Dengan Khilafah Kita Menjaga Deen Ini Dan Menyatukan Kaum Muslimin

[Teks pidato yang disampaikan oleh Shaikh Yusuf Makharazah dalam Muktamar Online Rajab 1443H – Islam Kaffah Akan Terealisasi Di Bawah Khilafah pada 28 Rajab lalu].

Alhamdulillahi Rabb al-Alamin, selawat dan salam ke atas Rasulullah, Muhammad (saw), yang diutus oleh Allah sebagai hidayah bagi seluruh alam.

Saudaraku para peserta Muktamar! Saya ucapkan salam dari Baitul Maqdis yang sedang ditawan dan sedang menunggu panji al-Khilafah (untuk membebaskannya).

Assalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh

Amma ba’du

Allah (swt) telah memerintahkan kita agar melindungi Deen-Nya, mempertahankannya, dan mensucikannya daripada apa jua (kekotoran) yang terlekat padanya agar ia tetap suci seperti mana ia diturunkan oleh-Nya.

Allah (swt) berfirman:

وَإِن كَادُوا۟ لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ ٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ لِتَفْتَرِىَ عَلَيْنَا غَيْرَهُۥ ۖ وَإِذًا لَّٱتَّخَذُوكَ خَلِيلًا

“Dan sesungguhnya mereka hampir memalingkan kamu dari apa yang telah Kami wahyukan kepadamu, agar kamu membuat yang lain secara bohong terhadap Kami; dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu menjadi sahabat yang setia” [al-Isra’ (17): 73].

Pastinya, tidak ada ruang bagi siapa pun untuk mengubah apa pun daripada Deen ini, terutamanya yang terkait asas-asasnya dan akidahnya! Para Khulafa’ datang selepas kewafatan Rasulullah (saw) untuk memegang tanggungjawab dalam melindungi akidah ini. Mereka memerangi orang-orang murtad dan ‘mendisiplinkan’ orang yang suka mengikuti perkara mutasyabihat (orang yang ingin menyebarkan keraguan dan menakwilkannya).

Para Khalifah yang awal telah mengumpulkan Al-Quran, yang merupakan sumber pertama dalam syariah, dan merupakan asas kepada Deen ini dan iman bagi kaum Muslimin. Sunnah pada era para Sahabat merupakan suatu yang jelas dan terbukti, meskipun rekod tertulis pada waktu itu adalah sangat sedikit, dan kodifikasi bagi tujuan pemeliharaan Deen ini bermula pada akhir kurun pertama atas arahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Khalifah seterusnya menjadi pemelihara kepada akidah dan Deen, serta pelindung dan penjaga kepada negara, sehinggalah ia dihancurkan pada hari ini seabad yang lalu.

Dalam dua abad sebelum ini, misi kaum misionaris yang didorong oleh kuasa kolonial telah mengeksploitasi kelemahan Khilafah, dan dengan dukungan kuasa-kuasa zalim yang berusaha untuk menghancurkan akidah Islam, mereka berjaya menyuntik racun kekeliruan ke dalam minda anak-anak kaum Muslimin, dengan tujuan untuk menghancurkan Islam di dalam jiwa kaum Muslimin.

Para misionaris ini bekerja keras untuk meyakinkan kaum Muslimin agar menjadikan Islam sebagai Deen ‘keagamaan’ semata-mata, yang tidak memberi kesan dalam kehidupan, agama yang diperintah oleh situasi yang buruk bagi memudahkan mereka untuk menghancurkannya, dan memudahkan mereka untuk memupuk semua bentuk kesalahfahaman dalam akidah agar dapat mendorong umat ini untuk terpisah daripada akidah mereka.

Kuasa penjajah di negeri kaum Muslimin mula menyemarakkan semua pemikiran sesat dan setiap perkara yang menyimpang daripada akidah Islam, agar pemahaman kaum Muslimin terhadap Islam dan penerapannya mula merudum.

Bahkan mereka turut menggalakkan kaum Muslimin agar menyesatkan (kafir-mengkafir) sesama sendiri. Golongan Asha’ariyyah mengatakan bahawa merekalah jamaah kaum Muslimin yang sebenar. Golongan Salafiyyah juga mengatakan bahawa merekalah jamaah kaum Muslimin yang sebenar. Semua ini adalah kerana wujudnya perbezaan dalam pandangan dan pemahaman (sedangkan) seseorang Muslim tidak seharusnya mengkafirkan saudaranya atau mengkritik agamanya.

