Derita Muslim Di Myanmar: Siapakah Yang Akan Bangkit Membela?
Dalam kita menyambut Ramadhan, umat Islam di Myanmar pula kini sedang berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan penindasan oleh rejim Myanmar serta kelompok-kelompok nasionalis ekstremis Buddha di negara tersebut.
Dalam perkembangan terkini, media melaporkan kira-kira 45,000 Muslim Rohingya yang terkandas di tanah tidak bertuan di sempadan Bangladesh telah diarahkan oleh Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) agar meninggalkan kawasan tersebut. Mereka merupakan sebahagian daripada 800,000 Muslim Rohingya yang terpaksa melarikan diri dari kampung halaman kerana kekejaman yang berlaku ekoran konflik yang memuncak semenjak September tahun lalu.
Manakala di Yangon pula, tujuh orang Muslim Myanmar telah dihukum penjara selama tiga bulan gara-gara menganjurkan solat tarawih di ruang jalanan terbuka, berikutan madrasah mereka diarahkan tutup oleh golongan nasionalis Buddha. Dua buah madrasah di Yangon telah dipaksa tutup oleh pihak berkuasa tempatan sejak Mei tahun lalu. Hukuman penjara tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Islam di negara majoriti Buddha itu, serta jelas menggambarkan bentuk diskriminasi dan penindasan yang diperlakukan terhadap umat Islam di sana.
Demikianlah sebahagian derita yang dihadapi oleh umat Islam di Myanmar. Mereka bukan sahaja berhadapan dengan diskriminasi, bahkan diusir dan dinafikan hak sepertimana yang dihadapi oleh Muslim Rohingya pada waktu ini. Dalam pada itu, kita juga dapat menyaksikan betapa kerajaan yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi turut bertanggungjawab atas penindasan ini kerana gagal membela nasib minoriti di negara majoriti Buddha itu. Suu Kyi yang sebelum ini diangkat sebagai ikon demokrasi dan hak asasi manusia enggan mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan kezaliman ini, sebaliknya lebih mengutamakan desakan daripada ekstremis Buddha kerana bimbang kehilangan sokongan majoriti terhadap partinya.
Dalam masa yang sama, kita juga dapat melihat bagaimana para penguasa Muslimin di negara-negara berjiran dengan Myanmar gagal mengambil sebarang tindakan yang tuntas bagi membela nasib yang menimpa umat Islam di Myanmar, termasuklah Muslim Rohingya yang telah sekian lama ditindas. Bahkan ada yang melihat bahawa isu yang terjadi ini merupakan isu domestik Myanmar dan enggan campur tangan bagi menanganinya.
Sedangkan umat Islam ialah umat yang satu, tubuh yang satu, dan menjadi satu kewajipan bagi kita untuk membela di saat saudara seakidah kita ditindas. Malangnya, umat ini dipisahkan oleh batas sempadan negara bangsa yang mencorak geopolitik dunia pada hari ini. Inilah malapetaka yang menimpa umat ini sejak keruntuhan Khilafah Islam terakhir pada 3 Mac 1924, kira-kira 98 tahun lalu. Tanpa sebuah kepimpinan yang menyatukan umat ini, selagi itulah kita akan terus ditindas dan berada dalam lembah kehinaan.
Tergamakkah kita membiarkan mereka berterusan ditekan dan dizalimi hanya kerana wujudnya sempadan nasionalisme palsu yang memisahkan antara kita? Apakah kerajaan baru Pakatan Harapan yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir akan mengambil tindakan tuntas bagi menamatkan derita umat Islam di Myanmar? Atau kerajaan ini tiada bezanya seperti kerajaan Barisan Nasional dahulu, yang hanya beretorika “enough is enough”, lalu hanya menghantar misi bantuan kemanusiaan semata-mata tanpa mengenakan tekanan ke atas rejim Myanmar?
Ke mana menghilangnya semangat persaudaraan sepertimana yang digambarkan dalam sabda Rasulullah SAW,
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam” [HR Muslim].
Muhammad Fauzi
Aktivis HTM
Sumber berita: