Keadaan Kembali Meruncing, Minoriti Muslim di Myanmar Diancam Bunuh

MANDALAY, Myanmar – Kumpulan minoriti Muslim di Myanmar kini berdepan dengan ancaman bunuh oleh ratusan penganut Buddha rentetan daripada ketegangan antara agama yang kembali tercetus pada minggu lepas di Mandalay, bandar kedua terbesar di negara tersebut. Ketegangan tersebut tercetus  setelah seorang lelaki Muslim diserbu oleh 300 orang penganut Buddha kerana dituduh telah merogol seorang wanita Buddha.

Dilaporkan bahawa ratusan perusuh bersenjata telah mengepung kejiranan Muslim sehingga menyebabkan sebilangan penduduk Muslim terpaksa melarikan diri bagi mendapatkan perlindungan. Pihak polis telah mengadakan sekatan bagi mengawal keadaan, namun mereka tidak bertindak untuk melucutkan senjata perusuh. Bahkan para perusuh bebas berkeliaran di bandar tersebut dengan membawa senjata tajam dan kayu sambil mengeluarkan kata-kata berbentuk ancaman terhadap penduduk Muslim. “Kami akan membunuh kesemua orang Islam (Muslim)!”, itu antara ancaman yang dilaungkan oleh perusuh bermotosikal di tengah-tengah bandar tersebut.

Ketegangan antara agama dan penindasan terhadap penduduk minoriti Muslim di Myanmar bukanlah suatu perkara yang baru. Ia telah berlarutan sejak sekian lama lagi. Sentimen kebencian terhadap minoriti Muslim yang membentuk lima peratus daripada populasi keseluruhan Myanmar kini semakin menjadi-jadi setelah wujudnya sekelompok pelampau dan pengganas Buddha yang melancarkan kempen anti-Islam dan umat Islam. Umat Islam di sana telah menjadi sasaran secara kolektif dan menjadi mangsa perusuh apabila tercetus sebarang insiden yang melibatkan mana-mana individu Muslim walaupun ia masih belum terbukti atau disabitkan kesalahan.

Di samping itu, polisi warisan daripada kerajaan junta Myanmar yang pernah memerintah selama 49 tahun turut memburukkan lagi keadaan. Selain daripada mensasarkan penduduk Muslim di Mandalay, penduduk Muslim bangsa Rohingya yang kebanyakannya menetap di Rakhine turut menjadi mangsa keganasan tajaan kerajaan (state sponsored terrorism). Dalam konflik mutakhir, dilaporkan bahawa sekurang-kurangnya 240 orang telah terkorban (kebanyakannya Muslim),  manakala lebih 140 ribu orang menjadi pelarian semenjak bulan Jun 2012.

Sesungguhnya kezaliman dan penindasan terhadap umat Islam di negara tersebut pasti akan terus berlarutan meskipun ia mendapat liputan luas di peringkat antarabangsa. Hal ini adalah kerana umat Islam pada hari ini berada dalam keadaan yang sangat hina dan berpecah belah lantaran ketiadaan sebuah institusi politik yang menyatukan mereka serta melindungi mereka. Natijah daripada sentimen nasionalisme ciptaan penjajah yang menebal, para penguasa kaum Muslimin di negara-negara lain gagal untuk mengambil sebarang tindakan yang tuntas bagi menangani kemelut yang melanda walaupun mereka  berada bersempadanan dengan negara tersebut.

Sudah tiba masanya untuk umat Islam bangun berjuang bersama-sama dengan Hizbut Tahrir bagi mendukung aspirasi mengembalikan semula Khilafah atas manhaj kenabian. Ia adalah satu-satunya institusi yang akan kembali mempersatukan ummah dan melakukan pembelaan terhadap umat Islam di seluruh dunia.

“Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai, di mana di belakangnya umat berperang dan dengannya umat berlindung” [HR Muslim, daripada Al-A’raj daripada Abi Hurairah ra]


Sumber: “Myanmar Buddhists threaten death to Muslims in Mandalay unrest”, Reuters, 4 Julai 2014
(http://uk.mobile.reuters.com/article/idUKKBN0F90WT20140704?irpc=932)