Di Sebalik Krisis Di Yaman
Peperangan memerangi terorisme (War On Terrorism) yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) memasuki fasa baru pada bulan Disember 2009 apabila peperangan di Afghanistan beralih ke Yaman. Tentera kufar AS melancarkan peluru berpandu yang dibantu oleh pasukan pemerintah Yaman, dengan menggunakan kereta kebal, helikopter dan meriam telah menyerang perkampungan di pergunungan yang dipercayai tempat persembunyian rangkaian al-Qaeda Osama bin Laden. Yaman nampaknya akan menghadapi pelbagai masalah dalam pelbagai perkara, di mana kerajaan pusat Yaman yang lemah telah gagal untuk menyelesaikan masalah secara diplomatik lalu terus menggunakan cara ketenteraan untuk menyelesaikannya. Yaman telah berhadapan dengan perang saudara dengan dengan sebahagian besar penduduk Syi’ah di bahagian utara. Ia juga berhadapan dengan puak pemisah di selatan yang menuntut rundingan semula kesepakatan penyatuan wilayah utara dan selatan yang termeterai pada tahun 1990. Selain itu, Yaman juga menghadapi serangan daripada al-Qaeda di seluruh wilayahnya. Yaman hari ini merupakan negara yang sebahagian besarnya masih mundur dan dipimpin oleh pelbagai suku (kabilah), manakala kerajaan pusat pula masih gagal mengubah kenyataan ini.
Mengapa berlakunya perang saudara di utara?
Pada tahun 1962, suatu rampasan kuasa secara ketenteraan telah menamatkan tampuk pemerintahan Imam-Imam Syi’ah (aliran Zaydi) yang telah berkuasa berabad-abad lamanya, lalu ditubuhkan Republik Arab Yaman (YAR) di utara. YAR berminat untuk bersekutu dengan wilayah selatan kerana kepentingan kekayaan minyaknya. Dua pemimpin iaitu Ali Salim Al-Baidh dari wilayah selatan dan Ali Abdullah Saleh dari utara telah mengisytiharkan penyatuan kedua-dua wilayah tersebut pada bulan Mei tahun 1990. Parti Islam, Islah dan parti pimpinan Ali Abdullah Saleh, Kongres Rakyat Umum (GPC) memenangi pilihanraya di wilayah utara manakala di selatan Parti Sosialis Yaman (YSP) menguasai kerusi pilihanraya. Akibatnya perselisihan politik ini, muncul perang saudara antara kedua-dua wilayah tersebut pada tahun 1994 yang berakhir dengan kekalahan pada pihak selatan. Selepas tamat peperangan, pihak berkuasa di Sana’a memaksa pegawai tentera dan pegawai kerajaan di selatan untuk meletak jawatan dan digantikan dengan sumber manusia dari wilayah utara.
Pada bulan Ogos 2009, tentera Yaman telah melancarkan serangan besar-besaran yang dikenali sebagai Operasi Bumi Hangus dalam menghadapi Sa’dah iaitu kaum Syi’ah di utara yang melancarkan pemberontakan menentang pemerintah Yaman. Sebahagian besar pertempuran berlaku di bahagian barat laut Yaman di kawasan pentadbiran Sa’ada. Kerajaan Yaman mengatakan bahawa serangan dilancarkan oleh pasukan yang diketuai oleh Abdul Malik al-Houthi sebagai usaha mengembalikan semula kepimpinan Imamah Syi’ah yang telah digulingkan pada tahun 1962. Pengikut Al-Houthi mendakwa diri mereka sebagai pengikut mazhab Zaydi, iaitu salah satu pecahan dari Syi’ah yang asing terhadap Yaman. Kebanyakan penyerang adalah daripada golongan kabilah yang bersedia untuk menyerah diri sekiranya mereka mendapat bantuan ekonomi daripada kerajaan pusat serta beberapa konsesi umum seperti jalan-jalan dan sekolah-sekolah. Beberapa (kegagalan) perjanjian konsesi yang dimeterai di Sana’a yang menjadi krisis di utara sepatutnya diselesaikan melalui meja rundingan. Tetapi pada waktu ini kerajaan pusat Yaman meletakkan strategi untuk menjadikan pemberontak berada dalam keadaan lemah yang akhirnya mereka terpaksa akur dengan keputusan kerajaan. Situasi menjadi semakin rumit melalui campurtangan Arab Saudi yang memihak kerajaan Yaman dengan menuduh Iran sebagai dalang serangan.
