Fikratul Ummah – April 2012

 


DARI LIDAH PENGARANG
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….

Alhamdulillah setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wa Taala atas izinNya jua Fikratul Ummah (FU) dapat diterbitkan lagi pada tahun 2012. Dengan wajah baharu yang diharapkan dapat menarik minat pembaca sekalian, FU kali ini tampil dengan artikel-artikel yang membawa isu malar segar terkait dengan masyarakat Islam secara keseluruhannya dan wanita khususnya.

Perbahasan mengenai permasalahan wanita dalam skop pandangan Islam merupakan satu usaha yang sangat wajar. Ini adalah kerana wanita seperti juga lelaki merupakan makhluk yang diciptakan Allah Subhanahu wa Taala. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku. [TMQ adz-Dzaariyaat (51):56]

 Jadi, dalam  konteks mengabdikan diri kepada Allah semata, permasalahan wanita tidak terkecuali daripada segenap aspek kehidupan manusia yang wajib diselesaikan dengan melaksanakan perintah dan larangan Allah.

Bertepatan dengan kenyataan di atas, FU edisi ini membawakan dua artikel yang akan menjernihkan pemikiran para pembaca sekalian tentang apakah sebenarnya bentuk usaha dan pengorbanan yang mampu menguraikan kemelut permasalahan wanita. Ia juga akan menyedarkan pembaca sekalian bahawasanya        kepincangan dalam sistem yang diterapkan hari ini iaitu dalam sistem pemerintahan, sosial, ekonomi, politik, perundangan dan sebagainya telah mengaktifkan lagi virus-virus penyakit sosial dalam masyarakat.

Oleh itu, kami di sidang redaksi FU menaruh seluruh harapan kepada pembaca sekalian untuk sama-sama memahami realiti kehidupan saat ini daripada kaca mata Islam dan seterusnya mengambil langkah seiring bersama kami untuk merealisasikan janji Allah dalam firmanNya yang bermaksud, “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi   rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” [TMQ at-Taubah (9):71]

 


ISU SEMASA: DENGAN ISLAM, MANUSIA TIDAK DIPERDAGANGKAN

Muqaddimah
Secara idealnya, kemajuan yang telah dicapai oleh manusia kini mampu membawa kepada perubahan yang dinamik dari segi pemikiran dan tingkah laku sehingga boleh mengecapi hidup yang lebih baik dari generasi sebelum mereka. Inilah yang dinamakan peradaban. Namun senario yang berlaku kini menunjukkan sebaliknya. Kerakusan yang tiada batasannya sementelah dimangkin oleh sistem ekonomi kapitalis menyebabkan manusia masih diperhambakan dan diperjual-beli dengan kaedah moden kini yang dinamakan ‘pemerdagangan manusia’. Penghambaan bentuk moden ini jauh lebih teruk dan zalim dibandingkan dengan penghambaan di zaman silam kerana ia berlaku dalam skop yang lebih luas dan memangsai lebih banyak manusia.

Secara umumnya, pemerdagangan manusia adalah satu bentuk jenayah terancang iaitu perdagangan dan perniagaan yang menjadikan manusia sebagai barang dagangan untuk dieksploitasi. Kes-kes pemerdagangan manusia yang banyak dilaporkan media adalah yang melibatkan migrasi yang tidak mengikut prosedur sedangkan pemerdagangan manusia juga melibatkan penyeludupan mangsa di dalam negara. Dalam kebanyakan kes, antara bentuk eksploitasi yang dilaporkan adalah mangsa dijadikan sebagai sumber pendapatan oleh ‘pembeli’ mereka. Contohnya dengan menjadikan mangsa ini sebagai pekerja seks, buruh paksa, hamba, pengemis dan pengedar bahan terlarang seperti dadah. Bentuk eksploitasi lain ialah menjual mangsa untuk dijadikan anak angkat atau  dikahwinkan semasa kecil. Mangsa juga berhadapan dengan situasi dieksploitasi dengan cara yang  menakutkan dengan kemungkinan dibunuh semata-mata untuk mendapatkan organ milik mereka untuk dijual [Dewan Masyarakat Ogos 2010].

Selain dilarikan tanpa kerelaan, sebahagian mangsa pemerdagangan manusia terjerumus sebagai mangsa akibat terpedaya dengan janji palsu ‘bakal majikan’ mereka. Setelah terpedaya dan menemui dalang mereka di luar negara dengan harapan diberikan pekerjaan yang bergaji lumayan, mereka sebagai pendatang yang tiada perlindungan ini terus dimanipulasi oleh kononnya ‘bakal majikan’ mereka itu [Bernama 30 Mac 2011].

