Fikratul Ummah – April 2013

FU-Cover-April2013

MUQADDIMATUL KALAM
 
Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh….
 
Alhamdulillah Fikratul Ummah dapat diterbitkan lagi pada bulan ini untuk menemui para pembaca demi melaksanakan kewajipan amar ma’ruf nahi mungkar. Dalam keghairahan rakyat Malaysia meraikan musim pilihan raya versi demokrasi yang penuh dengan penipuan dan pembohongan, FU mengajak seluruh umat Islam untuk meluruskan pemikiran dan menjernihkan segala kekeliruan yang dihadapi oleh umat yang hidup dalam sistem demokrasi selama ini.
 
Sidang pembaca yang dirahmati Allah,
 
Pusingan lima tahun telah sampai masanya yang mana rakyat Malaysia bakal sekali lagi menghadapi pilihan raya umum, satu manifestasi bahawa sistem yang bertentangan dengan Islam, demokrasi, masih lagi bernafas di bumi Malaysia.  Namun, hayatnya ini tidak akan kekal lama kerana pejuang-pejuang Islam sentiasa melaungkan dan menyemarakkan semangat dakwah Islam untuk menegakkan semula syariat Allah di muka bumi. Maka segala sistem taghut akan terkubur dan lenyap dari bumi Allah….InsyaAllah.  Firman Allah S.W.T,
 
Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang  lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?  [TMQ al-Maa’idah (5): 50].
 
Wadah dakwah yang kecil ini mengajak para pembaca untuk memahami kerosakan sistem demokrasi yang selama ini telah mengaburi mata umat Islam, kononnya itulah satu-satunya sistem terbaik untuk manusia.  Sistem yang dikatakan menjamin keadilan dan kesejahteraan untuk segenap lapisan masyarakat. Ironisnya keselamatan rakyat sentiasa menjadi taruhan, rumah berkunci dipecah masuk; pergi ke pasar, beg tangan diragut; statistik jenayah tak pernah menyusut… Inikah yang dinamakan kesejahteraan?  Kupasan lanjut tentang demokrasi dan kesejahteraan wanita diharap mampu menjelaskan lagi hakikat penderitaan yang dihadapi dalam sistem demokrasi.  Turut dimuatkan artikel-artikel lain yang berkaitan.
 
Justeru, FU menyeru pembaca sekalian agar sama-sama mengembalikan kehidupan Islam dengan cara yang telah digariskan oleh Allah S.W.T dan yang telah dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W.   Selamat membaca.
 
Jazakumullah khayran kathira.  Wassalam.

[FU/Bil.54/April 2013]

 


DOA PILIHAN: DOA SUPAYA BERADA DI JALAN YANG BENAR

رَّبِّ أَدۡخِلۡنِى مُدۡخَلَ صِدۡقٍ۬ وَأَخۡرِجۡنِى مُخۡرَجَ صِدۡقٍ۬ وَٱجۡعَل لِّى مِن لَّدُنكَ سُلۡطَـٰنً۬ا نَّصِيرً۬ا

Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku
[TMQ al-Israa’ (17): 80].
 



ARTIKEL PILIHAN: BENARKAH DEMOKRASI MENSEJAHTERAKAN WANITA?

Muqaddimah
Dalam kehangatan menantikan pilihan raya tahun ini, keamanan negara tergugat dengan peristiwa pencerobohan yang berlaku di Sabah.  Walau apapun, itu semua tidak mempengaruhi persiapan untuk pilihan raya umum nanti. Ini terbukti apabila perang bendera dan poster telah pun bermula. Siri ceramah politik baik daripada pihak yang memegang tampuk kekuasaan mahupun pihak pembangkang terus mewarnai hari-hari pra-pilihan raya umum.  Wanita tidak terkecuali daripada turut bergiat aktif. Penglibatan wanita dalam pilihan raya dikatakan amat penting kerana undi mereka dikatakan bakal menentukan nasib dan  kepentingan mereka.
 
Persoalannya, sejauh manakah kebenaran kenyataan ini?  Benarkah dengan terlibat di dalam pilihan raya dan memangkah undi akan menjamin kedudukan wanita yang sekaligus memberi pengiktirafan dan pembelaan kepada kaum Hawa itu?
 
Wanita Dalam Sistem Demokrasi
Penyertaan wanita dalam sistem politik demokrasi Malaysia dilihat bermula dengan Halimaton Saadiah yang bertanding dalam pilihan raya Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1955. Perlantikan Fatimah Haji Hashim sebagai Menteri Kebajikan Am pada 20 Mei 1969 pula semakin menyemarakkan penglibatan wanita dalam arena politik negara.  Beliau yang memegang jawatan menteri dari tahun 1969 sehingga 1973 merupakan satu-satunya menteri wanita pada masa itu.  Setelah masa beliau, jumlah penglibatan wanita dalam parlimen semakin meningkat.
 
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang  telah menandatangani Rencana Tindakan Beijing 1995, yang menggalakkan penyertaan 30% wanita dalam agensi kerajaan, namun Malaysia masih amat jauh untuk sampai ke matlamat itu.  Walaupun demikian, pencapaian terkini menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan yang mana keterlibatan wanita dalam kancah politik dan memegang jawatan penting telah bertambah sejak kebelakangan ini.  Namun, adakah realiti ini menjamin kehidupan wanita yang lebih sejahtera, aman dan terbela?  Adakah wanita sudah tidak lagi menjadi mangsa atau golongan yang teraniaya?.
 
