Krisis di Republik Afrika Tengah Semakin Meruncing – Umat Islam Bangui Memerlukan Pembelaan

Krisis di Bangui, Republik Afrika Tengah yang tercetus semenjak beberapa bulan yang lalu antara penganut ajaran Kristian dan Muslim telah menjadi semakin meruncing. Saban hari, umat Islam di republik tersebut diancam dengan pembunuhan oleh kumpulan militia Kristian yang bersenjatakan parang dan senjata api.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terkini, dilaporkan sebanyak 1.3 juta orang penduduk republik tersebut berdepan dengan krisis bekalan makanan. Sumber yang sama turut menyatakan bahawa nisbah 9 daripada 10 orang penduduk di sana hanya makan sekali sehari sahaja. Hal ini menjadi semakin buruk kerana sebilangan besar peniaga-peniaga Muslim yang memainkan peranan penting dalam urusniaga makanan dan pertanian telah melarikan diri akibat ancaman puak militia Kristian.

Negara republik tersebut mempunyai sejarah hitam yang mencatatkan beberapa siri rampasan kuasa dan perbalahan yang berlaku semenjak mencapai kemerdekaan daripada Perancis pada tahun 1960.

Krisis terkini tercetus mulai bulan November 2012 apabila pakatan pemberontak Seleka mula mengangkat senjata menentang kerajaan pimpinan Presiden Francoise Bozize yang dikatakan telah melanggar perjanjian damai dan enggan membebaskan tahanan politik sebagaimana yang telah dijanjikan. Pemberontak Seleka telah berjaya menggulingkan Bozize pada bulan Mac tahun lepas.

Namun keadaan menjadi semakin huru-hara apabila sekumpulan militia Kristian telah bertindak balas terhadap pemberontak Seleka yang majoritinya menganut agama Islam. Kelompok militia Kristian yang digelar ‘anti-balaka’ bukan sahaja menentang pemberontak Seleka, bahkan mensasarkan kekejaman terhadap penduduk Muslim yang terdiri daripada kaum Fula.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Medecins Sans Frontier (MSF), dalam tempoh minggu lepas sahaja, sebanyak 100 orang pesakit telah menerima rawatan di lapangan terbang Bangui yang menempatkan hampir 100 ribu orang pelarian. PBB melaporkan sehingga ke hari ini, sebanyak 2000 orang telah terkorban dan sebanyak 800 ribu orang menjadi pelarian.

Terlalu banyak laporan kekejaman militia Kristian terhadap kaum Muslim telah dilaporkan. Malangnya, para penguasa kaum Muslimin tidak mengambil sebarang tindakan bagi melakukan pembelaan. Sebaliknya, mereka terus bergantung harap kepada PBB dan Kesatuan Afrika, sedangkan ternyata organisasi-organisasi kufur tersebut telah gagal melakukan sebarang pembelaan. Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama mengembalikan semula Khilafah yang akan bingkas menghantar ketumbukan ketenteraan bagi menyelamatkan kaum Muslimin yang terancam di seluruh dunia. Wallahua’lam.

Sumber: arabnews.com