Aktiviti pemerdagangan manusia kini adalah jenayah ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api [Bernama 30 Mac 2011]. Ia berlaku di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Dari tahun 2008 hingga 31 Januari 2012 sahaja, 941 orang termasuk kanak-kanak telah diselamatkan daripada terus menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia [BH 25/02/ 2012]. Statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penerangan Malaysia juga menunjukkan angka-angka yang membimbangkan. Selain dari banyaknya mangsa pemerdagangan manusia di Malaysia yang terdiri daripada rakyat tempatan mahupun luar yang diperdagangkan atau ditransit di sini, ada juga rakyat Malaysia yang terlibat mendalangi kegiatan ini. Contohnya Joyti Rana, 40, wanita rakyat Malaysia yang ditangkap di New Delhi kerana dipercayai mendalangi kegiatan memperdagangkan remaja perempuan ke Asia Tenggara. [Utusan 23/09/2009]

Di kalangan mangsa pemerdagangan manusia, didapati kebanyakan mereka terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak seperti dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia. Acapkali juga berlaku kes wanita Malaysia ditangkap di luar negara atas kesalahan menyeludup dadah dari satu negara ke negara lain, satu bentuk eksploitasi yang kini dinamakan sebagai ‘keldai dadah’. Yang menyedihkan, kebanyakan mangsa terpaksa menerima hukuman yang berat termasuk digantung sampai mati akibat keterlibatan mereka dalam jenayah pengedaran dadah, sedangkan sebahagian mereka menyangka bahawa mereka hanyalah menghantarkan barang dagangan tatkala mereka ditangkap.

Sistem Ekonomi yang Tidak Manusiawi Punca Wanita Menjadi Mangsa Pemerdagangan Manusia.
Akal yang sihat semestinya mampu menilai bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila manusia boleh menjadi barang dagangan dan kegiatan ini semakin berleluasa pula. Isu pemerdagangan manusia ini boleh dilihat dari aspek mangsa yang diperdagangkan dan pihak-pihak yang memperdagangkan.

Dari aspek mangsa yang diperdagangkan, diperhatikan bahawa kebanyakan mangsa adalah golongan yang lemah kerana miskin, kurang pendidikan, dan kurang sokongan masyarakat. Sama ada rela atau terpaksa, mereka tidak mampu untuk melepaskan diri apabila sudah terjebak menjadi mangsa. Bagi yang terjebak tanpa kerelaan, bukan mudah untuk mereka mencari perlindungan dan bantuan dari masyarakat dan pihak berkuasa supaya dapat hidup normal tanpa diperdagangkan. Bagi yang sengaja menjebakkan diri, mereka melakukannya kerana terpesona   dengan janji kehidupan baru yang disangka boleh melepaskan mereka dari belenggu kemiskinan.

Dilihat dari aspek pihak yang memperdagangkan manusia pula, mereka melakukannya kerana     mengamalkan prinsip-prinsip kapitalisme iaitu boleh melakukan apa sahaja asalkan memperoleh untung maksimum dengan kos yang minimum. Maka manusia dianggap sama seperti barang dagangan, tidak punya maruah untuk dihormati dan dilindungi. Kelebihan manusia dipandang bernilai dari sudut ekonomi sahaja, iaitu bagaimana memanfaatkannya untuk memberikan keuntungan kepada pihak yang mempergunakannya.

Dengan anggapan demikian, mangsa dimanfaatkan pada apa sahaja kemampuan dan kelebihannya agar memberi pulangan yang menguntungkan kepada mereka. Mangsa, dengan tulang empat keratnya dikerah tenaga semaksimumnya menjadi buruh kasar, meskipun pekerjaan itu tidak sesuai dengan fitrah sebahagian mereka sebagai wanita dan kanak-kanak. Jika mangsa berpendidikan dan mampu berdikari pula, mereka diperdaya agar membahayakan diri  mengedarkan barang terlarang. Jika mangsa wanita, mereka dijadikan pekerja seks untuk berkhidmat sebagai pelacur atau pelaris pusat hiburan, hotel, bahkan restoran.

Inilah hakikat sistem kapitalisme, ‘bekalan’ pekerja-pekerja ini menjadikan industri berkenaan semakin maju di bawah sistem yang kejam ini. Perkembangan industri ini menyebabkan semakin bertambah pula permintaan terhadap pekerja-pekerja yang terdiri daripada manusia dagangan ini. Maka semakin berleluasalah kegiatan pemerdagangan manusia selari dengan kepesatan pembangunan industri-industri yang berkenaan. Begitulah bagaimana sistem kapitalisme memandang tenaga manusia iaitu hanyalah sekadar untuk diperah dan tarikan wanita itu sebagai aset untuk dieksploitasi, asalkan menjana keuntungan maksimum. Hal ini berbeza sekali dengan Islam yang meletakkan penghargaan yang tinggi kepada manfaat yang boleh dibawa oleh sumber manusia dengan menekankan pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan dan upah yang berpatutan dan sifat fizikal wanita sebagai aurat yang dihormati dan dipelihara.

Adakah Isu Ini Akan Selesai?
Nampaknya pihak yang kononnya bersungguh-sungguh menangani isu ini tidak lain adalah polis dunia, iaitu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat. Dengan membiayai pelbagai kajian saban tahun, mereka mengeluarkan statistik dan laporan yang digunakan untuk melancarkan kempen sedunia yang sudah pun berlangsung selama lebih dari sepuluh tahun. Contohnya Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan laporan tahunan TIP (Penyeludupan Orang) sejak tahun 2001. Dalam laporan ini, Amerika memantau 148 negara dan menggesa kerajaan setiap negara supaya bertindak membanteras penyeludupan manusia mengikut panduan mereka yang dinamakan Akta Perlindungan Mangsa Penyeludupan (TVPA 2000). Demi menjadikan gesaan mereka dituruti dengan sepenuh komitmen, mereka mengklasifikisikan setiap negara kepada tiga tahap berdasarkan pematuhan kepada TVPA (US Department of State).

Dalam laporan-laporan TIP sejak beberapa tahun lalu hinggalah 2011, Malaysia telah diletakkan di Senarai Pemerhatian Tahap 2 iaitu tidak sepenuhnya mematuhi TVPA tetapi mempunyai usaha ke arah itu tetapi gagal membuktikan peningkatan usaha dibandingkan laporan prestasi tahun sebelumnya. Jadi negara-negara seperti ini diletakkan dalam pemerhatian bagi memastikan kerajaannya menggembleng lebih usaha sehingga dinaikkan ke tahap pertama iaitu negara-negara yang mematuhi TVPA sepenuhnya (Jabatan Penerangan Malaysia).

Kerajaan Malaysia telahpun menggiatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia ini melalui pelbagai agensi dan kementeriannya mengikut akta yang digubal oleh Amerika ini. Apa yang paling ketara ialah penubuhan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta pelancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2010-2015). Kementerian Penerangan juga telah meningkatkan kesedaran rakyat  melalui kempennya yang dilakukan secara besar-besaran. Namun, usaha yang telah dilaksanakan kerajaan Malaysia sejak 2007 itu masih belum membuahkan hasil yang dikehendaki, iaitu mengeluarkan Malaysia dari senarai 16 negara berprestasi buruk kerana ‘kurang patuh’ memerangi pemerdagangan manusia mengikut telunjuk Amerika.

Dengan memerhati usaha-usaha mereka ini dibandingkan dengan senario yang sebenar, tidak kelihatan sebarang tanda bahawa isu pemerdagangan manusia akan berjaya diselesaikan selagi dunia masih berpaksikan sistem ekonomi yang sama. Pemerintah Amerika beserta badan yang dikuasainya iaitu PBB kelihatan amat jelek kerana di sebalik propaganda mereka, dapat dilihat bahawa merekalah sebenarnya dalang utama pemerdagangan manusia sedunia kerana merekalah yang menyebarkan fahaman dan memaksakan perlaksanaan sistem ekonomi Kapitalisme ke seluruh dunia. Sungguh, selagi mana pemikiran berasaskan manfaat yang mendominasi dunia, bagaimana mungkin kegiatan penghambaan alaf baru ini dapat diatasi?

Sistem Islam yang Meninggikan Martabat Manusia Mengatasi Kemiskinan Rakyat.

Pandangan kapitalisme menganggap bahawa masalah ekonomi adalah disebabkan oleh kurangnya sumber alam sementara populasi dan keperluan manusia semakin bertambah. Akibatnya, sebahagian orang pasti akan mengalami kemiskinan. Pandangan ini jelas keliru, batil dan bertentangan dengan fakta.