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Heng Seai Kei, sebanyak 46,902 kes jenayah rogol, sumbang mahram, cabul dan keganasan rumah tangga terhadap wanita direkodkan sejak 2007 sehingga Mac tahun lepas (Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/214117, Bernama, 13/11/2012).  Ini cuma secebis manifestasi ‘kejayaan’ demokrasi dalam memberi kesejahteraan kepada wanita di Malaysia.
 
Sementara di negara-negara lain seperti India iaitu sebuah negara demokrasi terbesar di dunia, didapati bahawa terlalu banyak serangan seksual yang tidak dilaporkan. Ini adalah kerana sejumlah besar wanita telah hilang kepercayaan pada sistem pemerintahan di India dalam melindungi martabat mereka.  Antara kes yang popular dan masih hangat diperkatakan adalah kes seorang mahasiswi perubatan India berusia 23 tahun, yang menjadi mangsa serangan pemerkosaan ganas pada 16 Disember 2012 lalu oleh enam orang lelaki di dalam sebuah bas di New Delhi. Tragis dan sadis, mahasiswi perubatan tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan yang dideritainya.
 
Menurut sumber berita Al-Jazeera, seorang wanita diperkosa setiap 20 minit di India dan 24,000 kes pemerkosaan telah dilaporkan hanya untuk tahun lalu sahaja. Media juga melaporkan bahawa 80% wanita di New Delhi telah mengalami gangguan seksual, sementara The Times of India melaporkan bahawa pemerkosaan di India telah meningkat secara mendadak sebanyak 792% sejak 40 tahun kebelakangan ini.
 
Di Mesir pula gangguan seksual terhadap wanita sangat membimbangkan, antara contoh kajian kes adalah semasa wanita-wanita keluar ke Dataran Tahrir untuk demonstrasi di Mesir.  Banyak aduan tentang gangguan seksual terhadap wanita sehingga mengakibatkan kes yang lebih serius iaitu jenayah rogol.  Ratusan lelaki yang masih belum dapat dikenalpasti, didapati mengambil bahagian dalam serangan ke atas wanita dengan merobek pakaian dan menyentuh mereka, malah dalam satu kes, merogol seorang gadis berusia 19 tahun bersenjatakan pisau (sumber: http://www.wanista.com/2013/02/ antarabangsa-gangguan-seksual-terhadap-wanita-di-mesir-semakin-meningkat/- diakses pada 21/2/2013).
 
Sementara di Amerika, negara yang dianggap sebagai kepala kepada sistem demokrasi, hanya memberi hak mengundi kepada warga wanita mereka pada 1920-an, manakala rakyat kulit hitam dibebaskan daripada perhambaan selepas perang sivil AS pada 1860-an setelah lebih sejuta orang mati.  Ironisnya, keadaan ini berlaku setelah Amerika secara rasmi diisytihar merdeka pada 4 Julai 1777.  Itu belum lagi dilihat kepada bagaimana dahsyatnya kekejaman, penganiayaan dan segala “senarai hitam” kebaikan demokrasi kepada wanita di Amerika di abad ini.
 
Menurut laporan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan berhubung kes yang berkaitan dengan jenayah seksual, setiap 2 minit seorang wanita di Amerika Syarikat menjadi mangsa serangan seksual; 1 daripada 4 wanita diserang secara seksual semasa berumur 18 tahun; 1 daripada 6 wanita telah mengalami serangan cubaan rogol dan terlalu banyak lagi keganasan yang tidak mungkin dapat dipaparkan di ruang yang terhad ini (http://www.lighthousehelp.org/gethelp/facts-about-rape, diakses pada 2/3/13).
 
Paparan di atas hanya memetik sedikit sahaja “buah ranum” hasil daripada amalan sistem demokrasi. Justeru, bagaimanakah demokrasi dikatakan mampu memberi kesejahteraan  kepada wanita? Paparan seterusnya akan menyingkap betapa jijiknya sistem demokrasi yang kononnya memperjuangkan idea kebebasan individu.
 
Muslimah Terkurung Dalam Sistem Demokrasi
Muslimah yang hidup di negara-negara yang mempunyai penduduk Muslim minoriti seperti di Eropah dilihat sebagai ancaman kepada peradaban Barat.  Mereka dilarang daripada berjilbab, bertudung dan menzahirkan identiti Islam mereka. Pembunuhan Dr. Marwa El Sherbiny yang berasal dari Mesir menjadi bukti nyata kebencian Barat terhadap Muslimah yang taat kepada Islam. Hanya kerana mempertahankan maruahnya sebagai seorang Islam, beliau dibunuh secara kejam dengan ditikam sebanyak 18 kali di dalam mahkamah Jerman yang kononnya satu institusi yang mulia di mata sebuah sistem bernama demokrasi!  Ironisnya di negeri kaum Muslim sendiri seperti Turki, Muslimah di larang untuk memakai tudung di tempat-tempat umum, padahal Turki dahulunya adalah pusat pemerintahan Khilafah Islamiyyah.
 
Sementara dalam kajian kes yang lain pula, Dr Aafia Siddiqui, seorang Muslimah yang diculik dan ditahan oleh ejen perisikan Pakistan pada bulan Mac 2003 yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Amerika di Afghanistan di mana beliau dipenjarakan di Baghram, dirogol berulang kali dan diseksa dengan penyeksaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Selain kes-kes ini, masih terdapat jutaan muslimah yang menderita dalam diam akibat ‘keadilan dan kesejahteraan’ sistem demokrasi yang diterapkan di negara mereka.  Justeru, masihkah ada ruang dalam benak seorang Muslim untuk mengatakan demokrasi mensejahterakan wanita?  Ingatlah Allah S.W.T berfirman,
 
Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”  [TMQ al-Ma’idah (5): 50].
 

Dari sisi yang lain, wanita terus ditekan supaya berusaha menyelamatkan diri sendiri dengan masalah yang dihadapi.  Apabila wanita diganggu oleh lelaki yang tidak dikenali, mereka disuruh belajar seni bela diri.  Apabila wanita menjadi mangsa ragut, mereka disuruh berjalan dalam kumpulan. Pendek kata, segala tips keselamatan perlu menjadi asas pengetahuan wanita.  Dalam aspek ekonomi pula, wanita disuruh untuk keluar bekerja demi menghilangkan kebergantungan kepada suami dan menaikkan imej sosial.  Oleh sebab itu, muslimah seperti ini sibuk bersaing dengan lelaki dan mengejar kerjaya sehingga mengabaikan anak dan keluarganya semata-mata untuk mendapat kehidupan yang kononnya lebih berprestij dan sempurna sebagai wanita moden.

Realiti-realiti di atas membongkarkan hakikat demokrasi yang tidak pernah memberi kesejahteraaan atau kebebasan kepada wanita.   Satu sistem yang penuh dengan khayalan dan tipu daya!  Firman Allah S.W.T:
 
Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit[TMQ at-Thaha (20): 124].
 
Justeru, apa fungsi keberadaan wanita di parlimen?  Cukupkah sekadar mengungkap kata-kata “sekurang-kurangnya lebih ada daripada tiada”, “sekurang-kurangnya begitu dan begini”, atau “sekurang-kurangnya sekarang lebih baik daripada dulu”?.

Sedarlah bahawa demokrasi bukan hanya sekadar sebuah sistem yang mengatur pilihan raya untuk melantik perwakilan bagi menyampaikan hasrat dan suara hati rakyat.  Janganlah tertipu dengan definisi demokrasi seumpama ini.  Pilihan raya cuma kulit sahaja daripada inti demokrasi sepenuhnya.  Demokrasi sesungguhnya adalah sebuah “sistem” di mana hak membuat hukum diletakkan di tangan manusia.  Sistem demokrasi adalah musuh kepada agama Islam yang mulia!  Slogan yang dilaungkan oleh demokrasi ‘from the people, to the people, for the people’, sebenarnya menafikan hak Allah sebagai Pencipta (Al-Khaliq) dan Pembuat hukum (As-Syari’).   Sedarlah bahawa sistem ini adalah sebuah sistem kufur yang haram, rosak lagi merosakkan!
 
Islam Mensejahterakan Wanita
Islam memiliki aturan yang komprehensif yang menjamin keadilan bagi siapapun termasuk wanita.  Hanya sistem Islam yang dapat menyelesaikan setiap persoalan kehidupan daripada yang bersifat domestik hinggalah global.  Islam terbukti mampu mensejahterakan wanita kerana Islam melihat wanita sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat, yang hidup berdampingan secara harmoni dan damai dengan lelaki dalam kancah kehidupan ini.  Islam menjaga wanita dalam segala aspek dan keperluan.
 
Islam telah menetapkan hukum-hukum syara’ dengan sangat rinci dan menyeluruh demi memastikan kesejahteraan manusia termasuk wanita.  Islam mewajibkan lelaki untuk menjadi penjaga wanita.  Firman Allah S.W.T,

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian daripada harta mereka [TMQ an-Nisaa’ (4): 34].
 
Islam juga menetapkan fungsi negara untuk menjamin peranan dan kemuliaan wanita tetap terpelihara.  Dari Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Setiap daripada kamu adalah pemelihara dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipeliharanya. Seorang pemimpin adalah pemelihara dan bertanggungjawab terhadap rakyatnya. Seorang lelaki adalah    pemelihara keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”  [HR Bukhari dan Muslim].
 

Seorang imam (pemimpin) adalah bagaikan pengembala dan dia akan diminta pertanggungjawaban di atas gembalaannya (rakyatnya)”   [HR Bukhari dan Muslim].
 
Penerapan hukum syara’ yang benar hanya akan terealisasi dengan kembalinya sistem yang telah diwariskan oleh Nabi kita Muhammad S.A.W iaitu sistem Khilafah yang ditadbir oleh seorang Khalifah. Sistem Khilafah mempunyai sebuah sistem pengadilan yang efisien dan mampu menangani segala bentuk jenayah dengan cepat serta menerapkan hukum sesuai dengan kehendak Pencipta sebagaimana digariskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah terutama kesalahan yang melibatkan kehormatan wanita.  Khilafah adalah sebuah negara di mana setiap perkataan atau tindakan yang tidak menghormati kaum wanita dianggap sebagai jenayah dan tidak boleh ditoleransi.  Khilafah ialah sebuah negara yang akan mencipta keamanan bagi masyarakat tidak kira bagi wanita yang sedang belajar, bekerja, bermusafir atau menjalani kehidupan seharian yang biasa, Muslim mahupun bukan Muslim.
 