Dalam situasi ini, ramai Muslim sudah merasa selesa dengan sekadar ketaatan secara individu terhadap agamanya, seperti dalam hal berkaitan solat, puasa, zakat dan pakaian. Bagi kebanyakan kaum Muslimin, aspirasi untuk menegakkan kembali Islam dirasakan sebagai sebuah mimpi yang tidak akan dapat dicapai. Gerakan-gerakan Islam yang muncul hanya memfokuskan isu akhlak dan ibadat khusus, dan menerima begitu sahaja ketidakpenerapan Islam. Malah ada yang berpuas hati dengan penerapan hukum kufur dan demokrasi apabila mereka mendapat kekuasaan. Mereka meninggalkan Islam serta menzahirkan keredhaan mereka dengan sekularisme. Ada antara mereka yang tidak berjaya ke kekuasaan, tetapi perancangan mereka tidak pula melibatkan penegakan Islam atau seumpamanya.

Kemudian muncul Hizbut Tahrir, yang berusaha untuk memimpin umat dalam menegakkan Deen Allah di muka bumi ini “supaya Deen itu semata-mata untuk Allah” (Al-Anfal: 39), dan menolak secara total pemikiran-pemikiran rosak yang wujud dalam pelbagai aspek kehidupan umat seperti demokrasi, sosialisme, nasionalisme, patriotisme dan semangat kebangsaan yang sempit.

Hizbut Tahrir mula mendakwahkan kaum Muslimin untuk memahami Islam secara murni dan bersih seperti mana yang diturunkan oleh Allah (swt) ke atas Nabi Muhammad (saw). Rasulullah (saw) kemudian menegakkan sebuah negara yang kuat, yang mengembangkan risalah dakwah ke seluruh alam.

Hizbut Tahrir bergerak berpandukan sabda Rasulullah (saw) seperti yang diriwayatkan oleh Aishah (ra), “Barang siapa yang melakukan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) ini, yang tiada dalam agama ini, maka ia adalah tertolak”.

Hizbut Tahrir meletakkan visi yang mendalam mengenai perancangannya untuk perubahan, perancangan yang meliputi seluruh aspek kehidupan – sosial, politik, ekonomi dan lain-lain.

Hizbut Tahrir mengikuti thariqah (metode) yang telah ditetapkan oleh Rasulullah (saw) dalam menegakkan sebuah Daulah Islam, yang telah terbukti dalam sirah dan Sunnah baginda (saw).

Hizbut Tahrir menentang segala bentuk pemikiran yang rosak, serta kepercayaan dan konsep yang menyimpang, dan memastikan agar akidah ini bebas dari konsep yang salah yang telah lama menempel padanya sejak zaman berzaman.

Hizbut Tahrir juga menyerang metodologi para Mutakallimin dalam persoalan akidah, yang terjadi akibat kecelaruan dalam pendekatan mereka dan berlakunya pemesongan akibat dari pengaruh ilmu kalam dalam pemahaman mereka.

Hizbut Tahrir menolak pembinaan akidah atas asas khayalan atau dzan (dugaan), tetapi menetapkan bahawa pembinaan akidah hendaklah atas asas qathie dan al-yakin, dengan dalil yang kuat dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Hizbut Tahrir menjelaskan atas dasar akal mengenai akidah Islam seperti iman kepada Allah, Rasul-Nya dan Kitab-Nya, dan memerangi ateis yang mengingkarinya dan mendidik jutaan anak umat ini dengan tsaqafahnya, dan membina para pemuda yang mampu untuk membawa dakwah ini ke seluruh negeri kaum Muslimin, malah ke seluruh dunia, dan mentabanni pemikiran Islam yang bersih lagi murni, tanpa sedikit pun keraguan atas akidah yang dibawa oleh Rasulullah (saw), dan Hizbut Tahrir menyampaikannya ke seluruh alam.

Jika dahulu orang-orang Yahudi telah menuduh bahawa agama yang dibawa oleh Rasulullah (saw) tidak lebih baik berbanding agama kafir Quraisy, kerana sifat dengki di dalam diri mereka…sedangkan mereka tahu bahawa mereka sedang berdusta.

Kini, kami melihat adanya rejim, kerajaan dan agensi perisikan yang cuba memesongkan imej Hizbut Tahrir dan menuduh Hizbut Tahrir dengan tuduhan palsu, supaya orang ramai berpaling daripada Hizbut Tahrir, kerana Hizbut Tahrir mahu menegakkan Khilafah yang memelihara agama dan menyatukan umat Islam serta mengembang dakwah ke seluruh alam.

Ini (dakwah Hizbut Tahrir) adalah perkara yang mengganggu orang-orang kafir, mengganggu tidur mereka dan menimbulkan ketakutan pada mereka.