Islam memandang kemiskinan sebagai salah satu sebab terjadinya kemunduran dan kehancuran suatu bangsa. Bahkan Islam memandang kemiskinan sebagai ancaman dari syaitan. Firman Allah yang bermaksud, “Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan[TMQ al-Baqarah (2):268]. Kerana itulah sebagai idelologi yang sempurna dan sahih, Islam sangat prihatin terhadap masalah kemiskinan dan menyediakan penyelesaian untuk mengatasinya.

Sesungguhnya Allah yang menciptakan manusia telahpun menyediakan cara-cara untuk manusia memenuhi keperluan hidupnya di dunia. Bukan hanya manusia, malah seluruh makhluk-Nya pasti akan disediakan rezeki bagi mereka masing-masing. Mustahil Allah menciptakan semua makhluk dan membiarkan mereka begitu sahaja tanpa disediakan rezeki bagi mereka. Firman Allah yang   bermaksud, “Allahlah yang menciptakan kamu, kemudian memberikan rezeki” [TMQ ar-Rum (30):40] dan “Tidak ada satu binatang pun melata di bumi, melainkan Allahlah yang memberi rezekinya” [TMQ Hud (11):6].

Jika begitu, mengapa terjadinya kemiskinan sehingga melibatkan diri dalam pemerdagangan manusia, baik sebagai pelaku mahupn mangsa, seolah-olah dilihat sebagai alternatif untuk seseorang itu keluar dari kepayahan dan kesengsaraan hidup? Seolah-olah kekayaan sumber alam sedia ada tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan hidup manusia yang populasinya kian bertambah?

Sesungguhnya Al-Khaliq yang Maha Mencipta dan Maha Bijaksana pastinya menyediakan jumlah sumber alam yang mencukupi untuk manusia. Namun apabila sumber alam ini tidak dikelolakan dengan baik pastinya terjadi penyimpangan dalam mengagihkannya kepada manusia. Maka faktor utama terjadinya kemiskinan adalah kerana buruknya mekanisma pengagihan.

Maka di sinilah pentingnya sebuah sistem hidup yang sahih (Islam) dan perlunya sebuah negara yang akan melaksanakannya melalui cara-cara berikut – jaminan pemenuhan keperluan asas, pengaturan pemilikan, penyediaan peluang pekerjaan dan penyediaan kemudahan pendidikan.

Peranan-peranan negara ini akan dijelaskan dalam perenggan-perenggan berikut:-

(i) Jaminan Pemenuhan Keperluan Asas
Islam menetapkan keperluan asas manusia terdiri dari makanan, pakaian dan tempat tinggal. Inilah keperluan asas manusia yang tidak boleh tidak, mesti dipenuhi oleh seseorang untuk terus hidup. Atas dasar itulah Islam memberikan jaminan atas pemenuhan keperluan asas ini. Adanya jaminan oleh Negara tidak bermakna umat sentiasa bergantung kepada bantuan yang  dihulurkan sehingga menjadi malas untuk berusaha. Namun, jaminan yang dimaksudkan di sini ialah dengan diwujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menyelesaikan masalah kemiskinan.

Mekanisma tersebut antara lain adalah dengan mewajibkan lelaki memberi nafkah kepada diri dan   keluarganya. Firman Allah yang bermaksud “Maka berjalanlah ke segala penjuru, serta makanlah sebahagian dari rezekiNya” [TMQ al-Mulk (67):15], “Kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maa’ruf” [TMQ Al-Baqarah (2):233], “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat-tinggal, sesuai dengan kemampuanmu” [TMQ ath-Talaq (65):6].

Dari ayat di atas, maka jelaslah setiap lelaki yang mampu bekerja diwajibkan untuk berusaha sendiri dalam rangka untuk memenuhi keperluan diri dan keluarganya. Bagi wanita pula, Islam tidak mewajibkan mereka keluar bekerja tetapi Islam mewajibkan pemberian nafkah kepada mereka.

Walaubagaimanapun dalam keadaan tertentu, tidak semua lelaki mempunyai kemampuan untuk bekerja mencari nafkah disebabkan oleh faktor tertentu seperti kecacatan mental atau fizikal, sakit mahupun telah lanjut usia. Dalam kes seperti ini, Islam mewajibkan kepada kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka seperti yang difirmankan Allah “Dan kewajipan ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maa’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya. Dan waris pun berkewajipan demikian” [TMQ al-Baqarah (2):233].

Waris yang dimaksudkan adalah kaum kerabat yang mampu dan mempunyai kelebihan harta. Orang yang tidak mempunyai kelebihan harta tidak diwajibkan memberi nafkah. Orang yang mampu menurut syarak adalah orang yang memiliki kelebihan harta selepas keperluan asasnya serta keperluan pelengkapnya (menurut ukuran masyarakat disekitarnya) terpenuhi. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan” [HR Imam Bukhari & Abu Hurairah].

