Enam Sekeluarga Ditahan Edar Dadah
Oleh : Siti Banun
Berita
Berita pengedaran dadah bukanlah satu berita yang jarang kita dengar. Di Kota Kinabalu, enam sekeluarga ditahan polis selepas didapati mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sembulan. Didapati bahawa, dua daripada suspek tersebut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua orang lagi suspek didapati positif dadah.
[Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/01/774131/enam-sekeluarga-ditahan-edar-dadah]
Komentar
Keadaan yang terdesak kadangkala menyebabkan manusia hilang arah dan pedoman, bertingkahlaku seolah-olah tiada yang akan mempersoalkannya. Walhal hakikatnya, dunia ini hanyalah persinggahan sementara untuk menuju alam akhirat yang kekal abadi. Ideologi kapitalisme yang berasaskan sekularisma iaitu konsep pemisahan agama dari kehidupan menjadikan manusia bebas melakukan semahunya tanpa panduan dan bimbingan agama. Apabila tiadanya panduan agama untuk mengatur urusan harian, manusia pastinya akan menggunakan ukuran atau standard perbuatannya mengikut akal dan hawa nafsu. Asas sekularisme yang telah meresap dalam pemikiran umat Islam ini telah memposisikan agama hanya sekadar anutan dan bukan sebagai pengatur kehidupannya. Agama dianggap bahagian yang terasing dan terpisah, hanya diambil untuk mengatur ibadah dan aspek kerohanian semata-mata.
Jika direnung kembali, adakah mereka memang mahu melakukan jenayah ini yang telah jelas risikonya dan hukuman berat yang bakal menanti? Setiap manusia memiliki perasaan takut akan sesuatu, tetapi dalam keadaan tertentu mereka merasa terpaksa dan nekad melakukan jenayah tanpa mempedulikan risiko yang bakal dihadapi. Alasan terpaksa dan terdesak ini sering ditimbulkan ketika ditangkap atau dihukum. Sedangkan setiap individu perlu mengetahui dan mengkaji status tingkahlaku sebelum melakukannya. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukannya pasti akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Dari sisi yang lain, masalah pengedaran dadah ini sering dilihat sebagai masalah sosial semata-mata tanpa melihat dari aspek ekonomi, pendidikan pemerintahan, hukuman, mahupun politik sedangkan semuanya ini saling berintegrasi dan terkait antara satu sama lain. Jika sistem yang diterapkan tidak diatur dengan panduan dan bimbingan agama, maka terjadilah pelbagai kerosakan dan jenayah yang semakin berleluasa.
Sistem kapitalisme mengakibatkan kerosakan sistem kehidupan dalam masyarakat kerana menerapkan peraturan hidup tanpa panduan agama. Sistem ini telah terbukti tidak pernah mensejahterakan hidup manusia. Yang ‘sejahtera’ adalah mereka-mereka yang berterusan mengeksploitasi pihak lain demi kepentingan hawa nafsu mereka..
Wahai muslimin dan muslimat sekalian! Fahamilah kalamullah dalam firmanNya yang berbunyi “Kalian adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk umat manusia, yang menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah”. [TMQ Ali Imran (3) :104]. Sudah tiba masanya ungkapan ‘umat terbaik’ di atas direalisasikan dalam hidup nyata kalian dengan mengembalikan semula ideologi Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad sebagai wadah dan sistem untuk mengatur hidup manusia. Allah memperingatkan: ”Dan tidaklah kami mengutuskan kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam’‘ [TMQ al-Anbiya (21) :107]. Marilah bersama-sama berusaha dan berjuang agar umat manusia hidup mulia dan sejahtera sebagaimana yang telah dirasai oleh umat yang pernah hidup dibawah naungan Khilafah yang mana Khalifah (pemimpinnya) sentiasa menjaga kebajikan dan mengambil berat urusan umatnya seperti yang dirasai oleh umat Khalifah Umar ibn Abdul Aziz dengan penerapan sistem Islam. Semoga Allah membuka pintu hati kalian untuk bangkit dan berpaling dari sistem yang rosak dan merosakkan dan menggantikannya dengan sistem Khilafah. Wallahu’alam