Khatimah
Jadi, perubahan yang wanita patut perjuangkan sekarang bukanlah untuk meningkatkan jumlah penglibatan wanita dalam sistem demokrasi yang terbukti rosak ini atau hanya sekadar mengubah sosok tubuh pemimpin.  Perubahan yang bakal mensejahterakan wanita adalah dengan memperjuangkan penerapan syariat Islam dalam sistem Khilafah.  Firman Allah S.W.T:
 
Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kalian kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kalian”   [TMQ al-Anfal (8): 24].
 
Wallahu’alam.
 


TAFSIR HADIS: GOLONGAN YANG MENANG

Rasulullah S.A.W. bersabda:

لاَ يَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ

Akan selalu ada kelompok di antara umatku yang memperjuangkan (kebenaran) hingga datang keputusan Allah sedangkan mereka dalam keadaan menang”   [HR al-Bukhari].

Hadis ini menjelaskan bahawa akan sentiasa ada segolongan atau sekelompok umat Nabi Muhammad S.A.W yang akan memperjuangkan yang hak walau dalam apa jua keadaan sehingga datang keputusan atau ketentuan daripada Allah S.W.T., mereka tetap dalam keadaan demikian (istiqamah atas kebenaran). Hadis ini juga menyatakan bahawa sememangnya orang-orang yang berjuang menzahirkan kebenaran itu pasti memperolehi kemenangan di sisi Allah S.W.T.
 
Hadis ini menjadi pendorong kepada setiap Muslim untuk terus berjuang menegakkan kebenaran di bumi Allah ini yang menjadi pengukuh kepada keimanan mereka.  Setiap kelompok Islam yang berjuang menegakkan syariahNya, selama mana terus istiqamah di jalanNya, mereka tidak perlu berasa ragu dan takut, kerana mereka adalah kelompok yang pasti mendapatkan kemenangan sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas, termasuk janji-janji Allah yang disebut dalam al-Quran. Adakalanya jumlah kelompok ini sedikit, tetapi mereka pasti akan dimenangkan dengan izinNya seperti kemenangan yang berlaku di medan Badar yang mana hanya 300 orang tentera kaum Muslimin telah mengalahkan     musyrikin Quraisy yang berjumlah 1000 orang.
 
Orang-orang kafir memang akan terus memerangi kaum Muslimin sehingga mereka keluar dari agamanya (lihat TMQ al-Baqarah [2]: 217).  Mereka berusaha memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka (lihat TMQ al-Saff [61]: 8). Mereka juga sentiasa membuat pelbagai makar untuk mencelakakan kaum Muslimin. Namun, Allah tidak rela hambaNya yang mukhlis dikalahkan oleh musuh-musuh agamaNya yang haq, apalagi jika Deen yang mulia ini cuba dipadamkan oleh kaum durjana.  Allah akan menggagalkan tipu daya mereka, bahkan membalas makar mereka.  Rencana Allah inilah yang pasti berlaku, kerana Dia adalah Khayr al-Makirin, sebaik-baik Pembalas tipu daya (lihat TMQ al-`Imran [3]: 54).  Dia juga pasti memenangkan agamaNya berserta pengikutnya atas seluruh agama batil berserta pengikutnya (lihat TMQ al-Saff [61]: 8-9). Kerana itu, hizb (kelompok)Nya juga yang akan memperolehi kemenangan.  Sehubungan dengan itu, bukankah wajar bagi setiap Muslim untuk ikut serta kelompok yang menzahirkan kemenangan ini dengan izin Allah S.W.T?
 
Sejarah telah menggambarkan keadaan manusia pada zaman Jahiliyah yang telah meletakkan martabat mereka serendah haiwan, bahkan lebih sesat lagi.  Wanita dianggap sebagai komoditi dan pemuas nafsu lelaki. Anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup tanpa larangan.  Kelahiran anak perempuan dianggap satu aib yang sangat besar dan perlu dilenyapkan dengan segera.  Begitulah hinanya kehidupan umat yang dipandu oleh hawa nafsu. Kemudian datang Rasulullah S.A.W sebagai penyelamat dan rahmat untuk sekalian alam.
 
Rasulullah mula mendakwahkan manusia kepada Islam dan setelah beberapa orang sahabat baginda menerima Islam, maka terbentuklah satu kutlah (kelompok).  Kutlah ini kemudian zahir di tengah-tengah masyarakat menyerukan kebenaran dan setelah itu semakin ramai manusia memeluk agama Allah. Walaupun kutlah ini tidak ramai (berbanding jumlah penduduk Mekah), namun  Allah S.W.T. akhirnya telah memberikan kemenangan kepada kutlah ini kerana kutlah ini sesungguhnya berdiri di atas kebenaran.  Setelah berlakunya peristiwa hijrah, kutlah yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W. ini telah berjaya mendirikan Negara Islam di Madinah sehingga hukum Allah S.W.T. dapat diterapkan dalam bentuk bernegara.
 
Daripada Daulah Islam Madinah, futuhat kemudian dilakukan ke kota Mekah yang masyarakat dan sistemnya masih lagi dibelenggu kekufuran.  Islam lalu memasuki setiap ruang rumah dengan penuh kerahmatan.  Manusia berasa cukup bahagia dan aman di bawah naungan Daulah Islam dengan kepimpinan Rasulullah S.A.W yang merupakan pemimpin Negara Islam yang pertama.
 
