Ekspo tatu bogel: kerajaan jangan cuci tangan
Di saat negara sedang menghadapi gelora tengkujuh di belah pantai timur, di tengah-tengah ibu negara yang tak pernah sunyi dengan pesta maksiat ini berlangsung pula satu pesta yang dikenali sebagai “Ekspo Tatu Malaysia 2019” yang mana para peserta memperagakan tatu di badan masing-masing dalam keadaan separuh bogel, persis di Barat.
Walaupun penganjur ekspo telah pun meminta maaf sebagaimana laporan akhbar dan menyatakan bahawa insiden yang memaparkan logo Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu adalah tidak disengajakan, kenyataan ini hakikatnya sangat melucukan! Bolehkah akal yang waras menerima kenyataan bahawa kain rentang dan logo Kementerian terpapar di situ secara tidak sengaja?
Penganjur ekspo mengakui bahawa mereka mendapat sokongan daripada Biro Konvensyen & Pameran (MyCEB) walaupun mereka (penganjur) mengakui bahawa mereka gagal memberikan butiran terperinci mengenai aktiviti semasa pameran tersebut dan tidak mahu Kementerian dipersalahkan. Dalam masa yang sama, apabila berita mengenai aktiviti peragaan tatu separuh bogel itu viral, Kementerian pula menafikan bahawa mereka memberi kelulusan terhadap program tersebut. Mana satu yang betul?
Apa pun alasan Kementerian, mereka tidak boleh berlepas diri daripada apa yang berlaku. Undang-undang Barat telah lama masuk ke negara ini, malah telah lama mendominasi sistem pemerintahan negara sehingga kini. Manakala budaya Barat pula masuk sedikit demi sedikit sehingga telah menjadi ikutan masyarakat Malaysia dan akhirnya menjadi budaya Malaysia. Apa sahaja yang datangnya dari Barat yang pada awalnya dianggap negatif, buruk dan songsang, akhirnya menjadi amalan di negara ini hasil daripada kebebasan yang diberikan di bawah sistem demokrasi.
Bertatu memang menjadi amalan segelintir suku kaum di negara ini sejak sekian lama, tetapi pesta tatu bogel bukanlah budaya masyarakat di negara ini. Ia tidak identik dengan masyarakat mana pun di Malaysia, apatah lagi umat Islam. Pesta tatu, sebagaimana pesta arak, pesta tarian dan nyanyian, pesta mandi bogel dan sebagainya, ini semuanya berasal dari Barat, yang kini semakin membarah di negara ini. Semua keburukan dan kejahatan ini tidak akan masuk ke Malaysia jika tidak diizinkan oleh pemerintah! Tengoklah pesta arak, October fest, yang kini sudah menjadi budaya di Malaysia. Pesta tarian dan nyanyian sudah lama menjadi budaya masyarakat sehingga sudah tidak terkata kewujudan dan kerosakannya!
Justeru, kerajaan tidak boleh cuci tangan dengan mudah, dengan segala pesta haram yang merosakkan akhlak dan mengundang bala ini. Walaupun kemasukan pelancong asing melalui pesta ini boleh mendatangkan keuntungan kepada negara, namun keharaman yang berlaku itu lebih besar mudaratnya. Tiada guna mendapat jutaan ringgit hasil pelancongan dengan mengundang dosa dan bala dari Allah (swt) hasil kemaksiatan yang dibiarkan berlaku. Na’uzubillah min zalik.
Menteri Agama menyatakan kekesalannya dengan ekspo tersebut, namun dalam masa yang sama turut menyatakan kekesalan kepada pihak yang cuba memburukkan kerajaan, khususnya memburukkan dirinya dengan apa yang berlaku. Beliau tidak perlu melenting dan seharusnya mengakui kelemahan kerajaan dalam isu ini, dan dalam banyak lagi isu lain yang kerajaan telah terlepas pandang atau sengaja melepas pandang hingga maksiat terus subur di bumi Malaysia ini. Beliau seharusnya menunjukkan ketegasan untuk menghentikan segala keharaman ini di samping mengambil tindakan sewajarnya ke atas penganjur dan pihak-pihak yang terlibat. Di mana rahmatnya Malaysia jika pesta tatu bogel dan lain-lain kemaksiatan terus merajelala?
Wallahu a’lam
Ridhuan Hakim
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia