PDRM Ketandusan Idea Bagi Menangani Jenayah Perjudian

PDRM-pakar-judiPegawai polis dilatih jadi ‘pakar’ judi

KUALA LUMPUR – Polis telah mewujudkan makmal kasino atau mock casino yang didirikan di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini bagi melatih pegawai dan anggotanya supaya menjadi pakar dalam menangani jenayah perjudian.  Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, mock casino tersebut didirikan dengan peruntukan RM198,000 manakala peralatan dan kelengkapan perjudian bernilai RM110,000 disumbangkan oleh Genting Malaysia Berhad.  Menurut beliau, penubuhan makmal yang mirip kasino sebenar itu yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan perjudian seperti roullette, mesin slot dan cip bertujuan melatih pegawai JSJ menjadi pakar dalam judi.  “Ibarat untuk menangkap pencuri, perlu jadi pencuri,” ujar Ismail. 

Kata Ismail, sejak tahun 2000 sehingga 2009, seramai 318 pegawai telah dihantar menjalani kursus di makmal tersebut dan mereka telah diiktiraf sebagai pakar judi.  Ismail berkata demikian di Maktab PDRM ketika beliau memperkenalkan tiga inisiatif baru PDRM bagi memperkasakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam penyiasatan dan membanteras kegiatan jenayah.   Selain mock casino, dua lagi inisiatif baru yang diumumkan oleh Ismail ialah penerbitan buku manual Prosedur Operasi Standard (SOP) siasatan jenayah berat dan laman Portal JSJ Update.

Sumber: Kosmo 20/11/10

“Ibarat untuk menangkap pencuri, perlu jadi pencuri”…PDRM Ketandusan Idea?

Mengapakah begitu sukar untuk memahami aktiviti perjudian sehingga perlu dilatih seseorang anggota polis menjadi pakar judi? Padahal, di dalam Islam, semua perjudian itu adalah haram tanpa mengambil kira sesuatu aktiviti perjudian itu mempunyai lesen,  bersifat menipu atau tidak mengikut peraturan perjudian tertentu. Seseorang itu tidak perlu menjadi pakar di dalam perjudian untuk memahami sesuatu pertaruhan itu bersifat judi atau tidak. Adakah pihak polis sudah ketandusan idea?, atau sengaja menyulitkan penguatkuasaan sehingga terlupa realiti perjudian? Inilah akibat apabila sesuatu penguatkuasaan itu tidak dilandaskan kepada asas rujukan kehidupan yang benar.

Islam sebagai suatu ideologi mempunyai aqidah yang dari situlah terpancarnya sistem-sistem kehidupan yang diperlukan untuk menjadi asas rujukan di dalam mengatur kehidupan manusia seperti sistem ekonomi, sistem sosial, sistem penghakiman, sistem pemerintahan dan lain-lainnya. Individu itu sebenarnya dibentuk oleh sistem yang melingkari kehidupan sesuatu masyarakat. Jika sistem yang memayungi kehidupan manusia itu baik, maka manusia itu akan menjadi baik. Begitulah sebaliknya. Ibarat kata sebuah bekas yang mengandungi air. Jika di sekelilingnya diletakkan ketul-ketul ais maka air yang ada di dalam bekas itu akan menjadi sejuk dan boleh membeku begitulah sebaliknya jika di luar bekas itu dinyalakan api maka air yang berada di dalam bekas itu akan menjadi panas sehingga mempunyai tenaga yang cukup untuk menolak penutup bekas tersebut. Begitulah betapa besarnya pengaruh sistem yang diterapkan yang sebenarnya mampu dan berupaya untuk mempengaruhi corak kehidupan sesuatu masyarakat itu.

Terdapat tiga lingkungan yang mampu mencegah seseorang manusia itu daripada melakukan maksiat. Lingkungan pertama adalah ketakwaan yang dimiliki oleh individu tersebut. Lingkungan kedua pula adalah peranan masyarakat  yang wujud  ke atas individu itu dan lingkungan ketiga ialah sistem yang memayungi kehidupan masyarakat ketika itu. Di dalam hal ini, negara mempunyai peranan yang cukup besar untuk memastikan ke tiga-tiga lingkungan yang dinyatakan itu dapat memberi jaminan dan perlindungan di dalam kehidupan manusia agar senantiasa dinaungi rahmat-Nya. Firman Allah SWT:

“dan (Tuhan berfirman lagi): “sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” [TMQ Al A’raaf (7) : 96].

FirmanNya lagi: “dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].

Itulah yang harus dilakukan oleh negara untuk mencegah berlakunya sebarang bentuk penyimpangan di dalam sesuatu masyarakat termasuklah judi. Di antara langkah segera yang wajib diambil pada ketika ini ialah dengan menutup semua tempat-tempat judi sama ada yang “haram” mahupun yang “halal” di sisi kerajaan sekular hari ini dan membenterasnya sehingga ke akar umbi dan bukannya dengan melahirkan anggota polis yang pakar dan hebat berjudi dengan harapan dapat memudahkan mereka untuk membenteras kegiatan judi. Jika ia gagal dilakukan, maka yakinlah bahawa satu-satunya system pemerintahan yang bersedia untuk melakukan tindakan-tindakan di atas adalah Sistem Khilafah