabila ada pihak yang menyatakan tidak takut kepada Covid-19, tetapi hanya takut kepada Allah (swt). Sekali imbas sudah dapat dikesan di mana kesalahfahaman ini kerana gagal membezakan antara takut kepada Al-Khaliq dan takut kepada makhluk. Takut kepada Allah akan membuatkan kita semakin mendekatkan diri kepada Allah (swt), manakala takut kepada makhluk akan membuatkan kita semakin menjauhi makhluk tersebut. Tindakan kita lari daripada makhluk yang kita takuti bukanlah bermakna kita tidak takutkan Allah (swt). Ia dua hal yang berbeza.

Tidak ada orang yang akan sengaja masuk ke kandang singa dan berkata, aku tidak takut kepada singa, kerana aku hanya takutkan Allah (swt). Malah, seorang yang waras akan lari apabila dikejar oleh seekor singa, dan tidak akan hanya berdiri dan membiarkan dirinya dibaham oleh singa atas alasan aku tidak takut kepada singa, tetapi hanya takut kepada Allah (swt).

Dengan kata lain, seseorang yang lari daripada singa adalah kerana ia takut kepada singa, dan hal ini adalah lumrah, kerana sifat takut itu dimasukkan oleh Allah (swt) ke dalam diri setiap manusia, dan tindakan melarikan diri itu merupakan manifestasi daripada gharizah al-baqa’ (naluri untuk mempertahankan hidup). Dengan melarikan diri daripada singa, bukanlah bermaksud ia tidak takut kepada Allah (swt), malah sebaliknya memanifestasikan keimanannya kepada Allah (swt), di samping melakukan hukum sababiyyah (sebab-akibat) bagi menyelamatkan nyawanya yang diperintahkan oleh Allah (swt). Di sinilah perlu dibezakan di antara takut kepada Allah (swt) dan takut kepada makhluk-Nya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah (saw) bersabda,

فِرَّ مِنَ المجذومِ كما تَفِرُّ مِنَ الأسدِ

“Larilah dari penyakit kusta sebagaimana engkau lari dari singa” [HR Bukhari], yang menunjukkan perintah Rasulullah (saw) agar kita lari (menghindari) daripada  penyakit yang berjangkit.

Dari sudut keimanan, kita wajib mengimani bahawa Allah (swt) sahajalah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan manusia, dan semua makhluk. Semuanya dalam kuasa Allah (swt), termasuklah sakit mahupun sihatnya seseorang manusia, semua itu ditentukan oleh Allah (swt). Orang beriman juga wajib meyakini bahawa semua perkara, termasuk musibah, datangnya daripada Allah (swt). Oleh itu, Allah-lah tempat untuk kita memohon segala sesuatu. Apabila di timpa musibah, setiap Muslim wajib bersabar dan menyerahkan urusannya kepada Allah (swt). Jika Allah (swt) menghendaki nescaya Dia akan menyembuhkannya, dan jika Dia menghendaki nescaya Dia mematikannya. Setiap Muslim wajib percaya akan hal ini, dan ini merupakan konsep tawakal yang wajib ada pada setiap Muslim, yakni menyerahkan segala kebergantungan kepada Allah (swt) dalam setiap perkara. Firman-Nya:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

“Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” [At-Taghabun (64):11]

Dalam ayat lain Allah (swt) berfirman,

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman hendaklah bertawakal’ [At-Taubah (9):51].

Namun demikian, dari sudut hukum syarak, setiap orang beriman wajib berusaha untuk menghindari penyakit dan berusaha untuk berubat apabila telah dihinggapi penyakit. Sabda Rasulullah (saw),

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

“Apabila kamu mendengar suatu taun (wabak penyakit berjangkit) di suatu daerah maka janganlah memasukinya (daerah tersebut), dan apabila kamu berada dalam daerah yang sedang dilanda wabak tersebut maka janganlah kamu keluar daripadanya (bagi mencegah penularannya)” [HR Bukhari].

Oleh yang demikian, tindakan siapa pun untuk pergi ke tempat keramaian, apatah lagi apabila mengetahui di situ terdapat risiko jangkitan penyakit, atas alasan hanya takut kepada Allah, dan tidak takut kepada makhluk Allah, merupakan satu fahaman yang jelas terkeliru kerana mencampur adukkan dimensi keimanan dengan hukum syarak, dan sekali gus meninggalkan aspek hukum syarak. Justeru, dalam menanggapi Covid-19 yang sedang melanda ini, setiap Muslim harus menanggapinya dengan cara yang benar, iaitu berusaha (untuk menghindari penyakit) dan bertawakal kepada Allah (swt).

Wallahu a’lam.

Abu Hamzah