Jika seseorang itu tidak mempunyai kaum kerabat atau jika ada sekalipun hidup kaum kerabat mereka juga cukup-cukup makan, dalam keadaan sebegini, kewajipan memberi nafkah akan beralih ke Baitul Mal (simpanan Negara) dan Negara berkewajipan untuk memenuhi keperluannya.

Rasulullah SAW bersabda, “Siapa sahaja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya dan siapa sahaja yang meninggalkan kalla’, maka dia menjadi kewajipan kami” [HR Muslim].

Kalla’ yang dimaksudkan adalah orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai orang tua. Negara akan membantu golongan seperti ini dari peruntukan yang diambil dari zakat dan apabila harta zakat tidak mencukupi, maka Negara akan menggunakan peruntukan yang terdapat dari Baitul Mal.

Jika ditakdirkan tiada peruntukan dari Baitul mal sekalipun, maka kewajipan menafkahi orang miskin akan beralih kepada kaum Muslimin secara kolektif berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Di dalam harta mereka terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta dan orang miskin yang menahan diri dari meminta-minta” [TMQ adz-Zaariyat (51):19].

Secara teknikalnya, hal ini dilakukan melalui dua cara. Pertama kaum Muslimin secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua, negara mewajibkan dharibah (sejenis bayaran) kepada orang-orang kaya hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Jika, dalam jangka waktu tertentu, dharibah tersebut tidak diperlukan lagi maka pungutannya harus dihentikan oleh Negara.

(ii) Pengaturan Pemilikan
Pengaturan pemilikan merupakan usaha yang mesti dilaksanakan oleh sebuah Negara Islam untuk        mengatasi masalah kemiskinan. Syariat Islam telah mengatur masalah pemilikan ini sehingga dapat mencegah terjadinya masalah kemiskinan. Ianya merangkumi tiga aspek iaitu bagaimana pemilikan  untuk individu, masyarakat dan negara ditentukan, seterusnya bagaimana pemilikan ini dikelola, dimanfaat dan dikembangkan serta bagaimana ianya diagihkan di tengah-tengah masyarakat sehingga terciptanya produktiviti sumber alam dan sumber manusia yang dengan sendirinya dapat mengatasi masalah kemiskinan.

(iii) Penyediaan Peluang Pekerjaan
Negara wajib menyediakan peluang pekerjaan untuk umatnya. Rasulullah SAW bersabda, “Seorang imam (pemimpin) adalah bagaikan pengembala dan dia akan diminta bertanggungjawab di atas gembalaannya (rakyatnya)” [HR Bukhari dan Muslim].

Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah memberikan dua dirham kepada seseorang dan baginda bersabda “Makanlah dengan satu dirham, sisanya belikan kapak lalu gunakanlah ia untuk bekerja”. Di sinilah syariat Islam yang sempurna membuktikan ketika mana ia mewajibkan seseorang untuk memberi nafkah kepada diri dan keluarganya, dalam masa yang sama diwajibkan juga untuk Negara (pemerintah) menyediakan peluang pekerjaan. Dengan cara ini setiap orang akan produktif sehingga kemiskinan akan dapat diatasi.

(iv) Penyediaan Kemudahan Pendidikan
Syariat Islam mewajibkan Negara untuk menyediakan peluang pendidikan secukupnya secara percuma kepada rakyatnya. Ini kerana pendidikan memang merupakan keperluan dasar bagi setiap individu. Pendidikan yang diberikan akan meningkatkan kualiti sumber daya manusia dan seterusnya mewujudkan individu-individu yang kreatif, inovatif dan produktif. Ini secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kemiskinan.

Khatimah
Pemerdagangan manusia bukanlah aktiviti yang terjadi secara sendirinya tetapi disebabkan oleh penerapan sistem hidup kapitalistik yang rosak dan merosakkan manusia. Jenayah pemerdagangan manusia bukanlah satu masalah baru yang timbul dalam sistem kapitalis. Ia merupakan satu bentuk perhambaan moden. Masalah kemiskinan yang melanda kebanyakan negara umat Islam adalah disebabkan kerana mereka tidak lagi hidup secara Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Thaha (20):124].

Wahai muslimah yang dirahmati Allah!

