Debat: Mencari kebenaran, kemenangan, publisiti atau hanya kerana ego?
Isu perdebatan memanaskan suasana perbincangan di media sosial sejak keluarnya senarai 16 orang penceramah yang dilarang berceramah di Johor baru-baru ini. Ia timbul dari sikap tuduh-menuduh dan tuding menuding yang sebenarnya sudah lama dan berlarutan sehingga kini tanpa koma dan noktah.
Debat (jidal) memang dibolehkan dalam Islam dan merupakan salah satu uslub (cara) dalam berdakwah. Firman Allah SWT,
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” [Al-Nahl (16):125].
قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ
“Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” [Al-Mujaadilah (58):1].
Dalam aktiviti dakwah, debat dengan orang-orang kafir dalam rangka menegakkan kebenaran Islam dan menghapuskan kebatilan kekufuran memang merupakan lumrah. Namun demikian, debat sesama Muslim juga merupakan suatu yang lumrah dalam rangka mencari kebenaran. Cumanya, selain memperbolehkan debat, dalam masa yang sama Islam menentukan panduan dalam berdebat agar mereka yang ingin melakukannya tidak terjerumus ke dalam perdebatan yang sia-sia dan lebih buruk, terjerumus ke dalam dosa.
Seseorang Muslim itu tidak seharusnya suka mencari-cari perdebatan atau ingin terus terjun ke dalam perdebatan dalam setiap hal. Benar, al-Qur’an telah menjadikan debat sebagai salah satu cara dalam menyampaikan kebenaran Islam, tetapi ini tidak bererti yang al-Qur’an memerintahkan kita untuk senang dalam berdebat atau bersikap suka mencari-cari perdebatan. Seorang Mukmin seharusnya memahami bahawa perdebatan hanyalah salah satu uslub (cara) dakwah, tetapi bukan satu-satunya. Seharusnya debat dijadikan jalan terakhir dalam dakwah setelah dilakukan uslub-uslub lain yang lebih menyenangkan kedua-dua pihak, bukan sebaliknya mengawali dakwah dengan jalan perdebatan atau berbantah-bantahan antara satu sama lain. Firman Allah SWT,
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” [Al-Anfaal (8):46].
Sekiranya debat sudah menjadi jalan terakhir dalam usaha menegakkan hujah, maka amat penting untuk diperhatikan siapakah lawan debat kita. Hal ini amat penting kerana lawan debat seharusnya seorang yang kita kenali sebagai orang yang menginginkan atau mencari kebenaran, bukan seseorang yang jenis suka berdebat atau menjadikan debat sebagai jalan meraih agenda peribadi atau tujuan duniawi lainnya. Rasulullah SAW mengingatkan,
مَا ضَلَّ قَوْمٌ بَعْدَ هُدًى كَانُوا عَلَيْهِ إِلَّا أُوتُوا الْجَدَلَ ثُمَّ تَلَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْآيَةَ: مَا ضَرَبُوهُ لَكَ إِلَّا جَدَلًا بَلْ هُمْ قَوْمٌ خَصِمُونَ
“Tidak ada satu kaum yang tersesat setelah mendapat petunjuk, melainkan kerana mereka suka berdebat.” Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat, “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar” [Al-Zukhruf (43):58]” [HR Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad].
Selain itu, amat penting untuk kita mengenali lawan debat kerana tidak semua manusia yang diseru dengan ayat-ayat al-Qur’an itu akan bertambah keimanannya. Allah SWT mengingatkan bahawa ada di kalangan manusia yang justeru bertambah kekafirannya ketika dibacakan ayat-ayat Allah. Maka ayat Allah tidak layak dibacakan untuk orang seperti ini.
وَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَى رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا وَهُمْ كَافِرُونَ
“Dan adapun orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, di samping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir” [Al-Taubah (9):125].
Namun, jika sewaktu berdebat barulah diketahui bahawa lawan debat kita itu adalah termasuk orang yang bukannya ingin mencari kebenaran, maka segeralah meninggalkan orang seperti itu dan beristighfarlah kepada Allah agar kita tidak terus larut ke dalam debat yang tidak bermanfaat yang boleh menjerumuskan ke dalam dosa,
وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ
“Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan pembicaraan yang lain. Dan jika setan menjadikan kamu lupa (akan larangan ini), maka janganlah kamu duduk bersama orang-orang yang zalim itu sesudah teringat (akan larangan itu)” [Al-An’am (6):68].
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
“Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu di dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan, maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam” [Al-Nisa’ (4):140].
Larangan Allah SWT agar kita tidak duduk beserta (bersama) dengan golongan tersebut, termasuklah duduk dalam satu forum, satu pentas, satu perbincangan dan seumpamanya, sehingga keberadaan kita dalam majlis tersebut seperti meredhai atau mengesahkan majlis yang memperolok ayat-ayat Allah. Maka, kita diperintahkan untuk meninggalkan majlis tersebut demi menjaga keimanan dan ketakwaan kita agar tidak turut melakukan perbuatan dosa dan sia-sia seperti golongan tersebut.
Daripada berdebat, melayani atau mendengar golongan seumpama itu, lebih baik kita melakukan amal soleh. Setengah jam dihabiskan untuk berdakwah kepada mereka yang mencari kebenaran, jauh lebih baik daripada setengah jam dihabiskan secara sia-sia berdebat dengan orang yang tidak menginginkan kebenaran.
Manakala dari sudut yang lain, isu perdebatan yang diperbesar-besarkan oleh media bukan sahaja telah menaikkan ego pihak-pihak yang terlibat, tetapi telah melarikan fokus umat Islam daripada masalah yang sebenar. Tatkala negara dilanda pelbagai masalah akibat penyelewengan oleh pemerintah, hak rakyat yang dirampas, kos hidup yang semakin tinggi dek penerapan sistem Kapitalisme, masalah negara yang tidak berkesudahan kerana penerapan hukum kufur, ketika inilah isu debat dipalu habis-habisan, seolah-olah inilah masalah utama umat Islam, yang dengan debat, akan selesailah segala masalah!
Dengan melihat kepada panel debat dan tajuk yang ingin diperdebatkan, sesungguhnya setiap orang yang jernih hati dan pemikirannya sudah dapat menilai apakah debat tersebut sebenarnya bertujuan mencari kebenaran atau sekadar mencari publisiti atau sekadar menjadi medan untuk melampiaskan ego masing-masing.
Fitnah ke atas Islam yang diakibatkan oleh golongan yang bersengketa memang berlaku sejak dulu. Ia berpunca dari keegoan masing-masing yang tidak dapat menerima pendapat orang lain yang berbeza dengannya sehingga akhirnya berlaku tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah, sesat-menyesatkan malah sampai ke tahap saling berbunuhan.
Sungguh malang apabila persengketaan itu berlarutan hingga kini akibat masih adanya golongan yang bersifat sedemikian. Musuh yang sebenar seperti si kuffar Amerika, Britain, Rusia, Yahudi dan sekutu-sekutu mereka, tidak pernah dipedulikan oleh golongan ini, tetapi mereka memilih untuk memusuhi sesama Muslim yang tidak sependapat dengan mereka, malah Muslim yang tidak sependapat dengan mereka itu dimusuhi dengan sungguh-sungguh dan dianggap jauh lebih berbahaya dari Amerika dan Yahudi! Walhal mereka mengaku diri mereka sebagai golongan yang paling mengikuti Sunnah!