Di bawah Modi, umat Islam India terus menjadi mangsa di tangan pelampau Hindu
Tidak cukup dengan undang-undang diskriminasi terhadap umat Islam di India yang berisiko kehilangan status kewarganegaraan dan diusir daripada tanah mereka sendiri, kini nyawa mereka pula terancam dengan rusuhan yang dicetuskan oleh penganut Hindu di ibu negara India, New Delhi.
Setakat ini media melaporkan seramai 32 orang telah menjadi korban rusuhan di India yang menyaksikan ramai penduduk Muslim menjadi sasaran. Masjid turut menjadi sasaran, selain daripada rumah, kedai, sekolah dan stesen minyak yang telah dibakar perusuh.
Rusuhan tersebut tercetus apabila sebilangan penganut Hindu mulai bertindak ganas menyerang kaum Muslimin yang membantah pelaksanaan undang-undang kewarganegaraan yang bersifat diskriminatif ke atas Muslim, sebelum merebak lebih luas di beberapa kawasan di New Delhi.
Penindasan sebegini bukanlah suatu yang bersifat spontan atau terpencil, bahkan semakin teruk akibat sentimen Islamofobia dan dasar-dasar anti-Islam oleh parti Bharatiya Janata (BJP) yang membentuk kerajaan di negara tersebut. BJP merupakan sayap politik pertubuhan Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) yang mempunyai aspirasi untuk menjadikan India sebagai sebuah kerajaan Hindu (Hindu Rashtra) dan menjadikan umat Islam yang berada di negara tersebut sebagai warganegara kelas kedua.
Kejayaan BJP dalam pilihanraya parlimen pada 2019 mendorong Perdana Menteri India, Modi untuk menggalakkan lagi agenda Hindu Rashtra dalam penggal kedua pemerintahannya. Bahkan Modi sendiri mempunyai rekod hitam mengeluarkan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan sentimen kebencian terhadap umat Islam sehingga tercetusnya tragedi pembunuhan umat Islam secara beramai-ramai di Gujarat pada 2002 sewaktu ia menjadi Ketua Menterinya.
Inilah realiti umat Islam yang ditindas hampir di seluruh dunia, tanpa pembelaan daripada mana-mana pemimpin yang ada. Pemerintah sekular di negeri kaum Muslimin bukan sahaja tidak pernah membantu untuk menyelamatkan saudara seakidah mereka ini, malah dalam banyak kes, mereka turut bersubahat dan bersetuju dengan tindakan jahat pemimpin kuffar ke atas kaum Muslimin.
Pemerintah negeri kaum Muslimin yang jumlahnya lebih daripada 50 orang dan mempunyai kekuatan, ternyata hanya sibuk untuk mengekalkan kekuasaan masing-masing tanpa mempedulikan saudara seakidah mereka, walaupun penindasan dan pembunuhan ke atas saudara seakidah mereka itu berlaku di depan mata. Modi boleh bertindak semahunya ke atas umat Islam tidak lain adalah kerana pengkhianatan para penguasa ini.
Apa yang berlaku di India sekarang menjadi tambahan kepada episod duka umat Islam yang tidak terbela nasib mereka sebagaimana umat Islam di belahan dunia yang lain, akibat pengkhianatan para pemimpin yang ada! Nasib malang menimpa umat Islam secara berterusan sejak jatuhnya negara Khilafah di Turki yang selama lebih 13 abad menjadi perisai kepada keselamatan dan kesejahteraan umat Islam.
Apa yang menimpa umat Islam di India sekarang menjadi bukti, sebagaimana apa yang berlaku di Palestin, Myanmar, Afrika Tengah, Syria, Yemen dan lain-lain, bahawa umat Islam benar-benar memerlukan negara Khilafah yang akan menjaga maruah, harta dan darah mereka daripada musuh-musuh Islam. Sesungguhnya sudah tidak ada cara lain untuk menyelamatkan umat Muhammad ini kecuali dengan kembalinya Khilafah, yang wajib diusahakan pengembaliannya oleh seluruh kaum Muslimin.