Ejen Mossad di Malaysia?

Pendedahan oleh NST mengenai penculikan ke atas seorang warga Palestin di Kuala Lumpur beberapa hari lepas oleh Mossad (badan risikan Israel) telah mengejutkan banyak pihak, apatah lagi ejen Mossad terbabit dikatakan rakyat Malaysia sendiri.

Isu ini bukan sahaja melibatkan keselamatan negara, tetapi kesensitifan umat Islam di Malaysia apabila dikatakan bahawa ejen Mossad tersebut ialah orang Melayu Islam sendiri, yang telah menerima latihan di Perancis.

Walaupun pihak polis meminta rakyat agar tidak melakukan sebarang spekulasi kerana mereka sedang menyiasat kesahihan laporan NST mengenai penglibatan Mossad dalam kes penculikan ini, realitinya seorang warga Israel telah berjaya lolos memasuki Malaysia.

Hal ini disahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bahawa warga Israel terbabit, Nas Daily memasuki Malaysia menggunakan pasport negara Saint Kitts and Nevis pada 15 Okt lepas.

Khairul Dzaimee berkata Nas Daily atau nama sebenarnya Nuseir Yassin mempunyai dua kerakyatan iaitu Israel dan Saint Kitts and Nevis, iaitu sebuah negara dari kepulauan Caribbean.

Rakyat memang mempunyai sebab untuk merasa risau dan mempertanggungjawabkan kerajaan dalam isu ini, apatah lagi jika melihat beberapa insiden sebelum ini seperti pembunuhan ke atas warga Palestin Dr. Fadi Mohammad Al-Batsh pada 21 April 2018, yang ditembak lebih sepuluh das oleh penunggang motosikal yang juga di katakan ejen Mossad .

Sebelumnya, perhatian dunia juga terfokus kepada Malaysia dengan pembunuhan ke atas Kim Jong-nam, abang tiri kepada presiden Korea Utara, Kim Jong-un, di lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA2) pada 13 Februari 2018.

Selain itu, misteri kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 turut menarik perhatian dunia dan isu jenayah tidak terlepas daripada menjadi salah satu teori kehilangan pesawat terbabit.

Dengan insiden penculikan terbaru ini yang dikaitkan dengan kewujudan ejen Mossad di Malaysia, apatah lagi daripada kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam, sudah pasti ini bukanlah isu remeh atau boleh dipandang sebelah mata oleh pihak berkuasa.

Rakyat berhak tahu kebenaran, tanpa cubaan untuk melindungi fakta oleh pihak berkuasa atas tujuan politik atau cubaan menyembunyikan kelalaian.

Dalam Islam, kesalahan dan hukuman menjadi ejen musuh sangatlah berat dan hal ini mesti disiasat sehingga ke akar umbi bagi memastikan negara ini tidak menjadi hub yang selesa untuk musuh atau untuk apa jua kegiatan jenayah di peringkat antarabangsa.

Persoalannya, apakah kita boleh mengharapkan kerajaan yang telah terbukti korup ini untuk memastikan hal ini tidak berulang?

Wallahu a’lam.