Demokrasi punca remaja rosak
Forum ini telah mendapat sambutan daripada para peserta yang terdiri dari kalangan para ibu, pelajar yang juga golongan remaja yang mana mereka berpeluang mendapatkan informasi yang sangat penting berkaitan tajuk ini dan menjadi lebih peka terhadap permasalahan yang sedang melanda saat ini.
Forum ini telah dipengerusikan oleh Saudari Farisha dan seterusnya menampilkan Dr. Huda Hidayah selaku moderator, Cikgu Zulaikha dan Puan Hafsah selaku ahli panel. Forum ini dibahagikan kepada dua sesi dan setiap sesi diselitkan dengan sesi soal jawab. Sesi pertama telah dimulakan oleh ahli panel pertama iaitu Zulaikha yang memaparkan realiti yang berlaku di Malaysia iaitu terkait dengan pendedahan bahan-bahan pornografi yang berleluasa di mana ia melibatkan golongan remaja dan tidak kurang juga pelbagai lapisan masyarakat. Fakta-fakta yang dikemukakan oleh Zulaikha telah disokong oleh kajian-kajian ilmiah dan statistik serta kes-kes gejala sosial yang berlaku hari ini. Kesan dari realiti ini remaja yang terdedah dan terlibat dengan bahan-bahan pornografi sangat serius dan perlu ditangani segera.
Sesi pertama diteruskan dengan ahli panel kedua iaitu Puan Hafsah yang memaparkan pula punca-punca sebenar yang meyebabkan berlakunya permasalahan ini. Apabila berlaku permasalahan ini, masing-masing pihak menuding jari, siapa yang harus dipersalahkan samada ibu bapa, guru, rakan sebaya, media cetak ataupun pihak kerajaan. Puan Hafsah telah memberikan jawapannya iaitu masalah ini berlaku hasil daripada acuan sistem yang diamalkan oleh negara iaitu sistem demokrasi yang menjadikan manusia sebagai pengatur urusan kehidupan dengan berpandukan akal dan nafsu semata-mata. Hakikatnya sistem demokrasi ini telah menyemarakkan lagi masalah ini dan tidak mampu menghentikannya lantas masalah ini menjadi semakin parah dan para remaja pastinya akan terus menjadi mangsa. Demokrasi adalah suatu sistem yang bertunjangkan kepada idea kebebasan dan hak asasi manusia yang menjadi anutan Barat yang membolehkan manusia melakukan apa sahaja selagi tidak menyalahi hak asasi masing-masing. Sekiranya manusia dibiarkan mengatur dan membuat keputusan dalam kehidupan mereka, lalu di manakah hak Allah SWT sebagai Al-Hakim? Selanjutnya moderator telah membuka sesi soal jawab kepada para peserta forum. Terdapat perkongsian pengalaman daripada salah seorang peserta yang merupakan seorang guru. Beliau melahirkan rasa bimbang dengan perilaku negatif pelajar-pelajar peringkat rendah hasil daripada pendedahan bahan-bahan pornografi yang tidak seharusnya dilakukan atau diucapkan oleh kanak-kanak seusia itu.
Selanjutnya forum diteruskan dengan sesi yang kedua yang dimulakan oleh Zulaikha yang menjelaskan kedudukan undang-undang yang terdapat di Malaysia berkaitan penyebaran dan penggunaan bahan-bahan pornografi. Memang tidak dinafikan terdapat banyak undang-undang yang digunapakai namun tidak dapat dipastikan samada undang-undang ini dikuatkuasakan atau tidak. Sekiranya hanya ada undang-undang di atas kertas tetapi tidak dikuatkuasakan, maka ia tetap tidak akan menyelesaikan masalah. Seterusnya, Hafsah telah mengakhiri penyampaiannya dengan menjelaskan penyelesaian hakiki dari perspektif Islam. Sesungguhnya Islam sebuah ideologi yang berasaskan kepada aqidah Islam dan dari aqidah itu terpancarnya syariah/sistem yang cukup sempurna. Inilah sistem ciptaan Allah SWT yang pasti mensejahterakan kehidupan dan melindungi generasi manusia daripada kerosakan yang dibawa oleh Barat. Apabila manusia berpegang kepada Islam sebagai cara hidup, nescaya umat Islam menjadi umat yang hebat dan disegani oleh penganut agama lain tetapi apabila Islam ditinggalkan, maka umat Islam menjadi semakin hina. Islam akan menjadi unggul dan pastinya akan dapat melindungi generasi manusia apabila tiga paksi utama yang kukuh berada dikelilingnya iaitu ketaqwaan individu, kawalan masyarakat dan negara yang menerapkan hukum Allah SWT. Apabila ketiga-tiga paksi utama ini berjaya memainkan peranan masing-masing, maka permasalahan umat akan dapat diselesaikan dengan tuntas dan menyeluruh.
Selanjutnya moderator telah membuka kepada sesi soal jawab dan perbincangan serta perkongsian pengalaman daripada para peserta forum. Satu per satu persoalan telah diutarakan oleh peserta dan kesemua persoalan tersebut dijawab oleh kedua-dua ahli panel secara bergilir-gilir mengikut kehendak soalan. Persoalan-persoalan daripada peserta berkisar kepada bagaimana cara yang terbaik untuk mendidik dan membimbing anak-anak yang kini memang menjadikan internet sebagai satu keperluan dalam pendidikan supaya dapat menyekat dan mengawal daripada terdedah kepada bahan-bahan pornografi. Terdapat juga persoalan daripada kalangan remaja dan pelajar yang ingin mengetahui bagaimana caranya menegur dan memberi kesedaran kepada rakan sebaya yang terlibat dengan bahan-bahan pornografi sehingga mendorong kepada perilaku dan tutur kata yang negatif.
Akhirnya moderator telah menyimpulkan bahawa permasalahan ini adalah permasalahan umat yang perlu ditangani oleh semua pihak. Permasalahan ini tidak seharusnya dipandang ringan dan remeh kerana kesan daripada permasalahan ini akan mengundang kepada permasalahan yang lebih besar dan pastinya akan memudaratkan umat keseluruhannya. Kita tidak mempunyai pilihan lain untuk menyelesaikan permasalahan ini. Pilihan yang ada adalah kembali kepada hukum Islam yang merupakan penyelesaian yang hakiki. Ini kerana telah terbukti penyelesaian yang berlandaskan kepada akal dan nafsu semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan permasalahan ini. Forum diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustazah Rafidah.