Dakwaan Terjemahan Al-Quran Ekstrem dan Serangan Terhadap Institusi Khilafah: Antara Kejahilan Dan Agenda Tersembunyi Liberal-Pluralis
Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam sebuah forum bertajuk “Is Islam a Religion of Peace?” anjuran IRF di Universiti Nottingham kampus Malaysia pada 7 Disember lalu. Forum tersebut turut membariskan Professor Ebrahim Moosa yang mempersoalkan kebaikan model sistem Khilafah dalam era moden, di samping menampilkan beberapa orang ahli panel lain.
Sehubungan itu, Ahmad Farouk turut memberikan contoh daripada surah Al-Fatihah dan mempertikaikan maksud terjemahan ‘mereka yang (Engkau) murkai’ (al-Maghdhuub) yang merujuk kepada Yahudi dan ‘mereka yang sesat’ (adh-Dhaalliin) yang merujuk kepada Kristian dalam terjemahan Hilali-Khan. Beliau menganggap terjemahan tersebut sebagai pandangan peribadi yang dimasukkan oleh Dr. Muhammad Taqiuddin Al-Hilali dan Dr. Muhammad Muhsin Khan ke dalam teks kitab. Persoalannya, benarkah dakwaan yang dilontarkan Dr. Ahmad Farouk itu? Tidakkah beliau mengetahui bahawa tafsiran kepada perkataan ‘al-Maghdhuub’ dan ‘adh-Dhaalliin’ itu diambil secara langsung pemahamannya daripada sabda Rasulullah SAW sendiri iaitu sewaktu baginda SAW berdialog dengan Adi bin Hatim yang pada ketika itu masih menganut ajaran Kristian? Rasulullah SAW berkata kepadanya:
“Sesungguhnya Yahudi itu adalah orang yang dimurkai dan Nasara (Kristian) adalah orang yang disesatkan”[HR At-Tirmidzi].
Terjemahan dan tafsiran tersebut bukanlah pandangan peribadi Hilali-Khan, bahkan ia turut disepakati oleh mufassirin (ahli-ahli tafsir) terdahulu sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Ibn Abi Hatim, seorang imam ahli tafsir dan ahli hadis:
“Saya mendapati tiada perselisihan di kalangan ahli tafsir bahawasanya al-Maghdhuubi ‘alaihim (di dalam ayat itu) adalah Yahudi dan adh-Dhaalliin adalah Nasara, dan yang mempersaksikan perkataan para imam tersebut adalah hadis Adi bin Hatim”. [Tafsir Ibnu Katsir, 1/40]
Justeru, apakah tujuan sebenar Ahmad Farouk mempertikaikannya sedangkan terjemahan tersebut secara jelas disandarkan kepada tafsiran yang merujuk kepada sabda Rasulullah SAW? Adakah hal ini berpunca daripada kejahilan beliau sendiri atau adakah beliau sememangnya ingin mengubah tafsiran al-Quran agar tunduk menurut hawa nafsu agar selaras dengan agenda liberal dan pluralisme yang didokong oleh IRF serta kelompok-kelompok yang seangkatan dengannya?
Toleransi Agama: Apakah Sandarannya?
Ahmad Farouk turut memetik Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata semua masyarakat dalam menganut agama masing-masing. Persoalannya, sejauh manakah toleransi agama itu sewajarnya diterima? Adakah toleransi agama itu bererti kita wajar mengiktiraf ajaran agama lain yang tidak mengakui Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang layak untuk disembah serta memberi kebolehan untuk mensyirikkanNya? Bukankah Allah SWT telah berfirman:
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam”[TMQ Ali Imran (3): 19].
Sesungguhnya toleransi agama bukan bererti kita memperakui agama-agama lain dan ajaran mereka sebagai ‘benar’ serta meletakkannya setaraf dengan Islam. Sebaliknya, toleransi agama yang dibenarkan syarak pada hakikatnya adalah bersandarkan kepada firman Allah SWT:
“Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku” [TMQ Al-Kafirun (109): 6].
Dalam ertikata lain, kita sebagai umat Islam tidak akan sesekali meredhai agama lain apatah lagi meletakkannya setara dengan Islam. Namun begitu, kita tidak pula diseru untuk memaksa orang kafir untuk memeluk Islam apatah lagi untuk berlaku zalim terhadap penganut agama-agama lain. Firman Allah SWT:
“Tidak ada paksaan dalam (memeluk) agama (Islam)”[TMQ Al-Baqarah (2) : 256].
Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang membunuh orang kafir yang telah mengikat perjanjian (mu’ahid), ia tidak dapat mencium bau harum syurga, padahal bau harum syurga itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun (perjalanan)”[HR Bukhari].
Sesungguhnya Islam menjamin sepenuhnya hak-hak orang kafir di bawah sistem pemerintahan Khilafah. Ahlu dzimmah yang menetap dalam Daulah Khilafah dijamin hak mereka untuk mengamalkan ajaran masing-masing dalam perkara-perkara yang berkaitan ibadat, makan-minum dan pernikahan. Mereka turut diberikan perlindungan nyawa yang sama dengan kaum Muslimin daripada sebarang ancaman luar yang menyerang. Begitu juga dengan khidmat perubatan, mereka sekali-kali tidak akan disisihkan dan layanan ini diberikan sama rata pada seluruh warganegara secara percuma. Mereka turut diberikan ruang dan kemudahan untuk mendalami ilmu pengetahuan seluas-luasnya daripada peringkat rendah sehinggalah ke peringkat tertinggi secara percuma serta diberikan peluang untuk menduduki jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran sistem Khilafah sepertimana yang pernah berlaku dalam sejarah Khilafah terdahulu. Sejarah juga telah merakamkan bahawa tatkala kaum Yahudi ditindas dan diusir daripada Sepanyol sewaktu pemerintahan Ratu Isabella, kaum Yahudi tersebut telah diselamatkan dan dialu-alukan oleh Sultan Bayezid II untuk berpindah ke wilayah Khilafah Uthmaniyah. Ini adalah salah satu bukti jelas bahawa penganut agama lain bukanlah masyarakat kelas kedua yang tertindas di bawah pemerintahan Islam sebagaimana yang ditanggapi oleh segelintir pihak.
Kesimpulan
Umat Islam sewajarnya tidak terpengaruh dengan idea-idea liberalisme dan pluralisme yang dibawa oleh golongan-golongan sebegini. Mereka berusaha untuk mentafsirkan semula al-Quran agar selari dengan agenda busuk mereka. Dalam masa yang sama, mereka berusaha untuk memberikan gambaran yang buruk terhadap para pemikul dakwah yang ikhlas dalam memperjuangkan penerapan Islam secara kaffah melalui penegakan semula Khilafah atas manhaj kenabian. Mereka juga menjadikan fitnah kezaliman yang dilakukan oleh sebilangan kecil kelompok militan sebagai objek serangan dan momokan agar seluruh umat Islam menolak sebarang seruan ke arah mengembalikan semula institusi Khilafah yang hakiki. Sudah tiba masanya untuk kita semua bersatu dalam menangani serangan pemikiran yang dilakukan oleh kelompok liberal sebegini dengan kembali berpegang teguh sepenuhnya kepada al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana yang diseru oleh junjungan mulia Rasulullah SAW. Wallahua’lam.
Sumber: “Terjemahan salah Quran punca ekstremisme agama, kata aktivis Islam, The Malaysian Insider