Mengapa wujud seruan pemisah di selatan?
Seramai 100 ribu pesara pegawai tentera dan penjawat awam dalam perang saudara 1994 tidak menerima bayaran pencen secara keseluruhan. Bekas penjawat awam yang dipaksa bersara juga menuntut agar pencen mereka dihitung dan dinaikkan jumlahnya. Mereka menubuhkan Persatuan Pesara Tentera (SRMO) serta memulakan siri tekanan terhadap kerajaan serta melakukan perarakan (demostrasi) bantahan. Pihak selatan juga menuntut agar dibuka peluang pekerjaan, menghapuskan rasuah serta perkongsian kekayaan minyak di wilayah terbabit. Pada pertengahan 2009, ‘gerakan selatan’ mula menuntut pemisahan dan menubuhkan semula negeri selatan. Pada bulan Jun 2009, ‘gerakan selatan’ telah menamakan lima orang pemimpin yang menjadi pimpinan revolusi damai di selatan. Berlaku peningkatan situasi tegang antara penduduk selatan dan golongan Syi’ah di sana di mana kehidupan (budaya) mereka terpisah antara sesama mereka. Pemerhati Hak Asasi Manusia telah menyatakan sebab berlakunya situasi ini:
“Terdapat beberapa puak di selatan yang merasa terpinggir, tetapi kumpulan itu (gerakan selatan) merupakan suara rakyat. Rakyat mahukan harga (barang) yang rendah, perkhidmata yang baik dan peluang pekerjaan. Itulah sebabnya mereka bergerak menyuarakan pemisahan” [‘In the name of unity’, Human Rights Watch, Disember 2009]
Ancaman Al-Qaeda?
Yaman adalah ‘kampung’ bagi para mujahidin yang menentang Soviet Union (USSR) ketika mereka menyerang Afghanistan dahulu. Kebanyakkan mujahidin kembali ke Yaman selepas tamatnya konflik terbabit. Di akhir peperangan Afghanistan menentang USSR, kem latihan (mujahidin) tumbuh bagaikan cendawan di Yaman sekitar tahun 1990-an. Salah satunya di Huttat, selatan Yaman merupakan markaz bagi tentera Aden-Abyan. Sebagai ‘mangsa’ buruan Amerika, Aden-Abyan dikatakan menjadi sayap gerakan Al-Qaeda selepas tragedi 11 Sept 2001. Yaman memberikan laluan kepada Amerika malah menyertainya dalam misi menyerang umat Islam. Sepertimana Pervez Musharraf, Presiden Ali Abdullah Saleh akur dengan kehendak Amerika serta mengharapkan balasan berbentuk bantuan (kewangan) dari Amerika melalui perjanjian dengan Bush apabila berjaya menangkap bekas mujahidin tersebut. Kerajaan di Sana’a memerlukan bantuan mujahidin dalam perang saudara pada tahun 1994 menentang selatan yang cuba melarikan diri (kebanyakannya adalah bekas pengikut ideologi Marxis). Semuanya berubah apabila USS Cole di Aden diserang pada Oktober 2000 di mana 17 pelaut Amerika terbunuh. Dan peristiwa 9/11 hanyalah sebagai penguat tuntutan Amerika di Yaman.
Berapa banyak krisis berlaku akibat campurtangan luar?
