Fesyen melampau: Bukan soal koleksi tapi event itu sendiri

Selama seminggu, dari 3 hingga 9 Ogos, sebuah pentas didirikan di Esplanade, KLCC Park dengan lebih 50 pereka dan jenama fesyen tempatan naik ke atasnya. Skrin LED raksasa dipasang di luar dewan supaya sesiapa sahaja yang lalu di taman itu — termasuk keluarga yang membawa anak kecil — boleh menonton secara langsung. Ini bukan acara bawah tanah di sudut kota yang gelap. Ia terbuka dan disokong pula oleh kementerian dan diwajarkan dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026.
Di sebalik keghairahan atau kegilaan kepada fesyen, tidak semua yang diperagakan itu disambut dengan tepukan. Ada lelaki dewasa berjalan tanpa baju. Ada model lelaki digayakan dengan sangat feminin. Ada elemen dunia kanak-kanak diselitkan ke atas tubuh orang dewasa. Ramai yang menonton lalu bertanya soalan yang paling mudah: sebenarnya apa yang cuba disampaikan?
Kononnya mengangkat bakat tempatan, meraikan warisan, menjana ekonomi kreatif – semua ini sedap didengar – namun di sebalik alasan-alasan itu terjadi perkara yang sungguh memalukan. Memang wajar apabila beberapa koleksi fesyen yang ditayangkan itu menerima kritikan kerana melampau, tetapi ramai yang tidak nampak bahawa masalah utama bukan terletak pada jenis-jenis pakaian yang tak masuk akal yang diperagakan itu, tetapi event (acara) itu sendiri.
Minggu Fesyen Itu Sendiri Bertentangan Dengan Syarak
Cuba tanggalkan dahulu semua istilahnya — koleksi, konsep, seni, keunikan, avant-garde dan sebagainya, dan lihat kepada asasnya iaitu sebuah pentas yang dibina untuk tujuan manusia berjalan di atasnya dalam rangka memperagakan tubuh dan pakaian kepada umum, dirakam, disiarkan langsung, disebarkan ke seluruh dunia, demi wang dan populariti.
Itu sahaja sudah cukup untuk kita menilai betapa jijiknya event seperti itu, tanpa perlu membahas reka bentuk fesyen mana yang wajar dan mana yang melampau. Ia jelas merupakan sebuah event yang mempamerkan aurat dan juga tabarruj (berhias/bersolek) untuk tatapan umum. Lebih dari itu, ia merupakan sebuah profesion dan juga perniagaan.
Atas dasar itu, walaupun mengkritik koleksi melampau tersebut memang wajar, namun tidak boleh berhenti di situ, kerana keharamannya bukan pada fesyennya sahaja, tetapi keseluruhan event itu sendiri. Mengkritik koleksi fesyennya yang melampau tetapi redha dengan acara tersebut umpama masuk ke restoran arak, lalu mempersoalkan beberapa jenama arak yang tidak bagus yang dijual di situ, tanpa mempersoalkan kewujudan restoran itu sendiri.
Event yang merosak akhlak ini bukan sahaja ada di Kuala Lumpur, dan bukan juga lahir di Kuala Lumpur. Ia lahir dari peradaban Barat yang rosak dan dibawa masuk hampir ke seluruh dunia Islam, yang akhirnya dijadikan produk tempatan tanpa memandang halal dan haram, baik dan buruknya. Di zaman mutakhir ini, event seperti ini turut dipengaruhi oleh unsur-unsur LGBT dengan wanita berpakaian lelaki dan lelaki berpakaian wanita.
Dulu pada tahun 2022, kecoh apabila songkok digayakan bersama seluar pendek tanpa baju. Pada 2023, kecoh apabila tanjak digayakan sebagai pakaian di bahagian dada. Pada 2024, pengasas acara itu ditanya media tentang kritikan yang berulang, lalu menjawab bahawa viraliti kadangkala membawa isu yang tidak diundang. Pada 2025, muncul kecaman meluas terhadap lelaki yang berpakaian seperti wanita. Tahun ini, isu yang sama berulang, cuma dengan koleksi yang berbeza.
Perhatikan coraknya – setiap tahun ada kekecohan. Setiap tahun ada penjelasan. Setiap tahun isu reda dalam beberapa hari, dan setiap tahun sempadan keburukan itu beralih sedikit lagi ke hadapan.
Kewarasan dan penapis yang hilang
Event seperti ini sering menunjukkan kewarasan yang sudah hilang daripada manusia. Rekaan yang mustahil dipakai oleh sesiapa pun dalam kehidupan sebenar, diperagakan. Muka dan bentuk tubuh manusia disolek sedemikian rupa untuk menyesuaikan dengan pakaiannya yang entah apa-apa, dan kadang-kadang sampai ke tahap menyerupai haiwan. Di Istanbul pernah dipamerkan sehelai kot yang dibuat daripada rambut manusia.
Kenapa corak yang sama berulang di merata dunia? Kerana dalam dunia mereka (kapitalisme), tiada perkara yang namanya publisiti buruk. Semakin gila, semakin ramai tergamam, semakin luas liputan, maka semakin naiklah nilai jenama. Rasa “tidak selesa” kita bukanlah kegagalan mereka, bahkan itulah modal sebenar mereka mereka – untuk melahirkan keterujaan atau suatu yang diperkatakan seramai mungkin orang. Matlamat akhir mereka bukanlah seni atau keunikan, tetapi satu perkara sahaja iaitu meyakinkan manusia supaya terus membeli pakaian ciptaan mereka yang sebenarnya tidak diperlukan pun oleh manusia, demi wang dan populariti.
Tanpa Islam, tidak ada apa yang boleh menapis segala keburukan dari masuk ke dalam masyarakat. Pemerintahan kapitalisme hanya melihat segala perkara dengan kaca mata manfaat. Demi nama dan wang, manusia kehilangan akhlak dan sifat malu.
Dalam Islam, aurat wajib dijaga dan Islam sudah lama merincikan cara berpakaian lelaki dan wanita sehingga kehormatan dan maruah setiap Muslim dan Muslimah terjaga. Islam bahkan menetapkan bagaimana cara berpakaian orang kafir dalam kehidupan umum agar orang kafir itu tidak berpakaian sesuka hati mereka di tempat awam.
Islam sekali-kali tidak mematikan kreativiti manusia, tetapi Islam mengatur mana yang boleh dan mana yang tidak demi meningkatkan martabat manusia. Berkurun lamanya umat ini melahirkan seni bina, tenunan dan kaligrafi yang sampai hari ini menjadi kekaguman dunia — semuanya indah tanpa perlu menggadaikan maruah manusia.
Penutup
Umat Islam tidak memerlukan minggu fesyen atau bulan fesyen atau apa-apa event berkaitan fesyen, kerana umat yang mulia ini menjadi mulia dan bermaruah kerana agamanya, bukan kerana pakaian yang melekat ditubuhnya. Minggu fesyen itu jelas haram dan negara menanggung dosa kerana membenarkannya. Demikian juga pakaian yang tidak menutup aurat dengan sempurna atau tabarruj, semuanya haram. Manusia wajib berpakaian sebagaimana tuntutan Islam, dan sesungguhnya pakaian yang paling baik bagi manusia ialah pakaian takwa. Firman Allah (swt):
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” [Al-A’raf (7): 26].
Wallahu a’lam.