Demokrasi – Senjata Barat Menghancurkan Islam (Siri 2)

…sambungan

Sebagaimana yang telah disentuh sebelumnya, slogan yang sesungguhnya merupakan senjata Barat (yang diketuai oleh Amerika Syarikat) untuk menghancurkan Islam itu secara garis besarnya terdiri daripada empat iaitu demokrasi, pluralisme, hak asasi manusia dan politik pasar bebas. Di antara keempat-empat senjata ini, demokrasi boleh dikatakan sebagai ibunya.

Demokrasi merupakan standard format politik dalam ideologi Kapitalisme. Dengan kata lain, demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang mesti diterapkan oleh negara-negara Kapitalis dan negara-negara lain yang mengikuti atau meniru negara-negara Kapitalis.

Menurut para penganutnya, demokrasi bererti pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat; sebuah sistem pemerintahan yang kononnya menjalankan peraturan yang dibuat sendiri oleh rakyat. Tidak sedikit daripada kaum kapitalis yang menyebut sistem Kapitalisme mereka sebagai “sistem Demokrasi”, walaupun penyebutan ini sebenarnya tidak tepat. Ini kerana demokrasi bukanlah pemikiran asal kaum Kapitalis. Orang Yunani telah terlebih dahulu mencetuskannya. Di samping itu, kaum Kapitalis bukanlah satu-satunya pihak yang menerapkan demokrasi, kerana kaum Sosialis Marxis juga mengaku diri mereka sebagai kaum Demokrat. Sehingga ke akhir hayat ideologi Sosialisme, kaum Sosialis tetap mendakwa bahawa mereka telah menerapkan demokrasi.

Aspek terpenting dalam demokrasi adalah penetapannya bahawa pihak yang berhak membuat hukum (Al-Musyarri’) ialah manusia, bukannya Al-Khaliq. Hal ini amat logik bagi penganut idea pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme) seperti mereka, kerana pemisahan agama daripada kehidupan itu bererti memberikan autoriti menetapkan hukum kepada manusia, bukan kepada Al-Khaliq untuk menentukan segala kehendaknya.

Dalam hal ini, kaum Kapitalis tidak pernah membahas apakah Al-Khaliq telah mewajibkan manusia untuk mengikuti dan menerapkan syari’at tertentu  dalam kehidupan mereka. Bahkan, mereka sedikit pun tak pernah memperdebatkan masalah ini. Mereka hanya menetapkan, bahawa yang berhak membuat hukum adalah manusia. Noktah.

Sedangkan bagi kaum Muslimin, hal seperti itu bererti tindakan pembangkangan atau pengingkaran terhadap seluruh dalil yang qath’i tsubut (pasti sumbernya) dan qath’i dalalah (pasti pengertian dalilnya) yang mewajibkan kaum Muslimin untuk mengikuti syari’at Allah dan membuang apa sahaja peraturan yang bertentangan dengan syari’at.

Kewajipan di atas diterangkan oleh banyak ayat dalam al-Qur’an dan lebih dari itu, ayat-ayat yang qath’i tadi menegaskan pula bahawa siapa pun yang tidak mengikuti atau menerapkan syari’at Allah, bererti dia telah kafir, zalim atau fasik. Allah SWT berfirman,

“Barang siapa tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang kafir” [TMQ al-Ma’idah (5):44].

“Barang siapa tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].

“Barang siapa tidak berhukum menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].

Berdasarkan ayat di atas, maka siapa pun juga yang tidak berhukum (menjalankan urusan pemerintahan) dengan apa yang diturunkan Allah, seraya dengan i’tiqadnya mengingkari hak Allah dalam menetapkan hukum, maka dia adalah kafir tanpa keraguan lagi. Hal ini kerana tindakan tersebut – yakni tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah dan mengingkari hak membuat hukum di tangan Allah – bererti dia telah ingkar terhadap ayat-ayat yang qath’i dalalah. Padahal orang yang mengingkari ayat yang qath’i adalah kafir, dan hal ini telah pun disepakati oleh seluruh fuqaha’.

Kaum kafir dan para agen mereka, iaitu para penguasa negeri-negeri Muslim, sesungguhnya benar-benar memahami bahawa asas demokrasi itu mesti ditegakkan dengan tindakan membuang syari’at Allah dan menempatkan manusia pada posisi Al-Khaliq (sebagai Pembuat hukum). Di sinilah seluruh pihak yang mempropagandakan demokrasi daripada kalangan kaum Muslimin sebenarnya telah tertipu dengan apa yang dibawa oleh Barat yang kafir itu dan agen-agen mereka.

Oleh kerana itulah, Barat tidak akan menjajakan demokrasi dengan cara mengungkapkan hakikat itu, akan tetapi mereka mengatakan bahawa demokrasi adalah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat. Mereka mengatakan pula bahawa demokrasi adalah proses memilih pemimpin melalui suara majoriti yang sesuai dengan Islam. Mereka mengatakan bahawa demokrasi memberi hak sama rata kepada rakyat, hak mengkritik pemerintah dan sistem yang menyebarkan keadilan dan kesejahteraan, dan bermacam-macam lagu keindahan lagi yang mereka tempelkan kepada demokrasi. Tetapi mereka tidak menyinggung sedikit pun mengenai asas demokrasi yang hakikatnya membuang syari’at Allah. Padahal substansi (intipati) demokrasi itu – dari awal sampai akhir – tiada lain adalah sebuah sistem dan proses yang membuang syari’at Allah dan mengikuti “syari’at” makhlukNya.