Melalui pelaksanaan hukum Islam dalam kehidupan manusia, bukan sahaja masalah kemiskinan, malah pelbagai masalah yang wujud saat ini akan diselesaikan. Sesiapapun yang menghendaki dan merindukan hidup dengan Islam secara kaffah, maka ketahuilah keberadaan Negara Khilafah Islamiyyah tidak boleh ditawar-tawar lagi kerana Khilafahlah institusi yang akan menerapkan syariat Islam secara menyeluruh. Marilah kita berjuang dengan thariqah (jalan) perjuangan pemikiran dan politik yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah SAW dan bukan dengan cara-cara demokrasi mahupun revolusi sosialis yang tidak ada tempatnya dalam Islam. Semoga perjuangan dan usaha kita yang benar akan dibantu dan diberkati Allah hendaknya.

Wallahu a’alam.

Senarai Rujukan Web:

•    Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Sekretariat Majlis Anti pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran: (http://www.kdn.gov.myindex.php?option=com_content&view=article&id=223[…])
•    Jabatan Penerangan Malaysia, Pemerdagangan Orang: (http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/category/475.html)
•    U.S. Department of State, Trafficking in Persons Report: (http://www.state.gov/j/tip/rls/tiprpt/index.htm)

 



ARTIKEL PILIHAN: HAK DAN KEBEBASAN WANITA SEJAGAT


Muqaddimah
Bicara tentang hak dan kebebasan wanita sejagat seakan tidak mungkin berakhir. Telah sekian lama wanita di seluruh pelosok dunia merintih dan menangisi kesengsaraan yang ditanggung. Oleh yang demikian, artikel ini akan memaparkan fakta-fakta ‘sensasi’ tentang realiti tersebut yang berlaku di kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia.

Nasib Wanita di Serata Dunia Islam
Di Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai populasi umat Islam paling ramai di dunia, terdapat 23 juta wanita yang amat miskin dan terpaksa bekerja di serata dunia demi sesuap nasi. Melalui jalur agensi pekerjaan, mereka sanggup merantau ke negara yang asing bagi mereka dengan harapan untuk mengutip sebanyak mana wang untuk menanggung keluarga yang ditinggalkan di kampung halaman. Sebaliknya apa yang rata-rata mereka peroleh dari  majikan hanyalah layanan buruk seperti dikurung di bilik, mengalami gangguan seksual, dirogol, malah ada yang dibunuh.

Punca kepada segala kemiskinan tersebut adalah sistem ekonomi dan politik yang diterapkan di Indonesia. Ketundukan kepada sistem ekonomi Kapitalisme menyebabkan pemerintah menyerahkan hartanah dan pemilikan umum kepada syarikat-syarikat asing. Melalui kaedah demokrasi dalam berpolitik, undang-undang digubal sesuka hati agar dapat memenuhi nafsu serakah syarikat-syarikat asing lantas meminggirkan peribumi negara yang kaya dengan  sumber alam itu. Tak ubah seperti kata pepatah, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Natijahnya, majoriti rakyat Indonesia termasuk kaum wanita merempat kerana kemiskinan.

Begitu juga wanita di Jordan yang menderita akibat pelbagai masalah ekonomi, sosial dan politik. Negara menjual hak milik persendirian dan sumber alam seperti fosfat, kalium dan simen; hinggakan perusahaan tempatan yang berjaya juga dijual kepada pihak Barat. Akibatnya rakyat mengalami proses pemiskinan besar-besaran dengan sebahagian besar mereka berada di sekitar atau di bawah garis kemiskinan. Lalu muncullah simptom-simptom masalah seperti pengangguran, kelewatan berkahwin akibat kos yang tinggi, kegagalan mengatur kewangan rumah tangga, jenayah berleluasa, penderaan fizikal dan banyak lagi.

Di Tunisia pula, semenjak kemasukan kolonialisme Barat, wanita Tunisia melalui pelbagai krisis akibat pelaksanaan sistem diktator yang berasaskan sekularisme, iaitu pemisahan agama dari kehidupan (faslu ad-deen ‘anil hayah). Seiring dengan kemasukan kereta kebal dan tentera Barat ke bumi Tunisia, minda rakyat turut dimasuki idea dan konsep yang telah merosakkan jati diri bangsa dari segi intelektual dan budaya. Akibatnya, wanita diremehkan dari segi hak-hak dan peranan mereka. Wanita tidak dihormati dan dinafikan hak untuk mendapat pendidikan tinggi, penjagaan kesihatan dan keperluan hidup lain.