Andainya Hizbut Tahrir redha dengan pemikiran di luar daripada kerangka Al-Kitab dan As-Sunnah, nescaya kita akan melihat para pengikut kebatilan akan menyokong Hizbut Tahrir, kerana hal ini akan menjadi penyebab kepada kehancuran Islam (sebagaimana mereka ingini).

Keadaan ini (andainya terjadi) persis seperti mana yang difirmankan oleh Allah (swt) kepada RasulNya (saw) – “..dan kalau sudah begitu tentulah mereka mengambil kamu menjadi sahabat yang setia” [TMQ al-Isra’ (17): 73].

Hizbut Tahrir telah berhadapan dengan segala macam ancaman – penolakan, penyeksaan dan halangan daripada rejim-rejim yang zalim di dunia Islam.

Rejim-rejim ini menentang fikrah Hizb sebagai musuh, sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi – “dengan memutar belit lidah mereka dan mencela agama” [TMQ an-Nisa’: 46].

Mereka memutar belit apa yang diperkatakan oleh Hizbut Tahrir, dan menyelewengkan maknanya menurut tafsiran mereka sendiri. Tujuan mereka ialah untuk membuktikan bahawa Hizbut Tahrir telah sesat atau menyimpang dalam hal akidah.

Negara-negara, agensi perisikan dan mereka yang hasad (terhadap Hizbut Tahrir) telah menyibukkan diri mereka dalam perkara keji ini. Apa yang menggalakkan mereka melakukan hal ini adalah kerana penerapan hukum kufur, yang meraikan setiap orang dan setiap pemikiran yang boleh menjauhkan masyarakat daripada Islam dan daripada Hizbut Tahrir.

Hal ini berlaku di banyak negeri, dan berlaku juga di negeri ini, Malaysia. Kita sentiasa menjumpai mereka yang tidak habis-habis mengganggu (dakwah) dan menggugat akidah Hizbut Tahrir, dalam rangka untuk mengelirukan masyarakat (terhadap Hizbut Tahrir) sekali gus menghalang tegaknya Khilafah (yang diusahakan oleh Hizbut Tahrir).

Ketua pihak berkuasa agama di Johor dan ketua polis Johor mendakwa Hizbut Tahrir mengancam keselamatan dan menghalalkan beberapa perkara haram, tidak perlu mendirikan solat dan membayar zakat dan tidak beriman kepada qada’ dan qadar serta banyak lagi perkara dusta dan kebatilan lainnya, meskipun hakikatnya Hizbut Tahrir tidak mempunyai akidah yang khusus (tersendiri), dan hanya berpegang kepada akidah (sebagaimana) Rasulullah dan para Sahabatnya.

Hizbut Tahrir beriman dengan apa yang diimani oleh kaum Muslimin seperti mana yang terdapat di  dalam Kitabullah dan dibuktikan dalam As-Sunnah yang sahih. Sesiapa sahaja yang memfitnah Hizbut Tahrir, hakikatnya mereka sebenarnya takut akan kembalinya Islam, atau atas dasar hasad dengki terhadap Hizbut Tahrir bahawa Allah telah memuliakan Hizbut Tahrir dengan komitmennya dalam menegakkan Khilafah, dan keengganannya menerima tempelan-tempelan (kekufuran) yang memperpanjangkan kefasadan.

Wahai peserta Muktamar yang dimuliakan!

Satu seruan yang tidak seharusnya terlepas daripada pandangan mata, dan wajah tidak seharusnya berpaling daripadanya, dan hati tidak seharusnya disibukkan dengan perkara selainnya – adalah seruan untuk menegakkan Khilafah yang akan menjaga Deen ini, dan akan mempersatukan negeri kaum Muslimin di seluruh dunia, serta mengembangkan agama terakhir ini ke seluruh alam.

Inilah seruan yang akan membebaskan manusia dari neraka kebebasan yang bersifat kebinatangan yang telah merosakkan masyarakat, dan telah memicu kezaliman yang menyebabkan manusia kelaparan, berkumpulnya kekayaan dunia pada tangan golongan elit kapitalis, dan menyemarakkan zina, riba, liwat dan semua sifat kerendahan lainnya yang tidak layak disebutkan oleh lisan.

Justeru, untuk kemuliaan di dunia ini dan di akhirat, kami menyeru kalian agar berganding bahu bersama Hizbut Tahrir untuk menegakkan Khilafah agar Deen Allah (swt) dapat diterapkan.

Apakah kalian akan menyahutnya?