Kemenangan Rasulullah S.A.W ketika itu bermula dari kejayaan Rasulullah menyerukan manusia untuk mentauhidkan Allah S.W.T dan melaksana setiap perintah dan meninggalkan segala laranganNya berlandaskan wahyu daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya kejayaan Rasulullah S.A.W. juga tidak dapat dilepaskan dari perjuangan kutlah yang berdiri atas kebenaran, yang melakukan aktiviti dakwah dan politik bagi merubah pemikiran dan sistem kufur yang ada.
 
Begitulah yang berlaku zaman berzaman, selepas wafat baginda Rasulullah S.A.W dan diganti dengan para Khulafa’ seterusnya, Islam terus mencapai kemenangan dan menebarkan rahmat ke seluruh alam sehinggalah akhirnya Daulah Islam runtuh pada zaman Khilafah Uthmaniah.  Islam kemudian menjadi permainan dan hidangan puak kuffar.  Namun demikian, tetap sahaja ada golongan yang memperjuangkan kebenaran sepanjang era kejatuhan Islam sehinggalah ke hari ini, demi mengembalikan kehidupan Islam yang sebenar di bawah naungan Daulah Khilafah.
 
Sebagai seorang pejuang yang berada dalam kelompok yang benar, keimanan dan ketakwaan yang tinggi berlandaskan kepada kalimah “La ilaha illallah Muhammad Rasulullah” akan membekas di dalam jiwanya bahawa kemenangan hanya akan dapat diraih dengan jalan Islam. Walau apa risiko perjuangan sekalipun, akal fikiran dan jiwa menjadi tenang dan kebahagiaan sejati dapat dikecapi tatkala berjuang di jalan yang benar.  Inilah yang akan menghasilkan susuk tubuh yang sedia berjuang dan berkorban dalam apa jua keadaan sama ada ringan ataupun berat.  Oleh sebab itu jualah, Allah akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang sabar dalam berjuang menegakkan yang hak dan mereka sentiasa merasakan bahawa pertolongan Allah itu sangat hampir, seperti hampirnya kini tertegaknya Daulah Khilafah untuk kali yang kedua di muka bumi ini.
 
Realiti hari ini, di sebalik pelbagai kesulitan dan kesengsaraan hidup yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia, kelompok ini wujud di setiap tempat untuk menyatakan kebenaran.  Hasilnya, di setiap belahan dunia, kita dapat merasakan bahawa kebangkitan umat sedang berlaku.  Berkat keteguhan mereka di atas kebenaran, kelompok ini semakin berjaya membangkitkan umat secara bersamaan dalam mengembalikan maruah mereka sebagai umat yang terbaik. Tembok nasionalisme mulai retak, racun patriotisme mula hilang, perasaan “umat yang satu” mula dirasakan, kebersatuan dan kemenangan umat Islam sudah semakin kelihatan. Kelompok ini sentiasa ingat dan mengimani firman Allah S.W.T:
 
Kamu adalah umat terbaik, yang dihadirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari kemungkaran , serta tetap beriman kepada Allah“   [TMQ al-`Imran (3): 110].
 
Kamu umat yang terbaik” membawa pengertian bahawa umat Muhammad S.A.W adalah umat yang terbaik dengan menggalas dan melaksanakan tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar dan berterusan berjuang bagi memastikan kemenangan Islam yang berpaksikan dakwah dalam setiap rutin kehidupan seharian. Semoga dengan usaha gigih menegakkan kebenaran dan menegakkan kembali Daulah Khilafah oleh kelompok-kelompok inilah yang akan merealisasikan janji Allah kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dengan kemenangan yang hakiki.
 
Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga bagi mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh (itu adalah janji) yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah (kamu) dengan jual beli yang telah kamu lakukan dan itulah kemenangan yang agung”  [TMQ at-Taubah (9): 111].
 
Wallahu’alam.
 
Rujukan :

• Terjemahan Al Quran.
• Tafsir Ibnu Katsir , Juz 4 , Al Imam Abul Fida Ismail Ibnu Kasir Ad Dimasyqi.
• Tafsir : Kelompok Pemenang , Al Waie.
• Islam Bangkitlah, Abdurrahman Al Baghdadi , 1994

 


SERIKANDI TELADAN: UMMU `IMARAH: PERIBADI WANITA PEJUANG ISLAM

Muqaddimah
Madinah Al-Munawarrah ialah kota yang telah dipilih oleh Allah S.W.T untuk menjadi pusat penegakan Daulah Islam yang pertama. Sirah Nabawiyah merakam usaha maksimum Rasulullah S.A.W meminta bantuan (tholab an-nusroh) daripada setiap kabilah Arab di Mekah yang mempunyai kekuatan, demi memperoleh kekuasaan mandiri untuk mendirikan sebuah Daulah Islam tanpa campur tangan kaum kafir. Hasil usaha bertahun-tahun, dengan izin Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W berjaya menambat hati kaum Ansar di Madinah dengan Nur Islam.  Maka bermulalah episod baru dalam sejarah Islam dengan penyertaan kaum Ansar.
 
Pengorbanan kaum Ansar melayakkan mereka memperoleh cinta dari seluruh orang beriman. Sabda Rasulullah S.A.W,
 
Kaum Ansar, tidaklah mencintai mereka melainkan seorang Mukmin dan tidaklah membenci mereka melainkan seorang munafik. Barang siapa mencintai mereka nescaya Allah akan mencintainya dan barang siapa membenci mereka nescaya Allah akan membencinya“  [HR Bukhari dan Muslim].
 