Seterusnya di Sudan, wanita mengharungi kehidupan yang dipenuhi ketidakadilan, penindasan, kekejaman dan juga kemiskinan. Kaum wanita terpaksa menyaksikan pemisahan wilayah Utara dari wilayah Selatan dengan pilu. Perang saudara yang tercetus di seluruh negara telah menyebabkan kaum wanita terpaksa menjadi pelarian dan kehilangan kaum keluarga. Organisasi bantuan yang  didalangi negara-negara Barat di ‘kem perlindungan’ pelarian di negara-negara jiran sebaliknya menjadikan mereka sebagai mangsa penyebaran racun pemikiran Barat yang rosak. Di kota-kota besar pula, meskipun wanita tidak diancam dengan pembunuhan secara ganas, namun kegagalan pemerintah memenuhi keperluan asas rakyat menjadikan rakyat miskin semakin merempat.

Manakala di Rusia, tidak kurang masalah yang dihadapi oleh wanita. Jika diimbau kembali sejarah Rusia, ia adalah sebuah tanah di mana ideologi Sosialisme lahir dan berkubur. Tetapi kini, ia turut menganut ideologi Kapitalisme bertunjangkan konsep Barat. Di sana, seorang wanita tidak dianggap sebagai seorang manusia yang punya harga diri sebaliknya dipergunakan sebagai komoditi yang diperdagangkan dalam pelbagai aspek. Konsep seperti maruah dan kehormatan wanita telah lama dilupakan apabila wanita sering dikasari dari segi emosi, mental dan fizikal. Lebih teruk lagi, tidak ada perbincangan tentang penjagaan dan perlindungan terhadap wanita di negara ini.

Walhasil, tidak sedikit wanita menjadi mangsa penderaan lelaki yang sepatutnya melindungi mereka seperti bapa, suami dan majikan. Bukan setakat itu, kaum lelaki yang sepatutnya memimpin keluarga malangnya telah membebankan ahli keluarga wanita mereka untuk menanggung keperluan hidup mereka. Hal ini berlaku dalam keluarga yang terdiri daripada para bapa, suami dan anak yang ketagihan arak dan dadah. Semua ini berpunca daripada pelaksanaan sistem pemerintahan sekular apabila Rusia tidak menghalang penjualan arak dan dadah secara berleluasa kerana ia adalah perniagaan yang menguntungkan.

Rusia sebagai negara di mana orang Islam merupakan penduduk minoriti, kebencian terhadap Islam amatlah nyata. Kaum Muslimah tidak dihormati dan menjadi mangsa diskriminasi. Sebagai contoh, mereka sukar mendapat pekerjaan dan boleh dipecat hanya dengan alasan mereka berhijab dan menunaikan solat. Di samping itu, di kebanyakan bandar di Rusia, para Muslimah dianggap sebagai pengganas dan golongan pelampau. Hinggakan mereka diugut, dihina, dimalukan dan dalam beberapa kes para Muslimah turut dipukul. Lebih jauh lagi, kaum Muslimah turut didakwa oleh pihak perisikan negara atas dasar melindungi keselamatan awam daripada keganasan, lalu dihukum dengan tidak adil termasuk dipenjarakan.

Wanita Bangkit dengan Islam
Paparan kisah seksa dan duka di atas tidak hanya sekadar dibualkan dan disampaikan dari telinga ke telinga dalam masyarakat di seluruh dunia. Tetapi, ia cukup memberikan satu suntikan semangat dan kemahuan kepada masyarakat dunia, khususnya wanita, untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan mereka. Sebagai mangsa kepada kerosakan sistem pemerintahan dan undang-undang, sudah pasti mereka mahu bebas daripada kesengsaraan melalui perubahan sebenar yang menjanjikan kebahagiaan dan kemakmuran kepada mereka dan keluarga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari Kiamat dalam keadaan buta” [TMQ Taha (20):124].

Berpegang kepada kalimah Sang Pencipta inilah, kaum Muslimah serata dunia bangkit untuk mengubah sistem kehidupan yang selama ini berkiblatkan kebebasan dan hak asasi manusia hasil ajaran sistem sekularisme yang sangat jauh daripada ajaran Islam kepada penerapan sistem Islam yang sempurna.

Sebagai langkah awal perubahan tersebut, isu permasalahan wanita hendaklah dilihat dari perspektif akidah dan syariat Islam. Ini bermakna wanita mesti menolak sebarang usaha untuk menyelesaikan isu ini dari perspektif Barat. Jadi, kaum wanita harus sedar bahawa penyelesaian tuntas terhadap masalah mereka adalah dengan adanya sistem pemerintahan Islam yang menjanjikan rahmat ke sekalian alam iaitu Khilafah Islamiyyah, sistem warisan Rasulullah SAW.

