Berubahlah Dengan Konsep Islam

Ahli UMNO perlu ubah sikap

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Pindaan Perlembagaan UMNO yang akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas Khamis ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah politik wang jika pemimpin dan ahli-ahli parti itu gagal mengubah sikap masing-masing. Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu hanya akan berkesan jika pemimpin dan ahli-ahli memahami sekatan yang digariskan oleh perlembagaan parti dan mengubah sikap mereka supaya selaras dengan perkara itu.  ”Kita buat pindaan, tetapi kalau sikap pemimpin dan ahli-ahli tidak sesuai dengan pindaan ini, tak berjayalah.  ”Saya harap ahli-ahli UMNO faham bahawa perlembagaan dengan sendirinya tidak boleh menjamin masalah tidak timbul,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran buku Amanat Presiden UMNO 1946-2009 yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.  Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini mengumumkan antara pindaan yang akan dilakukan melibatkan penghapusan sistem kuota untuk bertanding sebarang jawatan dalam parti.  Ia juga akan membabitkan perluasan jumlah perwakilan kepada 146,500 orang bagi menentukan kepimpinan tertinggi parti.   Menurut Dr. Mahathir, UMNO perlu memastikan perwakilan yang dipilih untuk mengundi adalah terdiri daripada kalangan yang matang dan berupaya membuat pilihan bijak.  ”UMNO memerlukan cara untuk menentukan siapa 146,500 orang ini. Adakah mereka dipilih kerana jawatan atau kerana intelek. Mungkin juga mereka dipilih kerana sudah dewasa.  ”Ini semua kena ambil kira kerana kadang-kadang orang kita ini, kalau kita hendak sogok bukan banyak, RM200 sudah cukup.  ”Negeri pun, dia jual RM200. Sebenarnya, bila dia jual undi ini, dia jual negeri. Jadi, kita tunggu dan tengoklah,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 12/10/09

Perubahan Sikap Hanya Akan Berlaku Apabila Berlaku Perubahan Konsep Hidup

Konsep hidup yang dipegang oleh seseorang terhadap dunia inilah yang akan mempengaruhi tingkah lakunya. Jika seseorang itu mempunyai fikrah Islam dan menjadikan fikrah itu sebagai konsep hidupnya maka individu itu akan bertingkah laku dengan tingkah laku Islam. Sebaliknya  jika seseorang itu memegang konsep sekular dalam hidupnya maka sudah pastilah individu tersebut akan mengatur hidupnya dengan kehidupan sekular. Bagi seorang Islam yang menjadikan aqidah dan fikrah Islam sebagai asas perbuatannya maka sudah pasti redha Allah SWT lah yang akan menjadi tujuan didalam hidupnya dan untuk itu dia akan bertingkah laku sesuai dengan perintah dan larangan Allah SWT.

Tetapi bagi seorang Islam yang sekular maka sudah pasti setiap apa yang dilakukannya adalah bertujuan untuk mencapai kemanfaatan yang semaksimum mungkin tanpa memperkirakan persoalan dosa dan pahala. Justeru itu pemikiran yang dipegang oleh seseorang itulah sebenarnya yang akan menjadi titik tolak untuk berlakunya perubahan kepada sikap seseorang  individu itu. Maka atas perkara inilah pandangan yang diberikan oleh Mahathir bahawa masalah politik wang yang membarah didalam UMNO tidak akan berjaya diselesaikan jika tidak berlakunya perubahan sikap dikalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri ada kebenarannya. Tetapi jika kita perhalusi saranan Mahathir itu, maka ada satu asas penting yang tidak diperjelaskan oleh beliau. Iaitulah bagaimana sikap ahli UMNO itu boleh dan akan berubah? Yakinlah selagi ahli UMNO tidak mengganggap bahawa politik wang itu sebagai rasuah dan rasuah itu sesuatu yang haram maka selagi itulah persoalan rasuah ini tidak akan dapat dihilangkan dari ahli UMNO itu sendiri. Disinilah pemahaman yang benar terhadap rasuah itu akan menjadi penentu untuk mengubah sikap seseorang itu. Samada dia bersedia untuk meninggalkan segala bentuk perkara yang diharamkan oleh Islam ataupun sebaliknya. Untuk itu sudah tiba masanya untuk ahli-ahli UMNO meninggalkan fahaman sekular yang berakar umbi didalam perjuangan UMNO itu sendiri. Selagi mereka tidak meninggalkan pemikiran sekular ini maka selagi itulah sikap mereka tidak akan berubah. Untuk itu selayaknya Mahathir menyerukan kepada ahli UMNO untuk meninggalkan pemikiran sekular yang rosak itu dan kembali kepada pemikiran Islam dan seterusnya menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup didalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara dan bukannya Islam itu hanya untuk persoalan individu semata-mata. Dan kita yakin jika Mahathir bersedia untuk memulakan langkah kembali kepada Islam sebagai suatu cara hidup maka sudah pasti ianya akan memberikan impak yang besar kepada ahli-ahli UMNO itu sendiri. Persoalannya kini apakah Mahathir yang juga ahli UMNO itu sendiri bersedia untuk menukar pemikiran sekularnya kepada pemikiran Islam?