Di Mana Akhlak Askar Kaum Muslimin?

Empat tentera didakwa rogol gadis bawah umur

SEREMBAN 28 Dis. — Empat anggota tentera hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun pada 14 Dis. lepas. Nor Effendi Mohd. Yusof, 22; Muhammad Khairi Mohd. Rashid, juga 22; Ismail Darus, 20 dan Mohammad Shahrul Md. Noor, 27, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Amran Jantan.  Kejadian didakwa berlaku dalam sebuah kereta di kawasan kebun pisang dekat Masjid Kampung Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson, antara 2.10 pagi dan 2.40 pagi.  Nor Effendi menghadapi dua pertuduhan iaitu rogol dan samun, Ismail dan Muhammad Khairi pula dikenakan satu pertuduhan rogol, dan Mohamad Shahrul dikenakan dua pertuduhan rogol.  Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, ASP So Phon dan mereka kesemua tidak diwakili peguam.  Keempat-empat tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin. Kes akan disebut semula pada 29 Jan. tahun depan. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 29/12/09

Apa Dah Jadi…  Apa Dah Jadi …Dengan Para Tentera Umat Islam Hari Ini?

Di manakah letaknya syakhsiah tentera-tentera umat Islam hari ini? Jika sebelum dari ini tersiar berita bahawa ada anggota tentera yang tertangkap kerana menghisap dadah di Sungai Buluh dan berita yang mengemparkan seluruh Malaysia mengenai kehilangan enjin pesawat tempur F-5E milik TUDM, kali ini pula empat orang anggota tentera didakwa kerana merogol gadis bawah umur. Keadaan ini memaparkan bahawa  ada perkara yang tidak kena dalam kehidupan sebahagian anggota tentera umat Islam hari ini. Sebagai anggota tentera beragama Islam,  mereka wajib menyedari bahawa mereka memikul tugas yang mulia kerana mempertahankan Islam dan umat Islam. Namun begitu, kejadian di atas menyebabkan umat Islam hari ini hilang kepercayaan kepada para tentera yang ada hari ini untuk melindungi nyawa, kehormatan, harta dan sebagainya yang menjadi milik umat Islam ketika ini. Realiti dan kes-kes di atas telah mencoretkan 1001 macam potret suram bagi pasukan tentera itu sendiri. Ini tidak sebagaimana dulu semasa kegemilangan Islam di bawah naugan Daulah Khilafah. Sebagai contoh, Khalifah Mu’tasim pernah menggerakkan para tentera umat Islam untuk berjihad bagi membela seorang Muslimah yang telah tercalar kehormatannya gara-gara kebiadaban para tentera Rom.

Wahai tentera umat Islam! Di hadapan kamu telah terbentang syurga Allah SWT tetapi kenapakah  kamu masih memilih untuk mengundang azab Allah SWT? Wahai para anggota tentera! Jadilah kamu seperti Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad yang membuka Andalusia. Jadilah kamu seperti tentera Salahuddin Al-Ayubi yang telah berjaya membebaskan Al-Quds. Jadilah kamu seperti tentera yang pernah dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang telah berjaya membuka Kota Konstantinopel!

Contohilah syahksiah Islam yang dimiliki oleh para tentera umat Islam yang terdahulu daripada kamu kerana sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang telah berjaya.

Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki yang perlu kamu rebutkan bukannya kemaksiatan. Wahai Panglima Angkatan Tentera! Wahai Ketua KAGAT! Kamulah yang berkewajiban untuk berusaha membentuk dan mencetak keperibadian Islam dalam diri setiap dari anggota tentera yang berada di bawah kekuasaan kamu. Kamulah yang berkewajiban untuk menyuburkan ruh jihad kepada tentera umat Islam yang ada pada hari ini. Rebutlah peluang ini wahai Panglima Angkatan Tentera. Kamu dan tentera yang berada di bawah kekuasaan kamu akan meraih kemuliaan sebagaimana kemuliaan yang pernah diraih oleh tentera umat Islam yang terdahulu jika kamu berpihak kepada Islam. Wahai para tentera umat Islam! Jadilah penolong dalam menegakkan agama Allah SWT kerana kemuliaan itu hanyalah milik Allah SWT semata-mata.

Lihat SN 178: WAHAI TENTERA KAUM MUSLIMN, GAZA MEMERLUKANMU!