Ketokohan Wanita Ansar
 Sesungguhnya golongan para sahabiyah Ansar tidak pernah ketinggalan dalam mengerjakan kebaikan, malah mereka berlumba-lumba untuk mencapainya termasuk dengan berjihad.  Tercatat dalam sirah sahabiyah kisah seorang tokoh wanita Ansar yang amat mencintai ilmu dan jihad serta terkenal dengan sikap gagahnya.  Beliau berada di barisan hadapan ketika membela Rasulullah S.A.W di medan peperangan.  Beliau adalah seorang ibu yang mulia, isteri yang setia, ahli ibadah dan juga ahli hadis.  Wanita yang mulia ini digelar Ummu ‘Imarah.  Nama sebenarnya Nusaibah binti Ka’ab bin Amr bin Auf bin Mabzul al-Ansariyah al-Khazriyah an-Najjariyah al-Maziniyyah.
 
Ummu ‘Imarah banyak melakarkan corak kepahlawanan dalam lembaran hidupnya.  Beliau juga termasuk penduduk Madinah yang terawal memeluk Islam dan wanita yang terawal melakukan bai’at taat kepada Rasulullah S.A.W ketika peristiwa Bai’at al-Aqabah II.  Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata, “Ummu ‘Imarah yang mulia adalah mujahidah, beliau turut serta dalam Bai’at al-Aqabah, perang Uhud, Hudaibiyyah, Hunain dan Yamamah.  Peristiwa (masyhad) pertama yang dapat kita lihat adalah dalam Bai’at al-Aqabah yang juga disertai oleh seorang wanita lain yang bernama Ummu Mani’ atau Asma’ binti Amrin”.
 
Pada malam Bai’at al-Aqabah yang penuh keberkatan itu, kaum Ansar telah membuat janji setia terhadap Rasulullah S.A.W bahawa mereka akan taat kepada baginda dalam apa jua keadaan.  Saat itu, baginda membacakan al-Quran dan berbicara kepada mereka sambil menyeru mereka kepada Islam seraya berkata, “Aku (balas) bai’at kalian bahawa kalian akan melindungi aku sebagaimana kalian melindungi wanita dan anak-anak kalian.”
 
Peristiwa ini telah membuka lembaran baru buat Ummu ‘Imarah yang meletakkan nama beliau dalam senarai wanita Ansar yang menyertai perjuangan Islam.  Sejurus kembali dari Aqabah ke Madinah, Ummu ‘Imarah tidak pernah berehat.  Beliau sentiasa merancang strategi untuk mempersiapkan umat dengan aqidah serta pemikiran Islam agar mereka sama-sama mendokong pembentukan Daulah Islamiyah pimpinan Rasulullah S.A.W.
 
Sifat kepahlawanan yang amat mengagumkan ditunjukkan oleh Ummu ‘Imarah semasa menyertai Perang Uhud bersama suami dan anak-anaknya.  Asalnya beliau menggalas tugas menyediakan minuman bagi pasukan Muslimin yang kehausan dan mengubati orang-orang yang terluka. Namun apabila situasi tidak berpihak kepada pasukan Muslimin, sebahagian pasukan Muslimin melarikan diri dari medan peperangan.
 
Maka beberapa orang yang tinggal, termasuk Ummu ‘Imarah, membentuk kubu pertahanan bagi melindungi Rasulullah S.A.W dengan menghunuskan pedang ke arah musuh yang menghampiri.  Kesungguhannya melindungi Rasulullah begitu ketara sehingga baginda berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu ‘Imarah berperang di hadapanku”.
 
Dalam kegentingan itu, satu tikaman mengenai Abdullah, putera Ummu ‘Imarah hingga mencederakannya dengan parah. Ummu ‘Imarah mengikat luka anaknya lalu berkata,“Bangun wahai anakku”.  Bingkas Abdullah bangun dan kembali melawan musuh.  Rasulullah yang menyaksikan peristiwa itu bersabda, “Wahai Ummu ‘Imarah, siapakah yang mampu melakukan seperti mana yang engkau lakukan?”  Tatkala Rasulullah S.A.W ternampak musuh yang menikam Abdullah kelihatan hampir, Rasulullah S.A.W memaklumkannya lalu Ummu ‘Imarah menikam betis musuh itu. “Ya Ummu ‘Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” sabda Rasulullah melihat kesungguhan beliau.

Dalam peristiwa ini, wanita mulia ini telah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu.  Dhamrah bin Sa’id al-Mazini meriwayatkan dari neneknya yang mengikuti perang Uhud, bahawa Ummu ‘Imarah mengalami 13 luka yang mengambil masa setahun untuk sembuh.  Rasulullah S.A.W memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.” Mendengar sahaja kata-kata Rasulullah itu, beliau dengan penuh harapan berkata, “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,”.  Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya Allah! Jadikanlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak”. “Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” balas Ummu ‘Imarah. 
 
Pengajaran
Ya, inilah sifat sebenar insan yang benar-benar beriman dengan ayat-ayatNya serta mendambakan syurga-Nya.  Kenikmatan serta keindahan syurga Allah dijadikan sebagai motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal dan berjuang di jalanNya.  Tidak mustahil untuk para Muslimah di zaman ini beraksi sepertimana wanita mulia ini kerana perjuangan menegakkan Islam tidak pernah pudar dalam sejarah kehidupan manusia walaupun  zaman beredar.
 
