Dialog Negara Islam jelajah Malaysia 2012 menutup tirai dengan jayanya
Sebaik sahaja sesi dibuka kepada soalan, kedua-dua ahli panel terus dihujani dengan pelbagai soalan yang dilontarkan secara lisan, bertulis dan juga SMS. Antara soalan-soalan yang diajukan adalah tentang demokrasi, pilihanraya, bagaimanakah cara Hizbut Tahrir menegakkan Khilafah dan beberapa soalan berkaitan bagaimana Khilafah dapat memimpin dunia dengan pelbagai tentangan yang ada sekarang. Ahli panel juga turut ditanya tentang pilihan raya umum (PRU) ke-13 serta hukum mengambil bahagian di dalamnya. Menariknya, terdapat juga soalan yang ditanyakan di dalam bahasa Inggeris oleh pelajar Afghanistan yang sedang belajar di Malaysia yang turut hadir menyatakan sokongan kepada usaha penegakan Khilafah. Muslimah yang hadir juga turut tidak ketinggalan melontarkan persoalan dan ada yang memberi komen menyatakan sokongan padu kepada usaha HT di dalam menyedarkan umat Islam tentang kepentingan dan kewajipan menegakkan Daulah Islam.
Memandangkan dialog disiarkan secara langsung melalui laman web HTM, ada beberapa soalan SMS yang dihantar dari beberapa negeri di Malaysia dan juga dari pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Amerika Syarikat.
Abdul Hakim di dalam jawapan terakhirnya menjelaskan thariqah (jalan) yang diambil oleh Hizbut Tahrir di dalam menegakkan Khilafah di mana beliau menjelaskan bahawa Hizbut Tahrir mengambil jalan yang telah dilalui oleh Rasulullah SAW di Mekah sehingga tertegaknya Daulah Islam di Madinah. Presiden HTM itu seterusnya menjelaskan bahawa umat Islam, khususnya gerakan Islam, wajib mengambil jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ini dan haram bagi umat Islam mengambil jalan selain daripada itu seperti jalan demokrasi, pilihan raya, jihad, kekerasan, rampasan kuasa dan sebagainya di dalam menegakkan Negara Islam.
Di dalam kesimpulannya, Abdul Hakim menyeru dan mengajak para hadhirin agar bergabung dengan Hizbut Tahrir dalam usaha mulia mendirikan semula Daulah Khilafah ini kerana tidak ada jalan lain untuk mengembalikan semula kemuliaan umat Islam, menyatukan kaum Muslimin, membebaskan negeri-negeri umat Islam yang terjajah serta untuk menerapkan Kitabullah dan Sunnah RasulNya, kecuali dengan tegaknya kembali Negara Khilafah ala minhaj nubuwah.
Sebelum majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Sdr. Budiman, moderator memohon maaf bagi pihak HTM kerana masih terdapat banyak soalan bertulis dan SMS yang tidak sempat dijawab oleh kedua-dua ahli panel. HTM dengan ini mengharapkan agar peserta yang mana persoalannya masih belum terjawab, untuk datang menemui mana-mana wakil HTM bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Akhir kalam, segala puji bagi Allah SWT yang dengan taufik dan rahmatNya, siri jelajah Dialog Negara Islam yang dianjurkan oleh HTM di seluruh Malaysia inidapat berjalan dengan lancar walaupun terdapat banyak halangan dari pihak berkuasa yang berusaha menggagalkannya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa dan janjiNya bahawa Islam akan menang dan menerangi dunia, adalah suatu yang pasti berlaku walau sebesar mana sekalipun halangan dari manusia yang cuba memadamkan cahayaNya.
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredhaiNyaunutuk mereka dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahKu dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun denganKu. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik” [TMQ an-Nur(24):55]