Sistem Khilafah adalah satu-satunya sistem yang dapat membawa kepada perubahan radikal dan menyeluruh untuk menyelesaikan seluruh isu wanita dengan memberikan solusi tepat terhadap seluruh permasalahan dengan melaksanakan syariat Islam. Sistem Khilafah akan menjamin keperluan keluarga mereka dan menyediakan suasana yang selamat untuk mereka.

Wanita akan dibebaskan dari eksploitasi di tempat kerja dan mendapat hak-hak mereka. Wanita juga akan melaksanakan kewajipan mereka sebagai ibu dan pengatur rumah tangga yang membesarkan anak-anak mereka untuk menjadi anak-anak yang soleh penerus generasi cemerlang dengan syariat Islam.

Lantaran itu, bagi wanita yang mempunyai kesedaran, dengan jiwa menggelodak dilambung ombak rindu kepada sistem hidup yang akan membebaskan mereka dari keperitan virus Sekularisme dan Kapitalisme, telah mengerahkan usaha tanpa jemu untuk melakukan perubahan ini. Mereka tidak melakukannya bersendirian, bahkan mengajak masyarakat bersama-sama dengan mereka.

Contohnya di Rusia, kaum Muslimah menjadi ahli, pengikut dan pendokong sebuah parti politik Islam iaitu Hizbut Tahrir yang konsisten berjuang merealisasikan idea khilafah. Mereka berusaha memperjuangkan idea khilafah ini dalam masyarakat dengan melakukan dakwah kepada Islam, membongkar kemungkaran dan kemaksiatan sistem Kapitalisme melalui pelbagai konferens, rapat umum, ceramah dan aktiviti diskusi di rumah-rumah dan di masjid-masjid.

Walaupun perlaksanaan aktiviti-aktiviti ini menaikkan kemarahan para penguasa, hinggakan mereka dilayan seperti penjenayah, namun mereka tidak pernah mengalah. Mereka diugut, rumah-rumah mereka digeledah, dikenakan tuduhan palsu sebagai perangkap, dihukum, dipenjarakan, dan anak-anak mereka dihantar ke rumah-rumah anak yatim. Para ibu, isteri, guru, doktor, jurutera, dan pelajar universiti pelbagai jurusan dianggap sebagai teroris dan ekstremis. Dorongan dan motivasi yang kuat ini merupakan bukti keyakinan yang tinggi terhadap Allah SWT bahawa Allah SWT tidak akan membebani seseorang di luar batas kemampuannya sebagaimana firman-Nya, “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya[TMQ al-Baqarah (2):286].

Di Jordan pula, kaum wanita menyertai kaum lelaki dalam aktiviti-aktiviti politik untuk menegakkan Khilafah. Antaranya, mereka bersama-sama menjayakan demonstrasi Ramtha sebagai tanda sokongan terhadap pembebasan Syria dan demonstrasi di hadapan Konsulat Rusia sebagai protes terhadap jenayah yang dilakukan terhadap para Muslimah Hizbut Tahrir di Rusia. Mereka juga turut serta dalam konferens untuk memberi penghormatan kepada para syuhada’ Hizbut Tahrir yang terbunuh dek  kekejaman rejim diktator Muammar Gadaffi di Libya.

Kisah perjuangan di atas menunjukkan bahawa keinginan yang tinggi menggunung kepada sebuah perubahan sebenar dalam menyelesaikan kemelut yang melanda wanita di seluruh dunia bukanlah retorik, sebaliknya para aktivis ini telah menunjukkan kesungguhan dan pengorbanan mereka demi meraih cita-cita suci untuk memartabatkan Islam sebagai sebuah cara hidup yang membawa rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekalian alam).

Khatimah
Wahai kaum Muslimah yang dirahmati Allah!

Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia menyeru dan mengajak semua wanita yang hidup di atas bumi Tanah Melayu yang pernah ada hubungan dengan  pemerintahan Khilafah Uthmaniyah hampir 90 tahun yang lalu, untuk menyertai dakwah kami dalam usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam dengan menegakkan semula Khilafah atas jalan kenabian. Perjuangan yang mulia ini perlu kepada sokongan dari seluruh umat Islam termasuklah wanita. Marilah sama-sama kita buktikan bahawa tangan yang disangka lembut menghayun buaian sebenarnya mampu menggoncang dunia. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud,“Barangsiapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan[TMQ An-Nahl (16):97].
Wallahu a’alam.