Denda Dan Konsep Pemakaian Islam

Isu berkaitan cara berpakaian di kalangan wanita Islam timbul semula selepas Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB – BRI) menguatkuasakan Kod Etika Pakaian dengan mengenakan kompaun sebanyak RM500 ke atas pekerja wanita Islam di premis-premis perniagaan yang tidak berpakaian menutup aurat, manakala yang bukan Islam disyaratkan berpakaian sopan. Peraturan tersebut mula dikuatkuasakan memandangkan nasihat yang diberikan oleh MPKB sejak 10 tahun yang lalu tidak diendahkan [harakahdaily 25 Disember 2006].

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Haji Takiyuddin Hassan, mengatakan bahawa setiap wanita Islam hendaklah menutup aurat kecuali apa yang biasa ternampak iaitu muka dan tapak tangan dan lelaki Islam pula diantara pusat dan lutut. Walaubagaimanapun wanita bukan Islam dikehendaki berpakaian sopan. Sehingga kini, seramai lebih kurang 160 wanita Islam yang tidak memakai tudung ketika bekerja dikenakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sejak Januari lalu.

[Sumber: Utusan Malaysia 9/9/2006]

Tindakan MPKB itu telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan barisan pemimpin negara. Ini termasuklah daripada Timbalan Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan:”We are already facing problems in terms of interpretation on what constitutes indecent dressing. This (move) will only create uneasiness and unhappiness among certain quarters or groups.They (the council) should not get overly excited to act based on their own interpretation”. [NSTP] (Kita sedang menghadapi masaalah dalam menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan pakaian bersopan. Pendekatan ini hanya menyebabkan keresahan dan tidakpuas hati pihak dan kelompok lain. Mereka tidak sepatutnya bersikap gopoh dan bertindak mengikut pentafsiran sendiri)

Dr. Rozaidah dari kelab penyokong BN yang juga merupakan MP bahagian Ampang menyatakan:That it was a person’s right to dress as she pleased and no one had the right to dictate the person’s way of dressing. By imposing fines, it only shows the shallow-mindedness of the council [NSTP] ( Seseorang itu berhak menentukan bagaimanakah cara dia hendak berpakaian dan orang lain tidak berhak mencampuri urusan pakaian seseorang itu. Dengan mengenakan denda, ia hanya membuktikan pemikiran sempit majlis(MPKB))

Menteri Besar Kelantan pula memberi justifikasi terhadap pendekatan MPKB memandangkan masalah rogol dan keruntuhan akhlak semakin banyak dan berkembang, bukannya semakin berkurang. Kerana itu, Islam awal-awal lagi menetapkan peraturan berpakaian yang kita panggil menutup aurat sebagai langkah mencegah perkara tidak bermoral dalam masyarakat. [Harakah]

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil pula mendakwa peraturan tersebut telah menyebabkan golongan wanita tidak dapat menentukan pilihan mereka dalam berpakaian, sebaliknya ditentukan oleh Kerajaan Negeri.

Islam Mengatur Kehidupan Manusia.

Hukum berpakaian yang telah ditentukan oleh Islam bukanlah mencegah seseorang wanita itu untuk memakai pakaian yang disukainya. Perundangan Islam diturunkan oleh Allah SWT bertujuan untuk mengatur kehidupan manusia agar sesuai dengan fitrah mereka, tidak sama sekali menyekat semua aktiviti. Hukum berpakaian di dalam Islam berkait rapat dengan sistem pergaulan di antara lelaki dan wanita. Maka apabila seorang lelaki mukmin berinteraksi dengan wanita muslim atau bukan, mereka hanya berhak memandang bahagian-bahagian wanita yang dibenarkan, iaitu muka dan dua tapak tangan.

Tidak ada kebebasan mutlak di dalam Islam. Seorang muslim wajib untuk terikat dengan hukum syara’ yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Ini termasuklah di dalam bab hukum tentang pemakaian. Firman Allah SWT :

“Katakanlah kepada laki-laki mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemahuannya, sikap demikian adalah lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah maha mengetahui atas apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita mukmin, hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya” [TMQ An-Nur:30-31]

Bagi para wanita muslim, perintah untuk mereka menutup aurat adalah jelas dan tidak ada perselisihan di kalangan ulama silam berhubung makna firman Allah SWT di bawah:

“Janganlah mereka menampakkan perhiasannya selain yang biasa nampak padanya. Hendaklah mereka menutup (khimar) kebahagian dada mereka”.[TMQ An-Nur:31]

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan wanita-wanita mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya keseluruh tubuh mereka.

Kefahaman ayat-ayat di atas telah pun dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan diikuti oleh para sahabat. Ia kemudiannya diwarisi pula oleh para pengikut sahabat (tabi’in). Dan sejak dari dahulu lagi, hukum berkaitan berpakaian tidak pernah berubah. Seluruh dunia Islam telah pun maklum bahawa pakaian bagi wanita muslim adalah dengan berjilbab dan menutup seluruh kepala sehingga ke bahagian dada (khimar) kecuali muka dan tapak tangan. Semua ini telah dilaksanakan oleh kaum muslimin sejak ratusan tahun dahulu.Maka dengan itu, sesiapapun tidak berhak untuk mempertikaikan atau menafsirkan semula hukum cara berpakaian yang wajib diikuti oleh lelaki mahupun wanita muslim.

Sebahagian daripada bukti-bukti di atas menunjukkan bahawa Islam sebenarnya telah meletakkan garis panduan yang jelas di dalam berpakaian, tatacara berinteraksi dan peranan lelaki dan wanita di dalam kehidupan. Dengan itu akan terwujud interaksi antara lelaki dan wanita dalam suasana yang harmoni.