Diskusi Ramadhan Membangkitkan Kerinduan Pada Takbir Kemenangan

13 Julai 2014, Shah Alam, Selangor – Khilafah Centre dengan kerjasama Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah menganjurkan sebuah diskusi bertajuk  “Gema Takbir yang Dirindui”  bersempena dengan keberadaan kita dalam bulan Ramadhan dan juga kedatangan Syawal yang bakal menyusul.  Diskusi kali ini menampilkan dua orang panel iaitu Ustazah Ummu Athiyah dan Ustazah Ummu Maryam selalu Ketua MHTM Selangor serta moderator Cik Raihanah.

Ummu Athiyah memulakan sesi diskusi dengan menjelaskan cara meraih taqwa dengan berpuasa iaitu melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya, bukan semata-mata menambahkan amalan nafilah sepertimana kebiasaan masyarakat kita. Itulah definisi taqwa yang sebenarnya. Contoh terbaik orang yang bertaqwa terdapat pada peribadi sahabat. Mereka adalah orang-orang yang sentiasa bersegera memenuhi panggilan Allah SWT, baik dalam keadaan lapang atau pun sulit, baik dalam hal yang mereka sukai atau pun tidak. Sebagai contoh, ketika ayat tentang khamar (arak) diturunkan, para sahabat segera membuangnya bahkan memecahkan bejana-bejananya. Selain itu, beliau turut mengingatkan peserta bahawa kita berpuasa  juga adalah persiapan untuk kematian kerana orang yang bijak adalah yang mempersiapkan dirinya untuk mati. Manakala, orang yang lemah adalah yang mengikut hawa nafsunya.

Seterusnya, Ustazah Ummu Maryam  merungkai persoalan apakah masyarakat kita sudah benar-benar bertaqwa? Realitinya, masyarakat kita belum benar-benar bertaqwa sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT kerana usaha membina ketaqwaan itu masih berlangsung secara  individual. Padahal membina ketaqwaan itu merupakan kerja kolektif seluruh masyarakat terutamanya negara.  Ini adalah kerana mewujudkan ketaqwaan di tengah-tengah masyarakat tidak mungkin dapat dilakukan tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam secara  menyeluruh oleh negara. Sementara  adanya negara  yang menerapkan syariat Islam merupakan tiang asas pelaksanaan Islam itu sendiri.

Selain itu, beliau menjelaskan peranan seorang Muslimah dalam memperjuangkan Islam. Muslimah wajib mendalami tsaqafah Islam dengan konsisten untuk mengenal halal dan haram serta wajib dan harus. Muslimah juga perlu terus mendakwahkan Islam kerana berdakwah adalah suatu tuntutan wajib baik kepada lelaki mahupun wanita.  Tidak ada keraguan tentang kewajipan berdakwah melalui nash-nash di dalam al-Quran mahupun as-Sunnah. Di antaranya, dari ‘Abdullah bin Umah ra dituturkan, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda “Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat [HR Bukhari]. Sesungguhnya penderitaan umat Islam di belahan dunia lain tidak pernah berhenti dan seluruh umat Islam tidak patut bediam diri. Malah ianya adalah haram bagi kita untuk berdiam diri.
 
Diskusi diakhiri dengan seruan oleh kedua-dua ahli panel kepada para peserta meraih pahala sebanyak-banyaknya dengan melakukan amalan fardhiah dan dakwah serta menjadikan Ramadhan kali ini sebagai momentum untuk membangkitkan umat. Perjuangan menerapkan syariat Islam dalam wadah Daulah Khilafah dengan cara berdawah akan mencipta perubahan secara menyeluruh, bukan hanya secara  individual, yakni terbentuknya masyarakat Islam secara  keseluruhan. Kesibukan di tempat kerja  dan melayan anak-anak bukanlah suatu alasan untuk tidak sama-sama melaksanakan suruhan Allah SWT ini. Semoga Allah SWT mahu memberikan kemenangan melalui tangan-tangan kita dan semoga gema takbir yang bakal kita laungkan dalam masa beberapa minggu lagi adalah gema takbir yang selama ini umat Islam rindui iaitu yang benar-benar melambangkan kemenangan hakiki.

MHTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peserta yang hadir dan memberikan respon yang baik kepada penjelasan dalam diskusi ini.