Hakikatnya, kini sejarah Nabi Muhammad S.A.W seolah-olah berulang kembali.  Jika dahulu Rasulullah menjalankan dakwah berupa perang pemikiran terhadap masyarakat Arab Jahiliah, kini perkara yang sama juga dilakukan.  Bezanya, dahulu yang disembah adalah patung-patung berhala, tapi kini yang “disembah” ialah sistem kufur Kapitalisme! 
 
Wahai Muslimah yang (semoga) di rahmati Allah S.W.T sekalian, saatnya kini kalian mencurahkan dan bergabung tenaga, harta dan jiwa kalian demi menjalankan kewajipan yang utama iaitu berjuang menegakkan kembali kedaulatan hukum syara’ di dunia.  Sesungguhnya inilah perniagaan yang amat menguntungkan bagi mereka yang benar-benar beriman dengan hari Akhirat. Allah S.W.T berfirman,
 
Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perdagangan (perniagaan) yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah  mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu cintai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang orang Mukmin[TMQ as-Saff (61): 10-13].
 
Wallahu’alam.
 
Rujukan :
• Al-Quran dan terjemahannya. Pustaka Darul Iman. m/s 552.
• hadith.al-islam.com
• Wanita Yang Dijamin Syurga. Ahmad Khalil Jam’ah. Cetakan I. Darul Falah. Jakarta. 2002. m/s 69-101.
• 70 Wanita Terbilang Pada zaman Nabi Muhammad SAW. Abu Azka Al Madani, Harun Arrasyid Hj Tuskan. Cetakan I. al-Hidayah. Malaysia. 2010. m/s 1-7.
• Sirah Nabawiyah: Mengungkap Maksud Politikus Perilaku Rasulullah SAW. Prof. Dr. Muh. Rawwas. Qol’ahji. Cetakan I. al-Izzah. Bangil. 2004. m/s 128.
• Jihad Peperangan Rasulullah SAW. Ahmad Adnan Bin Fadzil. Cetakan I. Pustaka Syuhada. Kuala Lumpur. 2001. m/s 313.
 
 


FIKIH: HUKUM MELIBATKAN DIRI DENGAN PILIHAN RAYA DALAM SISTEM DEMOKRASI

SOALAN:
 
Apakah hukum melibatkan diri dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi?
 
JAWAPAN:
 
Pungutan suara majoriti rakyat menjadi asas pemilihan kerajaan di negara yang mengamalkan sistem  pemerintahan demokrasi berparlimen seperti Malaysia. Dalam pengamalan demokrasi, pilihan raya menjadi satu mekanisme penting hingga kerap disinonimkan dengan demokrasi itu sendiri, seolah-olah pilihan raya adalah demokrasi dan demokrasi adalah pilihan raya.
 
Sekilas Tentang Demokrasi di Malaysia
Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal oleh rakyat atau lebih tepat, wakil yang dipilih oleh rakyat. Di Malaysia, pilihan raya diadakan untuk mengundi wakil dewan negeri dan negara yang dinamakan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Satu daripada tugas utama dewan adalah untuk membuat undang-undang [Politik dan Kerajaan Malaysia, R.S. Milne dan Diane K. Mauzy, ms 266].
 
Parlimen adalah badan perundangan bagi kerajaan persekutuan dan ia membuat undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di seluruh negara.  Parlimen meluluskan undang-undang persekutuan, membuat pindaan kepada undang-undang persekutuan yang ada, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan kerajaan dan meluluskan hasil-hasil cukai yang  baru. Parlimen juga menjadi forum kritikan dan fokus pendapat awam mengenai perkara-perkara nasional [www.parlimen.gov.my].
 
Jelas di sini bahawa sumber kemunculan sistem demokrasi seluruhnya adalah manusia dan tidak ada hubungannya dengan wahyu atau agama sedikit pun. Demokrasi lahir daripada aqidah pemisahan agama daripada kehidupan (sekularisme) yang menjadi asas ideologi kapitalisme yang memisahkan agama dari negara.
 
Pilihan Raya dalam Pemerintahan Islam
Pilihan raya, atau dalam bahasa Arab disebut الإنتخابات yang memberikan maksud pilihan ke atas sesuatu. Islam membenarkan umatnya melaksanakan intikhab, iaitu pilihan raya untuk memilih wakil dari kalangan mereka, sebagai satu bentuk wakalah (perwakilan). Perkara ini telah dilaksanakan pada zaman Rasulullah untuk memilih wakil bagi setiap kabilah Aus dan Khazraj. Pada zaman Khulafa’ Rasyidin, intikhab pernah menjadi salah satu kaedah memilih Khalifah.
 
Fungsi Majlis Umat adalah melaksanakan muhasabah pemimpin dan musyawarah antara mereka serta memberi masukan (input) kepada pemerintah. Berbeza dengan fungsi ahli dewan negeri dan parlimen dalam demokrasi, Majlis Syura tidak membuat, menggubal atau mengubah undang-undang. Jadual di bawah membandingkan pilihan raya dalam sistem demokrasi dengan sistem Islam.

