Cubaan kaitkan HT dengan IS: kerajaan benar-benar sudah ketandusan idea

Gambar UL 011215 (2)Semasa soal siasat ke atas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman dan seorang lagi aktivis HTM, Ustaz Umar Hussein ketika dalam tahanan polis pada 20-21 November lepas, jelas terdapat cubaan untuk mengaitkan Hizbut Tahrir (HT) dengan kumpulan bersenjata Islamic State (IS).

Walaupun PDRM sebenarnya tahu bahawa HT berbeza sama sekali dengan IS dan perjuangan HT juga sama sekali berbeza dengan perjuangan IS, namun mereka tetap berusaha untuk mengaitkan HT dengan kumpulan militan tersebut.

Dakwaan bahawa terdapat seorang dua anggota HT yang menyertai IS yang langsung tidak dibuktikan oleh PDRM menjadi justifikasi kepada mereka dalam cubaan mereka itu.

Hizbut Tahrir ditubuhkan pada tahun 1953 di al-Quds, Palestine dan sejak itu hingga kini, bergerak melalui jalan dakwah, politik dan intelektual tanpa kekerasan, dalam perjuangannya mengembalikan kehidupan Islam melalui penegakan semula Daulah Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah. Sejak lebih 60 tahun lepas, HT tidak pernah dan tidak akan pernah merubah metodologinya dalam menegakkan Khilafah, kerana mengikuti metodologi yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang merupakan kewajipan ke atas setiap gerakan Islam untuk mengikutinya.

Manakala IS hanya wujud setelah pengisytiharan penubuhan Khilafah olehnya pada 29/06/2014 di mana mereka sebelum itu dikenali sebagai Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Sebelum pengisytiharan Khilafah oleh IS, sememangnya telah terdapat cubaan untuk mengaitkan HT dengan pengganas atau idea yang dibawa oleh HT boleh mencetuskan keganasan dan seumpamanya, namun belum ada cubaan untuk mengaitkan HT secara langsung dengan kumpulan militan tersebut. Hanya setelah Khilafah diisytiharkan oleh IS, barulah terdapat cubaan oleh pemerintah di seluruh dunia untuk mengaitkan HT dengan IS, walaupun hakikatnya HT tidak pernah mengiktiraf Khilafah IS itu!

Di sinilah letaknya ketandusan idea yang sangat ketara oleh pemerintah dalam usaha mereka menyekat dakwah dan perjuangan HT mendirikan Khilafah yang sebenar. Di manakah letaknya logik yang HT, sebuah parti politik Islam yang telah ditubuhkan sejak 1953, tiba-tiba mengikuti, cenderung atau ada kaitan dengan IS yang baru ditubuhkan (diisytiharkan) pada tahun 2014 dan tidak diiktiraf pun kesahannya oleh HT sendiri???

Apatah lagi terdapat anggota HT di Syria, Mustafa Khayyal yang dibunuh oleh IS kerana memusabah IS yang tidak mengikuti syarak. Malah realitinya, di mana-mana negara pun, anggota dan pendukung kumpulan bersenjata IS sering “memusuhi” HT yang tidak mengiktiraf Khilafah mereka dan jalan yang mereka ambil.

Hizbut Tahrir merupakan sebuah parti politik Islam dan bukan gerakan bersenjata. Malah HT menyatakan dengan tegas bahawa haram hukumnya untuk mengambil alih atau mendirikan pemerintahan dengan jalan bersenjata atau kekerasan. Sebaliknya, berapa ramai daripada anggota HT yang telah syahid di seluruh dunia kerana dibunuh oleh pemerintah zalim (termasuk IS) hanya kerana muhasabah yang HT lakukan terhadap mereka (pemerintahan) yang menjalankan pemerintahan yang bertentangan dengan syarak.

Banyak lagi perbezaan ketara lainnya antara HT dan IS yang sememangnya diketahui oleh kerajaan mahupun PDRM, malah diketahui oleh ramai orang. Namun, oleh sebab ketandusan idea dalam menyekat fikrah Islam dan perjuangan menegakkan Khilafah secara politik dan intelektual yang dilakukan oleh HT, maka mereka sudah tiada pilihan kecuali tetap cuba mengaitkannya dalam rangka mencari-cari salah HT dan mengekalkan status quo pemerintah yang semakin goncang.

Lebih buruk, sesungguhnya usaha untuk mengaitkan dan melabelkan setiap gerakan Islam yang berjuang di bidang politik dan intelektual, dengan senjata dan keganasan, merupakan usaha Amerika dan negara kuffar Barat lainnya, kerana ketakutan mereka kepada kebangkitan Islam dan kemunculan semula Khilafah ala minhaj nubuwwah yang sedang diperjuangkan oleh Hizbut Tahrir di seluruh dunia. Justeru, apa yang kerajaan Malaysia cuba lakukan dengan mengaitkan HT dengan IS sebenarnya tidak lepas daripada sikap ketundukan Malaysia kepada Amerika dan kerjasama yang Malaysia jalin bersama negara kafir harbi pengganas itu untuk menghalang tegaknya agama Allah dan tegaknya Khilafah di muka bumi ini.