Ejen musuh vs undang-undang musuh di Malaysia

Ramai Muslim meluahkan rasa terkejut dan marah bila mendengar adanya ejen Mossad (badan perisikan Israel) daripada kalangan orang Melayu yang beragama Islam di Malaysia.

Ini susulan pendedahan yang dibuat oleh wartawan NST terhadap penculikan seorang warga Palestin di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang dikaitkan dengan Mossad.

Ya memang wajar umat Islam meluahkan rasa marah jika hal ini benar, kerana kejahatan Yahudi terhadap umat Islam, khususnya di Palestin adalah melampau batas kemanusiaan. Mereka bukan sahaja merampas tanah suci Palestin, tetapi membunuh dan menghalau penduduknya dengan cara yang sangat kejam.

Bangsa terlaknat itu memang terkenal dengan kejahatan mereka sejak zaman berzaman dengan sikap mereka yang suka membunuh dan mendustakan para Nabi yang diutus kepada mereka.

Permusuhan mereka dengan Islam telah berlaku sejak hari pertama diutusnya Rasulullah (saw), dan berlanjutan hinggalah ke hari ini. Kaum Yahudi tidak mahu menerima hakikat bahawa Nabi terakhir yang diutus oleh Allah adalah daripada kalangan bangsa Arab, bukannya bangsa mereka, lalu mereka menjadikan Rasulullah (saw) dan Islam sebagai musuh.

Atas dasar ini, Allah melaknat mereka, dan menjadilah mereka kaum yang terlaknat hingga Kiamat, kecuali sedikit daripada mereka yang memeluk Islam.

Atas dasar ini juga, maka wajarlah untuk umat Islam membenci mereka, dan wajib menjadikan mereka sebagai musuh, kerana hakikatnya mereka memang merupakan musuh Allah, musuh Rasul-Nya dan musuh kaum Mukminin.

Justeru, jika ada dalam kalangan umat Islam yang menjadi ejen Yahudi, apatah lagi menjadi ejen dalam rangka untuk “menghapuskan” sesama Muslim, maka sudah pasti perbuatan seperti ini bukan sahaja wajar untuk dilaknat, bahkan sangat hina, dan wajib dihukum dengan berat di dunia lagi.

Namun demikian, ada seperkara yang perlu disedari oleh umat Islam, yang mungkin ramai terleka selama ini, bahawa dalam pada kita membenci dan sama sekali tidak mahu menerima “orang” Yahudi atau “ejen” Yahudi di negara kita, kita juga seharusnya membenci dan menolak segala hadharah  yang dibawa oleh Yahudi.

Hadharah Yahudi, sebagaimana hadharah Nasrani atau hadharah Barat lainnya, merupakan hadharah kufur yang bertentangan dengan Islam.

Demikianlah juga kita wajib membenci dan menolak segala sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada Barat, kerana semua itu lahir daripada akidah dan hadharah mereka.

Rasulullah (saw) telah mengingatkan kita akan kedudukan umatnya di akhir zaman yang akan mengikuti Yahudi dan Nasrani dalam segenap aspek. Dari Abu Sa’id al-Khudri (ra), bahawa Rasulullah (saw) bersabda:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ: فَمَنْ؟

“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kalian akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?’ Nabi (saw) menjawab, ‘Siapa lagi kalau bukan mereka?’” [HR Muslim].

Maka, jika kita marah, benci dan menolak ejen musuh di negara kita, kita juga seharusnya marah, benci dan menolak segala hadharah, sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada musuh, yang terdapat dalam negara kita.

Tanah Melayu ini sudah cukup lama berada di bawah penjajahan Barat. Bermula pada tahun 1511 apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis, kemudian disusuli dengan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya negara ini jatuh ke tangan British pada tahun 1824 hinggalah ke tahun 1957, selama 446 tahun negara ini diperintah oleh sistem dan undang-undang yang datangnya daripada musuh.

Walaupun diberi kemerdekaan pada tahun 1957, namun sistem, perlembagaan dan undang-undang musuh masih tetap berkuasa di bumi ini hingga kini

Sesungguhnya hadharah, sistem, perlembagaan dan undang-undang musuh itu jauh lebih berbahaya berbanding beberapa orang ejen musuh yang ada dalam negara, kerana hadharah, sistem, perlembagaan dan undang-undang musuh itu sudah mendarah daging dalam tubuh umat Islam, yang sangat sukar untuk dibuang.

Semoga umat Islam akan segera meninggalkan semua itu dan kembali kepada Islam secara kaffah.

Wallahu a’lam.