Hukum Terlibat Dengan Pilihan Raya dalam Sistem Demokrasi
Meskipun pilihan raya dibenarkan  dalam Islam sebagai satu mekanisme wakalah, namun realiti pilihan raya dalam sistem demokrasi di Malaysia kini menunjukkan bahawa wakalah dalam konteks ini tidak dapat memenuhi tuntutan syariat kerana ‘perkara yang diwakilkan’ itu adalah bertentangan dengan syarak iaitu “mewakilkan” rakyat untuk menjadi anggota badan perundangan (legislatif) yang menggubal dan meminda undang-undang.  Dalam Islam, hak membuat undang-undang iaitu tasyri’ hanyalah di tangan Allah sebagai As-Syari’, bukannya di tangan rakyat atau wakil mereka.
 
Allah S.W.T. berfirman:
 
“..Sebenarnya (yang menentukan) hukum hanyalah bagi Allah..[TMQ Yusuf (12): 40].
 
Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya [TMQ an-Nahl (16): 116].
 
Rasulullah S.A.W bersabda kepada Adi bin Hatim,
 
Tidakkah mereka itu menghalalkan bagi mereka apa yang telah diharamkan (oleh Allah) dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan?, dan Adi berkata, ‘ya’, maka Rasulullah berkata, ‘Maka mereka itu telah menyembah (rahib dan pendeta) mereka” sebagai penjelasan kepada ayat”  [TMQ at-Taubah (9) : 31]
 
Seseorang Muslim tidak dibolehkan membuat undang-undang, tetapi kewajipan mereka hanyalah untuk menerima dan menerapkan syariat Allah sahaja dan bukan yang lain, tidak kira sama ada ia dipersetujui secara majoriti atau tidak.
 
Berdasarkan fakta, sebahagian besar dari fungsi ahli-ahli majlis perwakilan adalah melibatkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka untuk melakukannya.  Ini termasuklah fungsi menggubal undang-undang yang jelas bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, fungsi melantik ketua negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah, memberikan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan hukum yang bukan diturunkan oleh Allah dan mengesahkan pelbagai perjanjian dan persetujuan yang dibina atas dasar kufur serta membolehkan puak kuffar menguasai kaum Muslimin.
 
Demokrasi adalah sistem kufur, justeru hukum mengambil, menerapkan dan mengembangkan demokrasi jelas haram dalam Islam berdasarkan nas-nas yang qath’i.  Maka, memilih “wakil rakyat” yang pasti akan melakukan keharaman ini, hukumnya adalah haram berasaskan kaedah al-wasilatu ila haram, muharramah (sesuatu yang membawa kepada keharaman, maka ianya juga haram).  Begitu juga sebarang aktiviti lain yang mengukuhkan atau memperpanjangkan lagi pelaksanaan sebarang sistem hidup yang bertentangan dengan hukum Allah, hal ini semuanya haram berdasarkan kaedah di atas.
 
Khatimah
Hukum pilihan raya adalah berbeza dengan hukum demokrasi.  Demokrasi adalah sebuah sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang berada di tangan manusia.  Manakala pilihan raya pula secara asasnya dibenarkan dalam Islam untuk tujuan yang benar seperti membentuk Majlis Umat atau mencalonkan seorang Khalifah yang akan dibai’at oleh umat Islam sebagai pemimpin umum mereka.  Namun pilihan raya bukan thariqah (metode) Rasulullah untuk menegakkan Negara Islam.
 
Apa yang menjadi percanggahan di sisi syara’ sekarang adalah pilihan raya yang disalahguna dengan dijadikan jalan untuk membentuk sebuah majlis legislatif yang berfungsi sebagai penggubal undang-undang dengan mengambil hak Allah sebagai Pembuat undang-undang.  Sayugia diingatkan bahawa tiada masalah dengan pilihan raya sekiranya ia dijalankan dengan betul (mengikut kehendak syarak), namun isunya di sini adalah, layakkah kita menjadikan suara majoriti manusia sebagai asas pembuatan peraturan hidup kita?  Sekiranya ada pihak yang berhujah bahawa mereka ingin menerapkan hukum Allah melalui suara majoriti yang diperuntukkan oleh demokrasi, persoalannya, apakah kita berhak mengundi hukum Allah?  Siapakah yang memberi hak kepada kita untuk mengundi dan meluluskan hukum Allah dengan suara majoriti?
 
 
Bacaan Lanjut

• Demokrasi Sistem Kufur. Bogor: Pustaka Thariqul Izzah, 1994. Terjemahan. Sheikh Abdul Qadim Zallum. Ad-dimuqrathiyah nizham kufr: yahrumu akhdzuha aw tathbiquha aw ad-da’watu ilaiha. Hizbut tahrir. 1990.
• M. Shiddiq Al-Jawi. Telaah Kitab Demokrasi Sistem Kufur Karya Syekh Abdul Qadim Zallum. http://hizbut-tahrir.or.id/2009/02/06/telaah-kitab-demokrasi-sistem-kufur-karya-syekh-abdul-qadim-zallum/. Akses pada 26/2/13. 
• SN049 – Pilihan raya : Sampai Bila Akan Menjadi Topeng  Demokrasi. http://mykhilafah. com/    sautun_nahdhah/SN049_Pilihanraya.pdf. Akses pada 26/2/13.
• Hukum Pilihan Raya. http://www.mykhilafah.com/artikel/161-hukum-pilihan-raya. Akses pada 26/2/13.
• SN293 – Mengharapkan Perubahan Melalui Pilihan Raya? https://mykhilafah.com/sautun-nahdhah/3200-sn293-mengharapkan-perubahan-melalui-pilihan-raya. Akses pada 4/3/13.

 [FU/Bil.54/April 2013]

Get real time updates directly on you device, subscribe now.