Kerajaan Arab Saudi dan Yaman cuba mengaitkan hubungan Al-Houthi dengan Iran kerana masing-masing beraliran Syi’ah walaupun berbeza mazhab (Syi’ah di Yaman bermazhab Zaydi manakala Iran bermazhab Imam dua belas). Arab Saudi telah lama berhadapan dengan masalah puak pelampau di sempadan Yaman dan undang-undang persempadanannya. Ketika ini, Arab Saudi terpaksa meletakkan zon bebas sejauh 10 km dalam sempadan Yaman.
Atas arahan Presiden Barack Obama, tentera kuffar Amerika telah melancarkan peluru berpandu pada 20 Disember 2009 ke atas dua kawasan yang disyaki sebagai kem Al-Qaeda di Yaman. Sekarang Amerika benar-benar telah menceroboh Yaman dengan menggunakan pendekatan ‘umpan dan hukum’ terhadap kerajaan Yaman. Pasukan khas dilatih oleh Amerika dalam melakukan serangan melalui maklumat perisikan Amerika sejak Ali Abdullah Saleh menyertai kempen Amerika memerangi keganasan. Serangan-serangan tersebut merupakan peningkatan serangan utama pemerintahan Obama di wilayah tersebut.
Adakah Amerika memiliki kepentingan strategi di wilayah tersebut?
Bagi Amerika dan beberapa kuasa lain memandang bahawa Laut Merah dan Teluk Aden sentiasa mewakili strategi umum perairan di wilayah berkenaan. Lebih 30% daripada minyak mentah dan lebih daripada 10% perdagangan dunia adalah melalui wilayah ini. Amerika menghadapi kegagalan di Somalia dalam usaha menguasai perairan tersebut. Terdapat banyak kapal perang asing di Teluk Aden dan sepanjang pantai Somalia termasuk kapal perang Amerika US Navy Fifth Fleet yang mana sejak kebelakangan ini ia menjadi tumpuan beberapa isu rampasan (lanun) kapal perdagangan antarabangsa. Ironinya, kebanyakan kapal dari Eropah telah menjadi mangsa rompakan, bukan kapal dari Amerika yang paling banyak menggunakan perairan tersebut. Faktanya, Amerikalah yang mengawasi (menjadi polis) kegiatan perlanunan tersebut.
Arahan dari kerajaan Amerika agar menubuhkan pasukan Rondaan Keselamatan Maritim Kawasan (MSPA) adalah bertujuan untuk mengawal zon khas di Teluk Aden pada Ogos 2008. Biarpun sempadan zon tersebut tidak ditanda, namun ia menjurus kepada kawasan segiempat koridor antara Somalia dan Yaman, dan antara sektor utara teluk tersebut. Dari sini dapat dilihat Amerika sedang membina tapak tetapnya di Teluk Aden bagi memelihara kepentingannya di Afrika dan digunakan sebagai laluan airnya di perairan yang sangat penting itu. Pegawai kanan tentera Perancis mengeluarkan kenyataan di Ashraq Alawsat pada 28 Oktober 2008 dengan berkata, “Dengan meletakkan ketenteraannya di Djibouti, Amerika mensasarkan suatu ketetapan yang pasti, yakni untuk memastikan keberadaannya di sekitar Afrika di sebalik kehangatan konflik di Yaman, Somalia dan bahkan di Sudan”
Kesimpulannya, kemunculan serangan AS di Yaman adalah dalam rangka bertujuan untuk mengawal Teluk Aden selepas ia gagal mengalahkan regim Somalia serta kepentingan strategik umum Amerika di Afrika. Sepertimana kelemahan kerajaan Sudan, Amerika menerjah masuk campur tangan dalam isu perebutan tanah antara suku-suku sekaligus menggunakan konflik tersebut untuk mencapai matlamat pengendalian kekayaan minyak negara itu. Nampaknya Amerika sekali lagi menggunakan taktik yang sama, ketidakmampuan rejim Yaman dalam menangani masalah-masalah dalaman turut membuka peluang yang luas kepada rejim kufur Amerika untuk campur tangan sambil meraih penguasaan tetap di laluan perairan terpenting di Teluk Aden.
Sumber: www.khilafah.com