Adapun idea-idea lain yang – kononnya – merupakan idea demokrasi, sebenarnya tidak ada faktanya sama sekali. Ia merupakan pembohongan besar yang cukup jelas lagi nyata. Idea bahawa dalam demokrasi rakyatlah yang memerintah atau yang menentukan kehendaknya sendiri, misalnya, sebenarnya hanyalah sebuah pembohongan di siang hari. Ini kerana, dalam masyarakat demokrasi-kapitalis, pihak yang memerintah bukanlah rakyat. Idea ini merupakan sebuah utopia belaka.

Pihak yang memerintah dalam sistem demokrasi ialah golongan elit minoriti yang biasanya mempunyai modal yang besar atau didukung oleh para pemilik modal (kapitalis) yang besar dan berpengaruh dalam masyarakat. Kalau di AS, para kapitalis ini amat terkenal dengan kapitalis raksasa yang menguasai ekonomi negara. Manakala di Britain, mereka terdiri daripada golongan bangsawan. Inilah fakta yang ada di AS dan di Britain, yang merupakan dua negara demokrasi-kapitalis barisan terdepan. Slogan yang mereka laungkan bahawa demokrasi adalah pemerintahan dari, oleh dan untuk rakyat betul-betul sebuah pembohongan besar yang diketahui oleh orang-orang yang pekak dan buta sekalipun.

Kelompok-kelompok berpengaruh di negara-negara kapitalis tadi, mempunyai sarana-sarana yang melimpah ruah untuk menghantarkan siapa sahaja calon yang mereka kehendaki untuk duduk di kerusi pemerintahan dan di dalam dewan-dewan legislatif. Dengan demikian, undang-undang yang dibuat oleh badan legislatif dan pihak eksekutif yang melaksanakannya, tidak lebih merupakan undang-undang yang berpihak dan dalam rangka melayani kepentingan-kepentingan kelompok kapitalis yang berpengaruh tersebut.

Hal yang sama tidak ada beza sedikit pun dengan apa yang berlaku di negara kaum Muslimin. Sejak awal untuk menjadi calon pilihan raya sahaja, sudah pasti ada pihak yang menjadi penyumbang modal di belakangnya. Siapa pun yang ingin menjadi calon dalam pilihanraya sistem demokrasi, memerlukan modal yang bukan sedikit, sehingga golongan pertengahan, apatah lagi golongan miskin sudah barang pasti tidak akan dapat menjadi calon sampai bila-bila.

Atas dasar itulah, calon-calon dalam pilihanraya mesti terdiri daripada calon-calon parti yang berduit. Jika terdapat calon persendirian yang disukai oleh majoriti masyarakat sekali pun, namun tidak berduit, maka berputih mata sahajalah. Inilah pembohongan besar dalam sistem demokrasi yang kononnya menyatakan rakyat boleh memilih calon atau “wakil mereka”, sedangkan realitinya hanya calon atau “wakil parti” yang berduit sahaja yang mampu bertanding. Apabila mereka menang, maka mereka sudah pasti bertindak mewakili dan atas kepentingan parti mereka atau kapitalis yang mendukung mereka, bukannya kepentingan rakyat.

Ide-ide lain yang – kononnya – juga merupakan idea demokrasi seperti persamaan, keadilan, dan hak mengkritik penguasa, semuanya juga cuma sebatas teori, tidak lebih daripada itu. Semuanya pembohongan yang tidak ada faktanya. Cukuplah dengan seseorang mengamati realiti yang ada di AS – kepala demokrasi di dunia – dengan saksama, nescaya ia akan dapat simpulkan bahawa persamaan, keadilan dan kritik kepada pemerintah di sana, semuanya serba diskriminatif.

Mereka yang dapat menikmati dan menjalankan hak-hak itu hanya orang-orang tertentu dengan warna kulit, agama dan asal-usul tertentu, atau orang-orang dengan sejumlah harta kekayaan tertentu. Lihatlah penderitaan memilukan yang dialami oleh orang-orang kulit hitam, orang-orang Indian berkulit merah, orang-orang yang berasal dari Amerika Latin dan Asia, juga orang-orang yang non Protestan atau yang tidak berasal dari Eropah Barat.

Semua penderitaan golongan tersebut sudah cukup menjadi bukti bahawa apa yang – kononnya – menjadi idea-idea demokrasi tadi, pada hakikatnya hanyalah teori kosong belaka, semata-mata teori tanpa realiti. Biarpun kadang-kadang terjadi hal yang seiring dengan demokrasi yang mereka laungkan, ia tidak lebih daripada suatu “pemberian” gula-gula yang bersifat sementara, untuk pemerintah mendiamkan rakyatnya.

Melihat kepada asas berdirinya demokrasi seperti yang telah diterangkan di atas berserta pembohongan-pembohongan demokrasi yang jelas lagi nyata, seseorang Muslim tidak diperbolehkan menerima atau mengambil idea demokrasi. Ini kerana demokrasi jelas merupakan sistem kufur yang berasal dari Barat, suatu sistem yang memberikan hak kepada manusia untuk membuat hukum yang sepatutnya merupakan hak Al-Khaliq semata-mata.

Oleh itu, setiap individu Muslim wajib membuang dan mengenyahkan demokrasi serta menentang dan melawan siapa pun yang berusaha menjajakan demokrasi yang kufur itu. Siapa pun yang telah mengambil demokrasi sebenarnya telah masuk dalam perangkap Barat.

bersambung…